Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik menyentuh hal selera, teknik pencalonan dan mencari kekuatan diri dalam reaksinya tentang polemik Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini.
Pasca Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menyaksikan aksi dan reaksi daripada pelbagai pihak. Seperti biasa, dikotomi tua-muda tidak terkecuali dibangkitkan (bahkan, boleh dianggap polemik ini kembali hangat).
Kuetiau goreng lebih sedap—mengikut selera saya—kalau tiada tauge. Penggemar tauge barangkali akan menganggap saya tidak pandai makan atau tidak cukup berbudaya. Setiap kali memesan hidangan ini di kedai makan, saya akan minta tanpa tauge. Ada kalanya saya terlupa untuk memaklumkan, maka, ada timbunan kecil tauge berbaki di pinggan licin.
Sekadar maklumat tambahan, ayam tauge pula saya suka kerana hidangan itu berdiri dengan sendiri. Tauge dalam pai ti (sejenis hidangan Baba Nyonya) atau tahu sumbat pun molek sahaja. Batasnya digarisi pada tauge dalam masakan, seperti mi goreng atau kuetiau goreng kerana saya tidak suka “rasa tanah” yang ditinggalkan oleh tauge.
Begitulah selera manusia. Antara suka, tidak suka atau tidak kisah. Selera juga sedikit sebanyak mempengaruhi suatu pilihan dalam sayembara atau hadiah, meskipun jurinya cuba memandang merit dalam pengkaryaan.
Bukan Pahat yang Berbunyi tetapi Gema Rumah yang Belum Diisi
Pasca Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) menyaksikan aksi dan reaksi daripada pelbagai pihak. Seperti biasa, dikotomi tua-muda tidak terkecuali dibangkitkan (bahkan, boleh dianggap polemik ini kembali hangat).
Benar, rumah sudah siap, tetapi adakah sudah diisikan dengan perabot dan penghuni yang sepatutnya? Bunyi bingitnya bukan terhasil daripada pahat. Rumah kosong pastilah bergema, dan gemanya sama saban tahun.
Nik Mohd Hafiz Abdullah memaklumkan bahawa sejak tahun 2015, sudah tiada lagi kemenangan karya (penulis muda) yang mencabar bentuk atau gaya sedia ada—“[maka], bagaimana penulis muda hendak mengubah gaya berpuisi kalau gaya baharu tidak disukai juri?”
Sedikit sebanyak saya bersetuju. Soal suka-tidak suka ini di luar lokus kawalan penulis sebenarnya.
“Jika penulis tahu,” sambung Nik Mohd, “sejak 10 tahun lalu, tiada puisi gaya baharu yang memenangi sayembara, mengapa penulis mahu mencuba gaya baharu? Buang masa sahaja.”
Soal buang masa itu pasti akan ada yang mengatakan bahawa tiada paksaan dalam penyertaan atau pencalonan. Saya fikir, hal ini sejenis falasi red herring atau cuba mengalihkan tumpuan daripada masalah sebenar.
Sejak mula hal ini bukanlah tentang siapa atau apa. Hal ini sebenarnya tentang bagaimana.
Sekitar Penjurian dan Pendemokrasian
Bayangkan sebuah pertandingan memasak sedang berlangsung. Sampai pada sesi penjurian kita dimaklumkan, “Jangankan tauge, kuetiau goreng pun juri tak suka,” padahal dalam syarat, diberitahu tema hidangan adalah bebas.
Kegusaran sebegini sangat difahami. Walau bagaimanapun, saya tidak melihat tema sebagai suatu perihal kritikal dalam sayembara mahupun hadiah sastera seperti yang Nik Mohd hujahkan.
Sama ada perlu ada tema atau tidak, saya yakin, kesannya tidak begitu kuat. Dalam laga puisi atau poetry slam, seperti Laga Puisi Kebangsaan Malaysia (MNPS) anjuran Malaysian Institute of Development for Proefessionals (bakal diadakan lewat tahun ini), selalunya ditetapkan tema tertentu pada pusingan pertama, kemudian pada pusingan kedua dan terakhir pula temanya bebas. Walaupun tema memberikan kesan besar, hal itu hanya menentukan sama ada pemuisi tersebut layak atau gagal mara ke peringkat seterusnya, namun perkara seperti kandungan, kemahiran, kehadiran pentas, serta keunikan gaya dan suara boleh jadi mampu mengatasi sesuatu tema.
Sebelum kita teruskan, apakah itu laga puisi?
Sejarah ringkas laga puisi bermula di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1980-an. Acara ini diasaskan oleh Marc Smith dengan niat beliau untuk mendemokrasikan puisi dan menyelamatkannya daripada cengkaman akademia. Tahun-tahun awal laga puisi meluas sampai ke New York dan dikembangkan oleh Bob Holman hingga wujud dua “sekolah”. Untuk Chicago, laga puisinya lebih tegas dan murni, manakala New York lebih santai dan main-main.
Gergasi pengkritik sastera, mendiang Harold Bloom, pernah menyatakan bahawa fenomena laga puisi merupakan kematian seni puisi (hal ini akan dibahaskan pada waktu yang sesuai).
Di Malaysia pula, laga puisi diperkenalkan sekitar lewat era 2000-an hingga awal 2010-an dan banyaknya tertumpu di Lembah Klang. Nama seperti Sheena Baharudin, Illya Sumanto, Jamal Raslan, Elaine Foster, dan Melizarani T. Selva merupakan antara generasi pencetus yang terawal. Kini, kolektif Jalan Dalam—tidak silap saya muncul sebagai generasi kedua dan ketiga—merupakan kelompok yang paling aktif mengadakan acara laga puisi secara berkala.
Formatnya tidak jauh berbeza merentasi negara. Lazimnya di Malaysia, terdapat lima juri—tiga susuk bertauliah manakala dua lagi daripada orang awam atau penonton sendiri. Di sinilah demokrasinya berlaku.
Untuk pemarkahan, juri akan memberi markah antara 1-10 bagi setiap pusingan. Markah 1 paling corot dan 10 paling hebat. Keseluruhan markah akan mengambil kira markah purata dengan menggugurkan markah paling corot dan tinggi. Contohnya, markah 7.5, 8.0, 8.0, 8.5, dan 9.5 akan mengambil dan mengumpulkan markah 8.0, 8.0 dan 8.5 lalu menjumlahkannya sebagai 24.5 markah.
Rubrik sejagat dan lazim ini penting untuk ketelusan dan kefahaman ramai—baik juri, pemuisi mahupun orang awam. Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengesyorkan buat HSPM atau mana-mana hadiah sastera mengambil kira untuk mengongsi rubrik, atau sekurang-kurangnya menerangkan kaedah pemilihan pemenang mereka. Walaupun hadiah sastera bukan sayembara dan merupakan penganugerahan, biarlah terdapat hujah tuntas yang meyakinkan tentang pemilihan suatu kemenangan.
Selain laporan lengkap, senarai panjang dan pendek juga sama penting. Seperti National Poetry Competition (NPS) yang dikelola oleh The Poetry Society, selain mengumumkan nama para pemenang, mereka turut mengumumkan nama-nama lain yang berjaya menembusi senarai panjang.
Hal ini juga merupakan sejenis suntikan dan pengiktirafan yang menggalakkan pengkarya lain untuk terus berkarya dengan bersemangat.
Merenung Semula Sistem Pencalonan
Jika mereka tidak peduli, mereka tidak akan bersuara. Akan tetapi, ada perkara yang lebih besar daripada menyuap ego dan mengipas bara dendam.
Difahamkan bahawa pencalonan dibuat berdasarkan usaha penulis sendiri untuk mencetak borang, memfotokopi karya; kalau untuk buku, perlu serah lima naskhah. Tidak hairanlah ada penulis rasa membuang masa. Sudahlah perlu membuat kerja yang sepatutnya bagi pihak penganugerahan, ditambah lagi dengan hakikat gaya penulisannya tidak selari dengan kehendak penjurian.
Bagi pencalonan buku, cadangan Hidayyah AT Mizi tentang pelibatan Perpustakaan Negara sebagai hab pencalonan karya wajar dipuji. Cadangannya suatu cadangan yang paling masuk akal kerana kesan impak yang luas dapat dicapai jika terlaksana. Suatu situasi sama menang bagi kesemua pihak yang terlibat.
Dalam iklim sastera tanah air sebegini, di manakah duduknya penulis muda? Adakah mereka peduli atau tidak tentang anugerah dan sayembara? Tentang sastera?
Untuk menyatakan bahawa penulis muda “akan terus menulis” seperti Irfan Fikri ulas, “[b]ukan kerana mahu menang hadiah … [t]etapi kerana dunia perlu terus dibaca, ditulis dan dibantah meskipun panel tidak mendengarnya” sebenarnya menampakkan bahawa penulis muda mahu sahaja menang hadiah dan ambil peduli tentang anugerah sastera, lebih-lebih lagi jika melibatkan dikotomi tua-muda.
Jika mereka tidak peduli, mereka tidak akan bersuara. Akan tetapi, ada perkara yang lebih besar daripada menyuap ego dan mengipas bara dendam.
Dua Perkara yang Lebih Besar daripada Sayembara dan Hadiah Sastera
Sebagai renungan, seharusnya penulis muda memberikan tumpuan dan menumpahkan segala upaya terhadap Dwi-K: Konsistensi dan Kraf (Twin C: Consistency and Craft).
Bagi seorang pemuisi, dia harus terus tekal membaca buku puisi dan buku esei tentang puisi bahkan buku fiksyen dan bukan fiksyen yang lain; menonton filem dan teater; menyaksikan seni rupa dan seni persembahan; mendengar muzik; menikmati alam sekitar; berjalan 10 ribu langkah sehari; turun acara seni dan melepak dengan kawan-kawan atau duduk di rumah; kemudian terus membaca dan membaca dan membaca dan merenung dan menulis dan kembali membaca-merenung. Tekal dalam hal ini. Tekal membina kepengarangan melalui pengalaman yang diharungi setiap detik. Yakin bahawa usaha kita tidak akan mengkhianati kita.
Hidup dahulu, sastera kemudian.
Puisi Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) menggambarkan perjalanan hidup seorang seniman:

Apalah sangat—walaupun direngkuh kekecewaan—untuk tidak memenangi sayembara atau hadiah sastera. “Are you going to stop writing because you didn’t win an award or competition?” ujar Isteri saya, seorang guru Bahasa Inggeris.
Adakah saya tidak akan makan kuetiau goreng kerana ada tauge?
Masih ada ketikanya saya terlupa untuk memaklumkan saya tidak mahu tauge dalam pesanan kuetiau goreng saya. Namun begitu, kebelakangan ini, apabila hidangan itu sampai di meja makan, saya tidak lagi mengasingkan tauge satu per satu. Sebaliknya, saya mula fikir: ‘hey … rasanya tidaklah begitu teruk.’
(Adakah hal ini menandakan kemenangan bagi pencinta tauge?)
Maka, antara tidak menerima anugerah dengan sepinggan tauge, barang kedua lebih mudah ditelan.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.