Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 06:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

PENDAHULUAN

Sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah menerima sejumlah 57 buah novel untuk dinilai pada tahun penilaian 2021/2022. Penilaian dilaksanakan dalam dua tahap, iaitu penilaian awal dan akhir. Pada penilaian awal panel penilai telah menyenarai pendek sejumlah 10 buah novel untuk dibawa ke penilaian akhir. Panel Penilai Peringkat Akhir HSPM Kategori Novel telah meneliti dan menilai novel tersebut. Novel-novel tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Kuala Lumpur di Sebalik Bulan, Hafizah Iszahanid (PENA, 2021).
2. Tersungkurnya Rimba Merah, Shaari Isa (DBP, 2021).
3. Kosmonaut, Lokman Hakim Abdul Wahid (DBP, 2021).
4. Cerita Sebuah Rumah, S.M. Zakir (Nusa Centre, 2021).
5. Cinta Ichiro di Lembah Padas, Saindah Kanalam (DBP, 2021).
6. Tabula Rasa, Hafizah Iszahanid (GAPENA, 2021).
7. Sepasang Bulan, Amelia Hashim (DBP, 2022).
8. Phensi, Prasert Eh Chai (DBP, 2022).
9. Hambat Martabat, Hanita Hassan (GAPENA, 2022).
10. Mahkota Duka Sirna Sipeterana, Zamidah Hashim (Nuha Books, 2022).

Bagi mencari pemenang, penilaiannya adalah dengan menggunakan asas analitikal untuk menguji mutu karya di samping kaedah perbandingan untuk menentukan hierarki kedudukan. Panel berpendapat, kriteria mutu hanya dapat berperanan pada aras lazim penelitian, dan karya yang melepasi saringan sememangnya memiliki ciri yang ditetapkan. Bagi mencari karya terbaik, kaedah perbandingan akan menjadi jalan terbaik.

KRITERIA PENILAIAN

Kami telah melakukan pembacaan dan penilaian berdasarkan lima kriteria seperti yang berikut:

i. pengemukaan subjek cerita bernilai positif dari segi kebaharuan nilainya bagi menempatkan sastera sebagai wadah pembinaan ilmu dan pengetahuan;

ii. penampilan watak yang positif dan bersifat dinamik dalam lingkungan masyarakat majmuk;

iii. penyisipan nilai etika dan visi hidup yang positif;

iv. pengaplikasian teknik penulisan yang segar dan sesuai bagi menyerlahkan tema dan persoalan;

v. bahasa sebagai sarana penyampaian pemikiran dan subjek cerita perlu memperlihatkan keserasian dan kuat dari segi estetika.

PENILAIAN UMUM

Berdasarkan lima kriteria tersebut, kami menilai novel-novel yang telah melepasi panel peringkat saringan. Dalam pembacaan teliti, di samping kekuatan karya, kami temukan beberapa kelemahan yang menjejaskan mutu dan kedudukannya secara perbandingan antara semua karya. Antara kelemahannya termasuklah kegagalan karya bercorak futuristik menampilkan logik masa depan dari segi subjek mahupun semangat zaman; penjejeran konflik yang terlalu panjang; pemanipulasian bahasa yang tidak menepati semangat zaman dalam karya bercorak sejarah; pemaparan naratif yang terlalu polos seperti dalam buku bersifat faktual; kecelaruan arah dalam penceritaan lantaran kepanjangan yang dibuat-buat; serta pembinaan plot yang mendatar dan kurang menimbulkan rasa ingin tahu serta kesan saspens.

Hasil daripada pertimbangan panel, tiga buah novel disenarai pendek untuk dibawa dalam perbincangan akhir seperti yang berikut:

1. Phensi
2. Tersungkurnya Rimba Merah
3. Cinta Ichiro di Lembah Padas

Panel akhirnya memutuskan novel Phensi sebagai pemenang bagi kategori Novel.

ULASAN PENILAIAN NOVEL PEMENANG

Novel Phensi mengisahkan Phensi, iaitu gadis buta yang meminati seni menora dan berhasrat mempelajarinya dengan lebih mendalam. Dia menghadapi kekangan lantaran kecacatan fizikal telah membataskan dirinya untuk mempelajari seni tari yang memerlukan gerak langkah estetik tertentu. Walau bagaimanapun, kesungguhan Phensi yang sangat cinta akan tarian menora mengatasi kekurangan pada dirinya. Impian yang tinggi telah menyuburkan kegigihan Phensi untuk berusaha mempelajari tarian menora secara mistik yang diajar oleh Mae Sri Mala, watak mitos dalam dunia menora masyarakat Siam.

Pengarang menampilkan watak Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai memiliki kelebihan dan keupayaannya tersendiri. Watak utama novel ini, Phensi, memiliki nilai sahsiah yang terpuji kerana kecekalannya mengharungi siri ujian hidup. Walaupun dia tidak memperoleh kasih sayang sepenuhnya daripada ibu kandung yang terpisah semasa kecil, dan kemudian diasuh oleh keluarga angkat, tidak sesekali dia berputus asa untuk meneruskan kehidupan dengan semangat waja. Phensi memiliki keyakinan tinggi, sentiasa berfikiran positif, rajin membantu kerja rumah keluarga angkatnya, setia kawan dalam galur persahabatan dan sangat menghormati orang tua.

Pengarang mengolah persoalan berkaitan dengan kemampuan manusia istimewa dalam mengembangkan potensi diri dengan keyakinan bahawa tiada yang mustahil untuk dilakukan sejajar dengan ungkapan Melayu, iaitu “di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya” dan “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Pengolahan pengarang kelihatan tidak terlalu kompleks, sebaliknya berasaskan sandaran sebab dan akibat melalui jalur naratif yang dibina dengan teknik imbas muka, imbas kembali dan plot berkembar.

Subjek seni menora yang ditampilkan dalam novel ini amat langka dalam ranah sastera kebangsaan, namun sejajar dengan keperluan semasa, lebih-lebih lagi dalam era pembinaan negara bangsa yang berteraskan MADANI. Novel ini dapat memugar semangat pembaca, khususnya generasi muda supaya memahami masyarakat lain secara lebih akrab bagi mewujudkan hubungan yang harmonis dan bersatu padu demi kemaslahatan sebuah negara bangsa. Malahan, bukan sahaja seni menora dan kegigihan watak Phensi yang mengukuhkan naratif ini, gambaran keseluruhan kehidupan masyarakat Siam Kelantan juga sangat kuat menjadi paparan layar sosiobudaya.

Di samping itu, panorama kampung dengan latar budaya etnik minoriti Siam Kelantan dalam novel ini dapat menambah korpus ilmu kepada pembaca. Di samping elemen kesenian, penampilan budaya makanan, kegigihan masyarakat desa dalam perniagaan, serta usaha pertanian dapat menawarkan pengajaran dalam mendidik akal budi masyarakat. Sebagai produk budaya, novel ini berperanan sebagai sarana pemasyarakatan yang berkesan. Unsur ini dapat membangunkan kecintaan pembaca terhadap demografi, etnografi dan adat resam masyarakat berbilang bahasa, budaya dan agama dengan semangat saling toleransi serta hormat-menghormati demi misi perpaduan. Jika selama ini masyarakat luar tidak mengenali suatu kelompok etnik yang penting di negara ini, novel Phensi berupaya memberikan pencerahan secara artistik.

Dengan garapan gaya bahasa yang kemas, berestetika dan lancar, novel ini berupaya membangunkan kearifan tempatan sekali gus menyuntikkan daya ingin tahu pembaca tentang selok-belok budaya etnik minoriti. Pengarang mengusulkan dialek tempatan berserta glosari yang dapat menawarkan ilmu baharu kepada masyarakat lain. Usaha ini berperanan menggambarkan tautan emosi berserta dengan tuntutan inspirasi. Menelusuri teks novel ini merupakan pengalaman artistik dan estetik apabila kesan visual dan kesan emosi terangkum bersejajar ketika menikmati lembah kehidupan masyarakat yang indah dan bernuansa budaya.

Penukangan kreatifnya juga dapat dinikmati melalui teknik pensejajaran plot berkembar antara dunia realiti kehidupan Phensi dengan dunia mitos watak Mae Sri Mala dan watak-watak lainnya. Pengalaman halusinasi Phensi ketika melalui proses pembelajaran secara rohani dengan Mae Sri Mala dan paparan plot berkembar tersebut dapat dikaitkan dengan teknik realisme magis. Realisme magis merupakan pengolahan dunia mistik dalam kembaran dunia realiti tanpa memperlihatkan garis sempadannya. Demikianlah, pembaca dapat menerima dua cerita itu sekali gus dengan kepuasan berganda, apatah lagi pada akhir cerita semua kisah mistik itu dapat diberi fungsinya. Ceritanya terbina dalam satu kebulatan naratif; dan kepuasan artistik pun muncul di akhir cerita.

Dengan kekuatan cerita, keunikan persoalan, kelainan korpus budaya, serta kekemasan binaan naratifnya, novel Phensi dipilih sebagai pemenang bagi kategori Novel dalam HSPM 2021/2022.

PANEL PENILAI

Profesor Dr. Abdul Halim Ali
Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)

Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)

_________________________

Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi