Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2023/2024 sebagai pengiktirafan kepada karya-karya sastera berbahasa Melayu yang terbaik.
Pengumuman yang disiarkan menerusi laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia itu bertujuan mempelawa para penulis dan penerbit untuk menghantar penyertaan bagi karya-karya sastera berbahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 2023 dan 2024.
HSPM 2023/2024 menawarkan pengiktirafan dalam empat kategori utama. Kategori A merangkumi buku/kumpulan karya yang meliputi puisi, cerpen, novel, drama pentas, esei/kritikan sastera, kajian sastera, dan biografi/autobiografi/memoir.
Kategori B pula adalah untuk karya eceran yang merangkumi puisi, cerpen, cerpen remaja, drama pentas, esei/kritikan sastera makalah ilmiah, dan esei/kritikan sastera makalah separa ilmiah.
Sementara itu, Kategori C khusus untuk buku sastera kanak-kanak yang merangkumi kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, novel kanak-kanak, drama pentas kanak-kanak, dan buku bergambar kanak-kanak.
Kategori D pula tertumpu pada buku sastera remaja termasuk kumpulan puisi remaja, kumpulan cerpen remaja, novel remaja, dan drama pentas remaja.
Satu daripada syarat penyertaan yang ditetapkan ialah karya yang dihantar hendaklah karya penulis perseorangan yang terbit buat kali pertama pada tahun 2023/2024.
Untuk kategori tertentu seperti karya eceran, karya tersebut hendaklah disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal, dan buku yang terbit buat kali pertama pada tahun 2023/2024.
Bagi genre drama pentas pula, skrip drama yang disertakan hendaklah karya penulis perseorangan yang disiarkan dalam akhbar, majalah, jurnal, buku atau dipentaskan buat kali pertama pada tahun 2023/2024.
Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 30 Januari 2026 (Jumaat). Maklumat lanjut boleh didapatkan dengan menghubungi urus setia di talian 03-21479127/9125 atau melalui e-mel [email protected].
Orang ramai juga boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk memuat turun syarat dan borang penyertaan.
