Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdib MN menyambung renungan kembali detik penting peristiwa sastera di Malaysia pada tahun 2024, detik-detik yang membanggakan dan tidak kurang juga kontroversi dalam landasan perkembangan sastera kita.
Hal ini lebih realistik dan berada dalam jangkauan upaya kita tetapi malangnya sampai sekarang kita masih bersikap melepaskan batuk ke tangga dalam soal menterjemah karya sastera Malaysia ke dalam bahasa asing atau membawa pengarang tanah air ke luar negara dalam program-program penting.
JULAI |
Sekiranya kita boleh menggunakan ungkapan “Krismas datang awal”, bulan ini menjadi kegembiraan berganda buat khalayak pengarang dan penulis apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan penganjuran Sayembara Penulisan Kreatif DBP yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM256,000 untuk empat genre, iaitu novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, serta drama.
Secara perinciannya, pemenang utama bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM30,000; RM15,000 (naib johan); RM10,000 (ketiga); dan RM3,000 (tiga hadiah sagu hati), sekali gus meniup wisel perlumbaan “maraton” yang berakhir pada 31 Disember 2024 kecuali untuk novel yang tamat pada 31 Mac 2025.
Tidak cukup dengan itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) turut melancarkan projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI selepas mendapat peruntukan RM 2.5 juta daripada kerajaan. Sasaran persatuan diketuai oleh YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu ialah 100 judul buku pelbagai genre terutama sastera, buku umum serta buku bergambar kanak-kanak.
Rasanya, kali terakhir projek sebegini diadakan adalah juga membabitkan PENA, tetapi dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang ketika itu di bawah Ketua Pegawai Eksekutif, YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron yang kini berada di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan juga Timbalan Presiden PENA.
Selepas Mohd Khair tidak lagi di ITBM, tidak ada projek penerbitan berskala besar dan terancang (di sebalik pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 yang memperuntukkan RM20 juta kepada DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan).
Elok juga diturunkan sebagai nota kaki, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) turut mendapat peruntukan RM50,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai usaha mengangkat martabat bahasa Melayu dan budaya tempatan.
Hal uni bermakna, penerbitan karya sastera berada di landasan terbaik untuk meningkatkan kuantiti judul karya dalam konteks penerbitan di bawah institusi dan persatuan selepas beberapa tahun kebelakangan ini yang nampaknya lebih banyak digerakkan oleh penerbit-penerbit yang sinonim dengan dunia sastera tetapi ada sebahagiannya tenggelam timbul. Namun begitu, syarikat penerbitan paling ketara tentunya Nusa Centre dan Kata-Pilar, yang tentu lebih bergantung pada tekad dan stamina penggeraknya yang masing-masing ialah pengarang sastera, iaitu Syed Mohd Zakir Syed Othman atau S.M. Zakir serta Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau Fahd Razy.
Justeru, amat diharapkan agar DBP dan PENA khususnya serta badan lain termasuk ITBM, bukan sahaja memerhatikan usaha meningkatkan kuantiti naskhah, bahkan kualiti karya, selain tidak hanya berpada dengan usaha menerbitkan, sebaliknya memasarkannya dengan memastikannya berada di rak-rak di kedai buku dan dipromosikan secara intensif dalam media konvensional serta media sosial.
Malah, buku-buku itu tidak hanya sekadar berada dalam pasaran, bahkan lebih penting sampai kepada pembaca, diulas dan didebatkan oleh khalayak serta dikaji oleh ahli akademik di institut pengajian tinggi (IPT). Ini semua tidak akan berlaku sekiranya institusi penting dalam kesusasteraan tidak bergerak secara proaktif, manakala birokratnya meninggalkan “kerusi birokrat” dan mungkin berada di tengah-tengah lapangan sebagai “aktivis” dan “penggiat sastera”, seperti yang pernah ditunjukkan, terutama oleh pegawai perancang bahasa DBP pada dekad-dekad lalu atau kakitangan ITBM pada dekad sebelum ini.
OGOS |
Sebaik masuk bulan keramat ini, fokus dunia sastera tempatan dahulunya selalu tumpah kepada Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dengan para deklamator berlumba-lumba untuk menjuarainya. Namun pada masa kini, penganjurannya lebih berlegar kepada khalayak deklamator sahaja, seolah-olah tidak dapat keluar daripada “kepungan” khalayak itu, malah ada ketikanya semacam menjadi batu loncatan untuk mereka kemudiannya bergelar sebagai penyair.
Mungkin hal ini menjadi “sumpahan” kepada mana-mana acara yang mengulangi formula yang sama, sehingga soal sejauh mana program ini dinikmati oleh khalayak sebenar tidak lagi timbul. Dalam hal ini, penganjurnya seperti GAPENA mungkin wajar lebih kreatif dan inovatif dalam memperluas khalayak dan meningkatkan kebolehlihatan penganjuran acara ini, seperti yang dilakukan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dengan mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Selangor 2024.
Hadiah sastera di Perak pula membuka tirai hadiah sastera negeri dengan Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8 (HSDR8), sekali gus menobatkan mantan Editor Majalah DBP, Siti Zaleha M. Hashim sebagai Sasterawan Negeri Perak yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, watikah pengiktirafan dan piala iringan.
Anugerah Ilmuwan Negeri pula diterima Dr. Adib Vincent Tung Abdullah; Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat (Dr. Zabidin Ismail) dan Anugerah Pejuang Sastera (Salina Ibrahim) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, RM20,000 serta RM15,000.
SEPTEMBER |
Majlis Penganugerahan Hadiah Sastera Sabah 2022/2023 pula menyusul selepas HSDR8, meskipun keputusannya sudah pun diketahui seawal Julai lalu. Ruhaini Matdarin memenangi hadiah novel dewasa dan kumpulan cerpen; Lailah Elok (novel remaja dan kanak-kanak); Sharifah A.M. Noordin (kumpulan puisi); dan Florence Yap (buku bergambar kanak-kanak)
OKTOBER |
Bulan ini sememangnya sinonim kepada khalayak sastera dunia tidak terkecuali Malaysia kerana nama penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan akan diumumkan di Stockholm bersama-sama kategori lain pada hari berbeza tetapi secara berturutan. Setelah beberapa lama nama pengarang dari Asia disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi, akhirnya hal ini datang melalui novelis dan cerpenis Korea Selatan, Han Kang apabila namanya diumumkan oleh Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Mats Malm.
Memang biasanya, setiap kali musim Hadiah Nobel, akan ada cakap-cakap mengenai pengarang Malaysia pun berpotensi untuk memenanginya. Walau bagaimanapun, rasanya hal ini boleh dianggap sebagai halwa telinga atau mimpi pada siang hari, bukan sahaja kerana sampai sekarang kita belum ada projek penterjemahan yang betul-betul intensif terhadap karya sastera tanah air, malah proses penilaiannya sampai sekarang pun masih menjadi tanda tanya sehingga lebih banyak kontroversi berbanding jawapan terhadap penilaian dilakukan.
Justeru, ada baiknya kita tidak terlalu menghiraukan cakap-cakap bagaimana “suatu hari nanti kita akan dapat saksikan nama sasterawan Malaysia diumumkan atau menyaksikan pidatonya pada majlis penyampaian diraja”, sebaliknya memikirkan bagaimanakah yang kita dapat lakukan untuk membawa karya dan pengarang tanah air ke luar.
Hal ini lebih realistik dan berada dalam jangkauan upaya kita tetapi malangnya sampai sekarang kita masih bersikap melepaskan batuk ke tangga dalam soal menterjemah karya sastera Malaysia ke dalam bahasa asing atau membawa pengarang tanah air ke luar negara dalam program-program penting.
Apatah lagi Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri sekali lagi memberikan tumpuan kepada sastera apabila mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa, dan sastera kebangsaan.
Jadi dengan jumlah sebesar ini, hal ini memerlukan usaha terancang dalam memastikan jumlah berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum tetapi masih memerlukan perbincangan dengan semua pemegang taruh, bukan dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang terpilih sahaja.
DBP dalam soal ini kerana nama institusi itu disebut secara khusus dalam Belanjawan 2025, perlu memperluas libat urus dengan pelbagai segmen dalam sastera tanah air, sekali gus tidak boleh hanya membuka pintu perbincangan dengan nama-nama yang sudah sering dikenalinya atau dilaziminya.
Pada masa sama, penurunan wang ini diharapkan akan lebih segera, tidak diganggu oleh proses birokrasi yang mengambil masa. Sementara menanti wang diturunkan, DBP perlu segera mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh yang nampaknya setakat ini belum begitu ketara pergerakannya.
Dalam perkembangan lain juga, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa sumbangan sebanyak RM50,000 disalurkan kepada PENA untuk membaik pulih fasiliti rumah persatuan itu yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Farhan Fauzi.
Pada bulan ini juga, Anugerah Sastera Sarawak ke-11 menobatkan Dr Abang Patdeli Abang Muhi sebagai Sasterawan Sarawak Keenam, manakala Jaya Anak Ramba dipilih untuk menerima Anugerah Penulis Sarawak Genre Novel dan Cerpen; Dr. Dillah Tuah (Esei Kritikan); Abang Median Abang Said (Puisi); dan Jantan Anak Umbat (Bahasa Iban dan Anugerah Khas Bahasa dan Sastera) serta Lokman Hakim Abdul Wahid dan Frankie Anak Latit menerima Anugerah Penulis Harapan.
Dengan Sarawak mula mendapat sebahagian tuntutan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bermakna kuasa ekonominya semakin kuat, maka perlu ada peningkatan dari segi penilaian hadiah negeri itu. Malah, tiba masanya untuk negeri itu tidak hanya memberikan tumpuan pada pengiktirafan kepada pengarangnya, bahkan memikirkan usaha untuk menterjemah karya sasteranya, terutama yang memenangi hadiah dan anugerah ke dalam bahasa asing, sekurang-kurangnya dalam bahasa Inggeris.
NOVEMBER |
Siti Zaleha meraih pengiktirafan berganda pada tahun ini kerana selain dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak, namanya juga diisytiharkan sebagai penerima SEA Write Award (Malaysia) 2023. Beliau diumumkan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari bersama-sama penulis veteran dari Kedah, Osman Ayob bagi tahun 2022.
Pengumuman kedua-dua pengarang ini bagaimanapun turut membuka kembali polemik usia yang sekian lama berlegar, bukan sahaja dalam penilaian bagi penganugerahan SEA Write, bahkan Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelaran Sasterawan Negara (SN). Kalau dahulu polemik sebegini muncul di dada akhbar dan majalah, kini hal ini hangat didebatkan di media sosial.
Malah, antara lain percikan yang mendorong perbincangan hangat ini juga ekoran tulisan Osman sendiri, iaitu “Pemilihan Sasterawan Negara ke-16, Sengit dengan Andaian” di JendelaDBP, yang menyentuh nama calon yang dikatakan layak dinobatkan sebagai SN, manakala beberapa nama pengarang mapan muncul dalam artikel Dr. Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertajuk “Siapa Sasterawan Negara Baru?” di MalaysiaKini.
Jika Faisal Tehrani menyebut nama seperti Azmah, Johan Jaaffar, Zakaria Ali, dan Zainal Rashid Ahmad, Osman pula memilih A. Aziz Deraman, Rejab F.I dan Lim Swee Tin. Selain Zainal Rashid, semua nama yang disebut ialah pengarang veteran yang sudah lama menjadi warga emas, sehingga menimbulkan tanda tanya, apakah tidak ada pengarang yang lebih muda secara relatifnya layak ditimbangkan atau diteliti untuk menerima bukan sahaja SEA Write Award, bahkan dinobatkan sebagai SN?
Hakikatnya, polemik SEA Write Award dan SN masih terikat dengan faktor usia serta etnik dengan penilaian yang lebih dilihat semacam kurang menumpukan kualiti karya yang dihasilkan oleh pengarang secara lebih spesifik. Adalah malang jika kita masih melihat kelayakan pengiktirafan sebegini dari kaca mata sempit sehingga mengabaikan satu-satunya faktor utama untuk melayakkan seseorang dinobatkan sebagai sasterawan, iaitu karyanya.
Sudah banyak cadangan dan saranan pelbagai pihak kepada DBP terutamanya demi menambah baik mekanisme penilaian dan pemasaran, promosi serta usaha membawa karya dan penerimanya ke tengah masyarakat, tinggal lagi hanya institusi itu perlu bertindak. Ketelusan mekanisme penilaian termasuk panel penilai didedahkan lebih awal lagi tentu dapat meningkatkan keyakinan kepada kualiti nama diumumkan.
DISEMBER |
Bulan ini sinonim dengan musim tengkujuh, terutama di Pantai Timur dan hujan lebat termasuk di Pantai Barat dan Selatan. Tempiasnya pada awalnya dikatakan bakal mengena dua persatuan penulis, iaitu PENA dan GAPENA yang mengadakan pemilihan dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Dalam pemilihan GAPENA, Ketua Satu Datuk Zainal Abidin Borhan dicabar oleh Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, manakala Ketua Dua, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ditentang oleh Yang Di-Pertua Persatuan Penulis dan Kebajikan Selangor (KEMUDI), Zainal Jais. Walau bagaimanapun, Amiruddin mengulangi nasib malangnya kerana gagal dalam usaha buat kesekian kalinya menumbang penyandangnya sejak Allahyarham Tan Sri Ismail Hussein, tetapi Zainal berjaya mengejutkan Mohamad Saleeh yang tewas.
PENA pula menyaksikan cabaran 10 tahun sekali apabila Mohamad Saleeh berjaya mempertahankan kerusi Presiden dengan menewaskan Mohd Khair, yang juga Timbalannya, manakala Dr. Mohd Hanafi Ibrahim yang membuat kemunculan semula memenangi jawatan Timbalan Presiden dengan mengalahkan S.M. Zakir.
Kedua-dua pemilihan ini menunjukkan senario dan corak pengundian yang memberikan kelebihan kepada penyandang seperti yang pernah saya ulas dalam artikel sebelum ini. Apa-apa pun, keputusan ahli ialah keputusan keramat, maka penyandang dan pemenang perlu menggalas tanggungjawab yang lebih besar dan mencabar untuk membawa kedua-dua persatuan itu dalam usaha mengangkat sastera dan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak sunyi daripada sering dicabar.
Dua program besar menutup tirai tahun ini, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2024 dengan ucaptama Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2023, Muhammad Lutfi Ishak dan Sidang Kemuncak Penulis Nasional 2024 yang berlangsung di Bangi, sekali gus menghimpunkan penulis muda dan pengarang tanah air. Banyak sorotan dan fokus diberikan dalam kedua-dua acara yang turut menyaksikan 123 buku di bawah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI dilancarkan.
Kedua-dua acara ini boleh dianggap sebagai penawar pada “kedahagaan” pengarang tanah air terhadap acara penting yang bukan sahaja dapat mempertemukan mereka di negara ini, bahkan membuka pintu kepada pengetahuan baharu dalam sastera. Sejauh mana kejayaan kedua-duanya tentu bergantung pada hal ini yang kelak dapat dijelmakan dalam penulisan masing-masing. Jika tidak, hal ini akan menjadi acara rutin yang muncul sesekali untuk mengisi kepuasan pada tahap minimum.
Cuma yang menjadi sedikit ralat saya kira, Perdana Menteri hanya diwakili oleh Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan yang mungkin sekiranya beliau sendiri hadir dengan format pertemuan bersifat dua hala, bukan sekadar ucapan pelancaran (atau peluncuran), hal ini akan dapat memberikan banyak input kepada kerajaan.
Dari segi penyertaan pengarang, terutamanya Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2024, diharap pelbagai segmen penulis muda dapat dibabitkan secara lebih interaktif dan disesuaikan dengan trend semasa, sekali gus tidak mengulangi format lama. Barangkali konsep sama yang digunakan menyebabkan kita tidak dapat melihat kepelbagaian kelompok dalam penyertaannya.
Dalam bulan ini juga, satu acara kecil tetapi besar maknanya kepada sastera tanah air ialah pelancaran Hentian Buku Selangor yang berevolusi daripada Pasar Buku Bangi, Lambak Buku Bangi dan Kota Buku Bangi. Sebelum ini, pedagang buku dalam kalangan penjual, pengarang dan kolektor berdagang buku terpakai, langka serta baharu di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Bazar Karat Streetmall. Dengan wujudnya Hentian Buku Selangor di Hentian Kajang itu, diharap akan menjadi antara nadi kepada kegiatan perdagangan buku terpakai dan langka, sekali gus turut menyemarakkan sastera yang menjadi bahagian penting dalam sektor penerbitan buku.
EPILOG |
Kita dapat lihat sepanjang 2024 ini, pelbagai peristiwa dan pandangan (termasuk yang tidak diimbau dalam tulisan ini) mencorakkan wacana sastera, tidak kira pada tahap apa-apa pun, sebenarnya boleh menjadi pencetus kepada kesusasteraan yang lebih berani dan berilmu dalam usaha menggali cabaran yang dihadapi oleh manusia dari segi makna diri serta jati dirinya.
Pada masa sama, kita perlu mengakui bahawa sastera dan khalayaknya sedang menghadapi gugatan besar, bukan lagi atas desakan pasaran dan budaya pop, bahkan media sosial dengan algoritma yang semakin memecahbelahkan kelompok pengarang itu sendiri.
Justeru, diharapkan pengarang akan terus bangkit dengan karya yang diterjemahkan daripada keilmuan dan kreativiti, tanpa mengabaikan sisi estetika makna serta bentuk. Sikap dan mentaliti sama juga perlu dimiliki oleh birokrat sastera yang dapat meninggalkan kerusi birokratnya dan menjadi “karyawan” (meminjam kata daripada bahasa Indonesia untuk dijadikan kata dengan makna baharu dalam bahasa Melayu Malaysia – “pengurus” sastera yang memiliki minat dan semangat dalam sastera).
Tahun 2025 ini juga sewajarnya ada sinergi bukan sahaja antara pengarang dengan karyawan itu, bahkan dengan “pemain industri” buku, sama ada syarikat penerbitan gergasi di negara ini mahupun pedagang buku kecil dan sederhana, tidak terkecuali pedagang buku terpakai dan langka.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.