Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKATEGORI A: KUMPULAN DRAMA
Panel penilai menerima sembilan buah buku drama/kumpulan drama seperti yang berikut:
Panel penilai secara sepakat menolak dua buah buku daripada sembilan pencalonan yang tersenarai di atas kerana karya-karya tersebut tidak menepati kategori drama pentas. Dua pencalonan tersebut ialah Jabat Erat-erat karya Amin Masyhur dan Fajarul Ain karya Aminah Mokhtar. Jabat Erat-erat ditolak kerana buku tersebut ialah sebuah kumpulan skrip drama televisyen manakala karya Aminah Mokhtar berjudul Fajarul Ain, juga ditolak kerana buku tersebut ialah sebuah antologi kumpulan skrip drama radio. Sehubungan dengan itu, hanya tujuh buku drama yang dinilai oleh panel penilai.
Setelah meneliti tujuh buku drama yang berbaki daripada sembilan pencalonan awal, panel penilai seterusnya menggugurkan enam daripadanya kerana buku-buku tersebut tidak menepati kriteria penilaian, antaranya termasuklah panjang karya dan tempoh penerbitan dua pertiga skrip yang dikompilasi dalam buku tersebut, dihasilkan pada atau selepas tahun 2011. Justeru, hanya sebuah sahaja buku yang layak dipertimbangkan untuk penilaian kategori ini, iaitu Talbis Tuah karya Naim al-Kalantani.
Buku ini mengandungi sebuah sahaja skrip drama dengan lapan babak. Persoalan drama ini berkisar tentang Hang Tuah yang setia kepada Sultan Mahmud dalam melaksanakan tanggungjawabnya walaupun titah baginda keterlaluan serta menindas rakyat. Namun begitu, terdapat usaha mengemukakan dimensi baharu pada perwatakan Hang Tuah dalam melaksanakan titah sultan menculik Tun Fatimah. Skrip ini bersifat purbawara dengan membawa latar masa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Judul dan prakata buku ini menyatakan bahawa buku ini merupakan sebuah naskhah drama bangsawan, namun format skrip bangsawan tidak jelas seperti mana yang sepatutnya.
Identiti khusus teater bangsawan seperti lagu tarik nasib, tasmat dan extra-turn kurang jelas dalam buku Talbis Tuah. Oleh yang demikian, skrip ini lebih sesuai digelar purbawara kerana sifat umum subjeknya yang berlatarkan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Seperkara lagi tentang buku ini ialah kesahihan fakta subjeknya. Walaupun pengarang membuat pengesahan bahawa subjek drama ini digarap daripada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Kanun Melaka, timbul persoalan berhubung dengan kesahihan peristiwa dan watak-watak dalam drama ini.
KEPUTUSAN:
Kategori A: Kumpulan Drama
Panel Penilai sepakat membuat keputusan: tiada pemenang
KATEGORI B: DRAMA ECERAN
Panel telah menerima sebanyak 14 judul drama eceran. 13 judul ialah drama-drama yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera sepanjang tahun 2021/2022. Sebuah lagi judul adalah daripada buku drama Sang Maharaja dengan judul yang sama dihantar untuk penilaian, terbitan Iris Publishing & Distributors. Naskhah drama tersebut telah dibuat salinan dan digabungkan dengan judul-judul lain yang dihantar kepada panel:
Sebanyak 13 judul drama eceran yang menepati garis panduan penilaian HSPM. Drama “Wad 42” terkeluar daripada penilaian kerana penulisnya, Suratman Markasan ialah warganegara Singapura, sedangkan penilaian HSPM adalah untuk karya-karya bahasa Melayu oleh penulis warganegara Malaysia. Penilaian bagi drama eceran untuk tahun HSPM 2021/2022 ini melibatkan 12 orang penulis. Masing-masing dengan satu judul kecuali seorang daripada penulis ini mempunyai dua judul yang termasuk dalam kategori penilaian, iaitu Siti Jasmina Ibrahim melalui drama “Bazin Bawah Pintu” dan “Gantungkan Dulu Jakinya Itu” yang tersiar dalam tahun yang berbeza atau berturutan. Secara keseluruhan, drama-drama yang dinilai kali ini merupakan sumbangan penulis-penulis mapan yang telah mempunyai sejumlah judul penulisan bukan sahaja dalam genre drama, tetapi juga bidang penulisan yang lain. Namun begitu, terdapat juga beberapa nama baharu, khasnya dalam penulisan naskhah drama pentas.
Latar ini serba sedikit mempengaruhi kepelbagaian subgenre, bentuk drama serta aliran karya-karya yang dihasilkan. Begitu juga dengan mutu penulisan, khususnya dari segi teknik, pemikiran, gaya penyampaian, serta pemilihan isu dan konflik yang mahu dikupas. Beberapa drama masih lagi memperlihatkan pengaruh teater bangsawan dan purbawara dengan tema yang tidak jauh berbeza daripada cerita-cerita sedia ada. Selain itu, berdasarkan karya-karya yang diterima panel, terlihat juga kekeliruan tentang takrifan drama pentas sebagai salah satu genre kesusasteraan yang mempunyai ciri-ciri yang tersendiri untuk dikategorikan sebagai karya sastera. Beberapa drama kali ini juga membincangkan atau memaparkan isu dan situasi yang dapat dikaitkan dengan Islam. Walaupun jumlah drama untuk penilaian HSPM bagi kategori eceran ini masih lagi sedikit, tetapi tidak dinafikan beberapa buah drama telah membawakan pendekatan penceritaan, permasalahan serta latar yang baharu dan segar.
Panel penilai dengan kata sepakat memilih lima judul drama sebagai pemenang untuk Kategori B: Drama Eceran, iaitu:
ULASAN PEMENANG DRAMA ECERAN
“Bazin Bawah Pintu” merupakan drama berbentuk monodrama di mana watak utamanya ialah Teguh Al Zahri Syah (Teguh), seorang anak muda yang hanya mahukan kehidupan yang senang-lenang sampai dia lupa dalam proses pengumpulan kekayaan itu, dia telah menganiaya banyak pihak sehingga menyebabkan kematian dalam pelbagai cara yang tidak tergambar. Drama ini menampilkan keaslian persoalan dan mempunyai hubungan dengan situasi semasa yang mana masyarakat semakin mudah terjebak dengan penipuan (scammer) yang semakin licik hingga melibatkan banyak mangsa dan jumlah kerugian yang besar. Penyampaian permasalahan sikap dan nilai moral diri individu dalam bentuk monodrama merupakan suatu pendekatan psikologikal untuk menggambarkan serta menjelaskan dari arah pemikiran pelaku.
Terdapat empat lagi watak lain yang tampil dalam minda Teguh pada saat-saat beliau menerima atau sedang menjalani hukuman di bilik gelap, iaitu bilik yang lazimnya menempatkan penjenayah akhir yang bakal menerima hukuman bunuh, Bazin yang merupakan dirinya semakin beliau tidak kenali. Watak-watak tersebut ialah Haji Syukur yang menemui kematian dengan penuh tragis sehingga mencetuskan fitnah bahawa beliau telah mengambil nyawanya sendiri, sedangkan hakikatnya dia kemalangan jalan raya. Mona, Pen Akal serta Ibu begitu kecewa dengan perbuatan Teguh hinggakan semasa ibunya melawat di penjara atau bilik gelap itu, ibunya hanya berdiam diri dan Teguh tahu bahawa ibunya kecewa akan dirinya. Hal itulah yang membuat Teguh lebih menderita. Mona dan Pen Akal juga mangsa Teguh, tetapi situasi Pen Akal lebih sadis kerana dirinya sendiri yang menandatangani kerugian wang royalti hasil ciptaan lagu pada saat dia bersetuju menyerahkan segalanya kepada Teguh. Apabila dia sedar semuanya sudah tertandatangan secara hitam putih, yang menunjukkan kelicikan Teguh. Mereka merupakan wakil penderitaan ramai lagi, iaitu 33 orang keseluruhan mangsa yang ditipu oleh Teguh. Semua watak ini disampaikan sendiri oleh Teguh yang datang silih berganti pada saat psikologi beliau sangat rendah dan lemah.
Perjalanan drama ini terus kepada konflik dan detik-detik kritikal yang dihadapi oleh watak utama tanpa perlu khalayak pembaca menunggu lama untuk terus masuk kepada kesengsaraan dan harapan yang ditanggung oleh beliau. Simbol-simbol jiwa dan kebebasan ditampilkan sedikit demi sedikit untuk membina dan memegang saspens tentang perkara sebenarnya yang berlaku kepada Teguh. Drama ini membawakan sebuah tragedi moden yang meluaskan konsep tersebut kepada tidak hanya watak utama sahaja yang mengalami nasib malang dan menyedihkan pada pengakhiran hidupnya, tetapi juga watak-watak lain dalam lingkungan kehidupan watak utama itu ibarat domino. Suatu lambang persekitaran ekonomi dan sosial yang sedang sakit bakal memusnahkan ketenteraman mental dan fizikal masyarakat kontemporari.
Bahasa dan moral dalam menyampaikan isu-isu sensitif seperti pembunuhan, teknik penipuan dan kesan penderitaan terhadap mangsa yang digunakan dalam drama ini sangat terkawal dan tidak menjengkelkan, berbanding dengan tragis, marah, sesal, dan benci yang mempunyai lontaran vokal dan perkataan yang boleh menjadi kasar dan kesat. Secara tidak langsung drama ini juga telah menegur tentang fenomena perkongsian berita dalam media sosial tanpa usul periksa sehingga menghina mangsa yang terlibat. Teknik dan strategi plot imbas kembali antara keresahan jiwa dengan peristiwa-peristiwa yang menghumban Teguh ke bilik gelap itu disusun menggambarkan perasaan dan keadaan Teguh yang bercampur baur antara ngeri, ketakutan, harapan, kegembiraan, dan putus harapan melengkapkan penampilan naskhah ini yang sedia untuk dinikmati.
2. “Orang Bulan” (Yusof Bakar)
Keunikan drama ini ialah permasalahan futuristik yang dibawakan oleh penulis bersama latar, konsep, penghuraian fakta, serta istilah berkaitan dengan angkasa raya, bumi dan bulan yang mampu menyokong atau merangsang imaginasi pembaca. Drama ini tentang Nila dan Luna, anak dan ibu yang terpaksa berpindah ke bulan dan perlu kembali ke bumi kerana khidmat mereka tidak lagi diperlukan kerana akan digantikan dengan robot. Perbualan yang berat dan panjang, tetapi masih mampu menggerakkan drama ini dengan pantas pada konflik yang berlaku. Ada elemen sains dan psikologi yang diterapkan secara langsung tetapi tidak memaksa. Fakta, keterangan dan huraian disampaikan dalam dialog dan aksi emosi, serta teknik persembahan naratif yang menguji fokus pembaca.
Kepada khalayak yang kenal bentuk-bentuk drama awal aliran eksperimental di Malaysia pada tahun 1970-an dan 1980-an, yang juga kerap disebut sebagai drama absurd, naskhah ini membawakan kembali konsep Waiting for Godot, yang perbincangan tiada kesudahan tentang persoalan mahu pulang ke bumi atau tinggal di bulan. Dalam perulangan perbincangan tentang isu yang sama, drama ini menganjakkan konsep drama absurd itu kepada kerumitan proses uji kaji yang akan dilakukan oleh para saintis berkali-kali dan hal itu melibatkan banyak pihak, termasuklah para pelakon terlatih untuk menghasilkan suatu situasi yang realistik. Begitulah drama ini mencabar pelakon untuk membawakan watak yang diperlukan oleh sang pengarah hinggakan bahan uji kaji secara langsung ialah watak Luna, tetapi secara tidak langsung merupakan khalayak pembaca, tidak sedar mereka dalam makmal ujian. Ketika masing-masing membaca naskhah ini adakah mereka turut keliru dengan rasa déjà vu pelakon atau masing-masing dapat mengasingkan diri daripada terpengaruh dengan kekeliruan watak yang ditampilkan.
Pengarang mengolah drama ini dalam pandangan jauh dan besar tentang ekonomi dan politik dunia, yang indeksnya merupakan kekayaan dan kekuasaan. Cukup kaya untuk mengumpulkan jaringan rangkaian media dan jenama utama serta berpengaruh dunia akan memberikan individu atau organisasi itu kuasa untuk menentukan hala tuju dunia ini pada masa hadapan. Bumi ialah komoditi, begitu juga cakerawala dan angkasa raya merupakan permainan industri pada masa hadapan yang sudah pun dapat dilihat pada masa kini. Konsep, istilah, falsafah dan isu berkaitan dengan sains dan teknologi disebutkan atau dibincangkan oleh watak-watak ini dengan begitu lancar dan pantas dalam perbahasan, perbincangan dan soal jawab antara keduanya menyebabkan hal-hal yang berat itu dapat dipelajari, diketahui dan difahami. Drama ini menyediakan ilmu-ilmu yang terasa berat kepada sebuah karya sastera tetapi diolah dan dibentangkan dengan begitu mengujakan untuk khalayak terus mengikuti ke mana lagi arah tuju perbincangan sama ada tinggal di bulan atau di bumi ini:
>>>>>LUNA: Nila, kau tidak percayakan Tuhan?
>>>>>NILA: Percaya atau tidak bukan persoalan utama. Ia tiada
>>>>>>>>>>kaitan dengan punca ibu tidak mahu pulang ke bumi.
>>>>>LUNA: Bukankah ibu sudah terangkan sebabnya, bumi sudah
>>>>>>>>>>>musnah! Mana perginya The Paris Agreement 2015 (COP21).
>>>>>>>>>>>Mana janji China untuk bebas karbon pada tahun 2060? Mana
>>>>>>>>>>>janji Amerika untuk bebas karbon 2050? Tapi itu tidak jadi
>>>>>>>>>>>masalah sekarang, kan? Kerana kamu pun tidak dibuang kerja
>>>>>>>>>>>dan kita akan terus tinggal di bulan ini selama-lamanya.
3. “Sampai Hidup Harung Sengsara (Keterangan Terakhir Ka’ab bin Malik)” (U-Wei Haji Saari)
“Sampai Hidup Harung Sengsara” menghidupkan kisah daripada hadis melalui peristiwa dan watak-watak sejarah Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dengan dialog yang berkesan dalam menyampaikan ajaran-ajaran al-Quran, skrip ini menyerupai tradisi Passion Plays dari era Enlightenment dalam sejarah teater dunia. Watak-watak dibentuk dengan cermat untuk mencerminkan psikologi mereka, memperlihatkan status, kasih sayang dan penghormatan antara Nabi Muhammad SAW dengan para sahabatnya secara khusus, serta komuniti Islam di Madinah secara lebih umum.
Karya “Sampai Hidup Harung Sengsara” berjaya mewujudkan kesatuan organik melalui naratif yang tidak hanya berpusat pada satu watak, tetapi memperlihatkan perspektif kolektif yang melibatkan pelbagai watak dari zaman Nabi Muhammad SAW. Hal ini menciptakan pengalaman teater yang bukan sekadar bersifat individu tetapi komunal, memperkaya plot dan meluaskan pemahaman penonton terhadap konteks sejarah dan budaya Islam. Watak-watak lain yang diperkenalkan menyokong naratif utama, menguatkan kesatuan cerita dan mendalamkan konflik yang dihadapi. Premis cerita yang diangkat dalam karya ini tidak hanya menyorot perspektif sahabat Nabi, Ka’ab bin Malik, tetapi juga memperkenalkan watak-watak lain yang memperkaya naratif (berbeza dengan “Menunggu Kata dari Tuhan” oleh Dinsman), menjadikannya lebih kolektif dan dramatik. Dengan memperluas perspektif daripada sekadar pandangan peribadi kepada sudut pandang yang lebih komunal, naskhah ini tidak hanya terfokus pada konflik dalaman Ka’ab bin Malik, tetapi juga pada dinamika sosial yang melingkungi insiden tersebut.
Persoalan moral dan etika yang diangkat seperti tanggungjawab, kesetiaan dan keberanian disampaikan dengan keaslian dan kedalaman. Ka’ab bin Malik sebagai watak utama, menghadapi dilema moral yang memungkinkan penonton untuk merenungkan isu-isu besar dalam kehidupan. Karya ini memaparkan isu keengganan untuk berperang dan pelbagai justifikasi yang menyertainya secara matang, mencabar penonton untuk melihat persoalan ini dari sudut pandang yang lebih mendalam dan reflektif.
Bahasa dan dialog yang digunakan di dalam skrip ini menggabungkan estetika yang indah dengan mesej kemanusiaan yang mendalam. Setiap dialog disusun dengan ketelitian untuk menambah dimensi psikologi pada watak-watak, di mana emosi seperti keraguan, penyesalan dan rasa hormat antara Nabi Muhammad SAW dengan sahabatnya diekspresikan dengan teliti. Contohnya, dialog yang menyentuh tentang keraguan dan penyesalan Ka’ab memberikan kedalaman psikologi yang menambah dimensi kepada watak, melangkaui karya dakwah konvensional. Hal ini menjadikan naskhah bukan sahaja sarat dengan makna, tetapi juga menyentuh perasaan pembaca tanpa terlalu didaktik.
Skrip ini menyampaikan nilai-nilai moral yang halus namun mendalam, membawa elemen dakwah dalam bentuk yang tidak konvensional. Dengan menampilkan hubungan kasih sayang dan penghormatan antara Baginda dengan para sahabat, ada contoh teladan yang diangkat dengan penuh keindahan dan kelembutan. Persoalan mengenai tanggungjawab individu dan komuniti diungkapkan secara simbolik, mengajak penonton untuk menghayati keindahan moral di sebalik setiap dialog dan aksi. Dalam karya ini, konflik antara kesediaan untuk berperang dengan pelbagai justifikasi yang menyertainya bukan sahaja menggambarkan dilema moral yang dihadapi oleh Ka’ab, tetapi juga membuka ruang kepada khalayak pembaca untuk merenung persoalan-persoalan besar mengenai tanggungjawab, kesetiaan dan keberanian.
Karya ini mempamerkan inovasi dalam pendekatan teater dengan menggabungkan teknik-teknik seperti monolog, dialog berlapis dan simbolisme dalam gerak tubuh. Teknik-teknik ini tidak hanya meningkatkan intensiti dramatik, tetapi juga menciptakan peluang untuk eksplorasi kreatif dalam lakonan dan pengarahan. Dengan elemen-elemen ini, naskhah ini melangkaui batasan teater konvensional dan lebih menyerupai pementasan penuh ekspresi, menghidupkan teks melalui potensi visual dan emosi yang kaya.
Keupayaan pengarang untuk menerobos batasan konvensional ini dapat dilihat melalui pelbagai teknik teaterikal yang digunakannya seperti penggunaan monolog dan dialog berlapis-lapis yang memperkuat intensiti dramatik. Teknik ini membolehkan karya ini berfungsi lebih daripada sekadar sebuah closet drama. Seakan-akan hal tersebut dicipta dengan niat untuk dipentaskan, memberikan peluang kepada pelakon dan pengarah untuk mengeksplorasi aspek lakonan dan pengarahan yang lebih kaya dan dinamis. Misalnya, penggunaan simbolisme dalam gerak tubuh dan ekspresi wajah yang sering kali hanya tersirat dalam teks dapat dihidupkan di atas pentas, menjadikan pengalaman menonton lebih imersif dan bermakna. Dengan menggabungkan elemen-elemen dramatik dan pemikiran, ia tidak hanya sebuah naskhah yang dramatik, tetapi juga sebuah karya yang menuntut pembaca untuk berfikir secara kritikal tentang isu-isu moral dan etika yang relevan dengan kehidupan kontemporari.
Secara keseluruhan, kami bersepakat menyatakan bahawa “Sampai Hidup Harung Sengsara” merupakan naskhah yang tidak hanya mempunyai kekuatan dramatik dan berkesan dari segi naratif, tetapi juga mampu mengundang penonton untuk berfikir kritis terhadap isu-isu moral dan etika. Karya ini menunjukkan kekuatan penceritaan yang bukan sekadar menghidupkan sejarah, tetapi juga mencerminkan relevansinya dalam kehidupan kontemporari, menegaskan bahawa fungsi teater sebagai medium yang dinamik dan merangsang minda.
4. “Gantungkan Dulu Jakinya Itu” (Siti Jasmina Ibrahim)
Drama “Gantungkan Dulu Jakinya Itu” membawakan kisah, situasi serta isu pengurusan harta pusaka atau khazanah warisan yang dikotomikan dengan kemarahan gunung, yang jika meletup akan memusnahkan segala impian. Harta pusaka yang menjadi perbalahan ini milik Pak Iong yang baru sahaja meninggal. Beliau merupakan tokoh pemimpin yang hebat, mempunyai ramai pengikut pelbagai bangsa dan umur. Tanpa disedari oleh ramai pihak, setiap pemimpin yang hebat dan amanah akan melahirkan pengikut dan orang-orang dalam lingkungan yang hebat dan setia, yang memahami hasrat sang pemimpin untuk nusa dan bangsa. Biarpun ramai pengikut, tetapi bagi Pak long bukan semua orang mampu memimpin, jika tersalah pilih:
Ranap jadinya rumah ini. Jendela ini akan tinggal bingkai sahaja, pintu dan dinding ini akan digadainya. Bumbung dan tiang seri di sini, dilelongnya ke pihak luar yang hanya menunggu masa untuk masuk ke dalam dan bertapak kekal. Mana mungkin aku akan benarkan ini berlaku!
Gunung digunakan sebagai suatu perumpamaan untuk menggambarkan suatu suasana yang mesti dikawal daripada menyebabkan kemarahan gunung yang bertahan ‘memerhatikan’ keadaan masyarakat di bawahnya yang melakukan kesalahan terhadap tanah air sendiri, yang lebih teruk dan hina kesan kemusnahannya berbanding dengan dilakukan oleh pihak musuh. Tanpa keturunan dan warisnya ketahui bahawa gunung merupakan suatu amaran terhadap bentuk kemarahan yang akan memusnahkan, iaitu kemarahan Sulung, kawan baik kepada Pak long.
Sulung dalam drama ini sebenarnya telah membunuh Zulaikha, Kabo dan Kair kerana pertelingkahan dan tindak-tanduk ketiga-tiga mereka hingga mengganggu satu-satunya waris yang dipercayai oleh Pak Iong untuk mentadbir atau memimpin kelompok pengikut dan warisan beliau, iaitu Wadi. Sulung tahu pergolakan yang sedang berlaku dan niat Kabo untuk menjual pusaka yang ditinggalkan oleh Pak long serta kerisauan sahabat baiknya itu akan sikap pemimpin yang tidak cintakan nusa, tempat untuk berlindung seperti yang telah Pak long usahakan yang begitu gah hingga nilaiannya begitu tinggi. Selepas segala pergolakan berlaku, drama ini diakhiri dengan penyelesaian yang melegakan, tetapi tetap sinis kerana “galeri orang kita” yang akan dibuka oleh waris Pak long, iaitu Wadi umpama kehebatan silam yang agung itu hanya tinggal kenangan dan catatan. Wadi mahu meneruskan legasi kepimpinan Pak long, tetapi keupayaannya belum lagi teruji. Namun, sekurang-kurangnya suasana tenang di tanah pusaka itu akan menggantung jaki Sulung yang mampu mencetuskan situasi yang parah kepada yang menjadi punca ketidakstabilan warisan Pak long.
Jaki gunung ibarat jati diri yang dipasakkan ke dalam diri anak-anak bangsa. Apabila tiada lagi jati diri itu dalam diri seseorang, maka itu akan mengganggu gugat keselamatan negara, bila-bila masa akan dijajah oleh orang luar yang hanya menunggu peluang. Dengan tawaran dan tipu daya kemewahan yang hebat kerana hanya memikirkan kesenangan diri dan jangka pendek, negara akan musnah. Penerapan jati diri yang tepat oleh pemimpin sangat penting untuk mewariskan rasa cinta kepada tanah air. Dengan rasa cinta yang mendalam itu akan muncul pejuang yang sanggup membela tanah air walau dengan apa-apa acara sekali pun. Itulah pejuang yang tidak didendang yang wujud dalam setiap bangsa bermaruah.
Latar dan suasana yang resah dengan menggelegakkan gunung berapi, antara konflik dengan psikologi watak mewujudkan unsur cemas dalam pergerakan plot. Pengakhiran plot mencabar emosi menunggu keputusan daripada pergolakan itu, adakah gunung itu akan meletup dan apakah nasib penduduk di dalamnya. Aksi-aksi cemas, pertengkaran yang sentiasa genting, kemasukan unsur-unsur kejutan dari semasa ke semasa menyediakan plot yang begitu dinamik. Akhirnya, suatu kesudahan yang melegakan walaupun untuk seketika kerana dengan kesudahan yang ditampilkan itulah letupan yang bakal memusnahkan itu mampu diredakan dan bertahan daripada meletus.
Banyak perbahasan dan mesej kepada rakyat dan pemimpin tentang rapuhnya sebuah negara tanpa kepimpinan dan pewarisan yang hebat. Drama ini mahu menerangkan tentang usaha memasakkan rasa cinta dan kasih kepada tanah air haruslah berlaku dengan dalam supaya kesannya kuat. Ancaman jaki gunung hanyalah kias ibarat untuk menggambarkan kemusnahan yang bakal berlaku apabila harus sentiasa diingatkan ibarat bayang mengekor di belakang.
5. “Ghaib” (Faisal Tehrani)
Naskhah “Ghaib” menampilkan pendekatan penulisan dan pementasan secara tegas menuntut kecerdasan yang tinggi daripada pembaca dan penonton, menempatkannya sebagai sebuah karya yang menuntut lebih daripada sekadar apresiasi pasif. Dengan menggabungkan elemen-elemen ini, “Ghaib” tidak hanya sekadar memenuhi syarat-syarat sebuah drama pentas yang efektif dan inovatif, tetapi juga menetapkan satu tanda aras baharu dalam penulisan dan pementasan teater kontemporari.
Isu-isu dan persoalan yang dibawa dalam “Ghaib” adalah padat dan kritikal, memerlukan renungan intelektual yang mendalam. Sebagai contoh, naskhah ini mungkin mengangkat tema seperti keraguan eksistensial yang disampaikan melalui dialog yang bersifat tidak langsung atau didaktik. Keadaan itu memungkinkan renungan kritis yang lebih mendalam terhadap isu-isu sosiopolitik yang dipersembahkan. Pemaparan watak-watak dalam naskhah “Ghaib” dilakukan dengan ketelitian dan perincian yang cemerlang di mana setiap watak disusun dengan rapi untuk mencerminkan ideologi dan sikap tertentu.
Teknik multifokus atau polivokal yang diterapkan oleh penulis tidak hanya berfungsi sebagai alat naratif, tetapi juga sebagai strategi untuk memperdalam keterlibatan intelektual audiens. Sebagai contoh, penggunaan sudut pandang berbilang dalam naskhah ini mengajak penonton untuk melihat setiap peristiwa dari perspektif yang berbeza, mencabar mereka untuk menyusun semula makna daripada serpihan dialog dan tindakan yang terpecah-pecah. Keadaan ini mengingatkan kita kepada karya hebat seperti Fences oleh August Wilson, di mana setiap watak adalah kompleks, memberikan pandangan yang unik dan kadang-kadang bertentangan sehingga memaksa pembaca untuk mengambil peranan aktif dalam mentafsirkan cerita. Watak-watak ini tidak hanya berfungsi sebagai alat naratif, tetapi juga sebagai perwujudan ideologi yang relevan dengan konteks semasa dan Malaysia khususnya.
Secara keseluruhan, naskhah “Ghaib” berdiri sebagai karya teater yang unik dan mendalam, menggabungkan intelektualisme dengan keaslian persoalan sosial dan eksistensial yang relevan. Melalui pendekatan naratif berbilang perspektif serta watak-watak kompleks yang mencerminkan ideologi yang kritis, naskhah ini menuntut keterlibatan aktif dan kritis daripada audiens. “Ghaib” bukan sahaja memenuhi syarat sebuah pementasan yang berkesan, tetapi turut menetapkan piawaian baharu dalam dunia teater kontemporari Malaysia, menjadikannya sebuah karya yang menginspirasi dan merangsang perdebatan intelektual di luar pentas.
ULASAN KESELURUHAN PENILAIAN
Terdapat beberapa karya yang berpotensi tetapi gagal untuk menyerlahkan nilai artistik dan intelektual yang seiring dengan perkembangan sastera kontemporari. Karya-karya ini cenderung untuk berlegar pada idea-idea naratif dan teknik penulisan yang ketinggalan, tidak memenuhi kriteria asas bagi sebuah naskhah yang berkualiti. Malah, terdapat juga percubaan dalam beberapa karya yang melanggar prinsip sastera, termasuk menampilkan interpretasi yang mengelirukan terhadap kesusasteraan tradisi Malaysia. Interpretasi yang tidak teliti ini berisiko menggugat nilai kesenian tradisional kerana elemen-elemen asasnya kurang diolah dengan apresiasi dan pemahaman mendalam. Justeru, karya seperti ini sukar untuk diangkat kerana tidak mencapai kualiti yang diinginkan dari segi kreativiti dan integriti terhadap warisan kesusasteraan.
Penilaian bagi HSPM 2021/2022 menekankan struktur asas sebuah drama yang lengkap dan elemen keunikan idea mengikut prinsip-prinsip penulisan kreatif, serta mematuhi genre yang jelas. Setiap karya dinilai bukan sahaja berdasarkan kekuatan struktur naratif tetapi juga kemampuan untuk mengekalkan nilai moral dan adat yang baik tanpa melanggar batas-batas hukum yang diterima dalam masyarakat. Dalam konteks ini, percubaan dan inovasi yang diketengahkan oleh pengarang mestilah berlandaskan prinsip ini, memastikan bahawa pembaharuan tidak mengorbankan norma yang baik. Justifikasi ini menjadi asas kukuh mengapa karya yang tidak memenuhi piawaian teaterikal dan elemen penulisan yang berlandaskan etika ditolak; hanya karya yang bukan sahaja inovatif tetapi juga mematuhi struktur drama yang mantap, layak diiktiraf dalam anugerah ini.
Selain itu, keupayaan pengarang dalam menguasai elemen teaterikal menjadi elemen penting yang turut diperhatikan dalam pemilihan karya. Idea yang segar dan berdaya cipta bukan sahaja memperkaya landskap sastera tetapi memastikan sastera Malaysia terus berkembang secara dinamik. Keupayaan untuk menguasai elemen teaterikal seperti penataan adegan, unsur-unsur dramatik, pembinaan watak yang kuat, dan penyampaian yang berkesan menjadikan karya drama pentas berdiri sebagai satu cabang sastera tersendiri berbanding dengan karya sastera lain yang tertumpu pada elemen bahasa sepenuhnya.
PANEL PENILAI
Dr. Nur Afifah Vanitha Abdullah
Dr. Fazilah Husin
Dr. Syahrul Fithri Musa

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.