Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Dalam penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, panel juri menerima sebanyak 24 kumpulan cerpen untuk dinilai pada peringkat saringan awal. Enam buah kumpulan melepasi saringan untuk dinilai pada peringkat akhir.
Penilaian bagi kumpulan cerpen berdasarkan kriteria umum, kriteria khusus dan kekuatan lain yang dinilai oleh panel penilai sebagai memiliki keistimewaan dan kelainan bersandarkan pencapaian keseluruhan cerpen yang terkandung dalam sebuah kumpulan. Bagi kriteria umum, karya dinilai berdasarkan kekuatan kesatuan semua cerpen dalam kumpulan cerpen, kekuatan dan keaslian persoalan yang dikemukakan secara kreatif, keseimbangan estetika bahasa yang menguatkan persoalan kemanusiaan, keindahan nilai, inovasi, dan kreativiti. Kumpulan cerpen juga dinilai dari segi penampilan kelainan atau dapat mewakili era penghasilannya, kekuatan ujaran dan kesan pemikiran serta persoalan yang dikemukakan dapat menyentuh sisi kehidupan masyarakat. Kumpulan cerpen juga dinilai pada keistimewaan dan keunikan ikatan bentuk cerpen secara keseluruhan yang menguatkan sesebuah kumpulan cerpen. Keseimbangan ujaran subjek, bentuk, teknik naratif, kekuatan bahasa, dan kesan nilai yang ditampungnya juga memberikan kelebihan pada sesebuah kumpulan cerpen.
KATEGORI A: KUMPULAN CERPEN
Panel penilai menerima enam naskhah buku kumpulan cerpen yang telah disenarai pendek seperti di bawah:
ULASAN KESELURUHAN
Kumpulan cerpen yang dibawa ke peringkat akhir memiliki subjek yang pelbagai, kebanyakannya berkaitan dengan kehidupan entiti masyarakat yang menjalani kehidupan dalam suasana kegawatan sosiobudaya, sosioekonomi dan siasah. Liku-liku persoalan tentang kepengarangan dan bidang kesusasteraan juga menjadi sebahagian isu yang diujarkan. Interaksi entiti sosial dalam pelbagai institusi dan sistem sosial secara mikro dan makro membawa gejala ketidakadilan terhadap lingkungan masyarakatnya. Pemilikan sumber kuasa dan pemaksaan kekuasaan mengakibatkan kesan psikososial yang mendalam apabila isu-isu yang menghimpit kehidupan entiti sosial itu tidak ditangani dengan cermat dan bijaksana. Musibahnya, hubungan antara entiti dalam institusi keluarga mengalami kesenjangan yang parah. Dalam institusi ekonomi dan pekerjaan pula, manipulasi kuasa, pemaksaan kuasa, penguasaan sumber, dan pengagihan nilai secara tidak adil mengakibatkan kesukaran hidup dalam kalangan masyarakat. Gejala tersebut membentuk perwatakan manusia yang galau. Kebanyakan cerpen dalam kumpulan dinilai menggunakan pelbagai teknik, antaranya termasuklah teknik aliran bawah sedar dan realisme magis untuk mengemukakan subjek dan mendalami gejolak rasa jiwa wataknya. Penggunaan teknik dan strategi naratif yang pelbagai perlu memberi penekanan pada kemasan substansi subjeknya. Kebanyakan cerpen yang dimuatkan lebih memaparkan gejala, situasi dan kesan akibat daripada permasalahan yang berkaitan dengan sifat peribadi yang kacau dan sistem sosialnya yang gagal berfungsi secara berkesan. Aspek nilai juga tidak digagaskan dengan jelas dan terabai. Pencapaian setiap cerpen dalam kumpulan secara tidak sekata boleh menjejaskan mutunya. Pencapaian sesebuah kumpulan cerpen sebagai suatu ikatan mutu yang kukuh dan binaan yang teguh memberikan kesan pada pencapaian sesebuah kumpulan cerpen.
Kumpulan cerpen pada peringkat akhir ini juga mengalirkan subjek dalam binaan bentuk naratif yang lihai dan mesra khalayak. Cerpen memberikan ujaran dan tanggapan tentang realiti kehidupan bangsa yang terperangkap dalam kepercayaan dan adat yang mengekang pemikiran rasional. Isu-isu kepercayaan dan sikap mengagungkan keperibadian individu yang dianggap memiliki keperibadian yang hebat secara taasub, akhirnya memerangkap pemikiran dan kehidupan masyarakat. Sebahagian cerpen menyampaikan maksud kalih makna terhadap kalangan penguasa yang tidak berintegriti. Sistem kepercayaan sedemikian turut mempengaruhi penguasa baharu yang mewarisi keperibadian yang merugikan rakyat. Dalam kumpulan cerpen yang dinilai turut mengemukakan isu kehidupan rakyat yang sukar disebabkan pengaruh kuasa politik dan wang sehingga wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menjaga kemaslahatan mereka akhirnya dieksploitasi dan dizalimi oleh penguasa yang memiliki sumber kekayaan. Hubungan penguasa siasah dengan kapitalis dalam pelbagai sistem kehidupan telah membentuk sebuah sistem yang rapuh aspek manusiawinya. Cerpen-cerpen yang termuat menampilkan pelbagai subjek dalam binaan strategi naratif yang konvensional, komunikatif dan garda depan.
PEMENANG KATEGORI KUMPULAN CERPEN
Mawar Safei, 2021. Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
ULASAN PENILAIAN CERPEN PEMENANG
Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya (Mawar Safei)
Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya mengandungi 20 buah cerpen yang dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi 11 buah cerpen yang berlatarkan naratif yang berlaku di Tanah Selandia Baru, manakala bahagian kedua mengandungi sembilan buah cerpen. Cerpen-cerpen dalam bahagian pertama kumpulan ini diterbitkan dalam tempoh sepuluh tahun pada tahun penilaian. Kumpulan cerpen ini membawa isu kemanusiaan sejagat dan tautan ukhuwah yang teguh antara watak berlainan latar belakang keturunan, budaya dan negara. Masing-masing menjadi penghijrah di Tanah Selandia Baru yang juga dikenali sebagai Negara Awan Putih yang Memanjang. Watak-watak penghijrah ini kebanyakannya pernah mengalami pengalaman pahit getir hidup di negara asal dan juga bagaimana mereka melalui kelangsungan hidup mereka dalam ranah baharu, sembari memperkukuh keimanan dan akidah mereka di negara baharu itu.
Bahagian pertama kumpulan ini berlatarkan Negara Selandia Baru. Cerpen dapat dibahagikan kepada tiga naratif. Cerpen “Infitar di Taman Salju”, “Suara dan Cintanya” dan “Bintang yang Satu di Langit Dini” ialah naratif tentang Riz yang berdarah Cina dan Turki serta berasal dari Negara yang Ditawan serta kisah tentang Tanah yang Dilupakan. Manakala, saya dari Tanah Khatulistiwa yang kebetulannya menjalankan penyelidikan di Universiti Victoria. Dalam cerpen “Infitar di Taman Salju”, Riz seorang bekas wartawan di negaranya yang meninggalkan ibunya lalu berhijrah untuk menyelamatkan agama leluhurnya dan keperibadian bangsa di negaranya yang dizalimi melalui penindasan ideologi Marx, Engel, Stalin, dan Mao. Tanah yang Ditawan itu juga menjadi lapangan ujian nuklear, bom atom dan hidrogen. Berlaku pembunuhan identiti secara revolusi budaya dengan meruntuhkan identiti etnik, agama, harga diri, dan ketamadunan, terutama terhadap rakyat yang menolak asimilasi. Kezaliman tersebut malahan dalam bentuk genosid. Di tanah baharu, Riz dapat melaksanakan tuntutan agama leluhurnya dengan istiqamah dengan mencintai serta mengambil ibrah daripada perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat yang dikatakan dapat “menumbuhkan keimanannya” sebagaimana dalam cerpen “Suara dan Cintanya”.
Dalam cerpen “Bintang yang Satu di Langit Dini”, kezaliman terhadap umat Islam di Tanah yang Ditawan, berlaku dalam keadaan apabila azan tidak dapat lolos untuk dikumandangkan, kalangan lelakinya diburu dan dihilangkan. Ayhan anak asli Turpan, seorang pencinta azan dan penyair yang sering menghidupkan semangat beragama itu juga tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Cerpen “Surat Rindu Mel” juga masih dalam lingkungan keterikatan subjek yang sama tentang upaya penghijrah yang saling meneguhkan keimanan, cakna terhadap nilai persahabatan dan persaudaraan Islam. Masing-masing saling meneguhkan keimanan. Mel yang tidak menemui lelaki pahlawan di pulau kelahirannya, mencari lelaki pahlawan itu di pulau Selandia Baru, menyertai usrah di Masjid Kilbirnie, mencintai al-Quran dan menekuni Sirah Nabi. Dia mencari Sang Pahlawan, lelaki budiman yang dicintainya yang membawa seribu cahaya.
Isu-isu berkaitan dengan keteguhan akidah dalam kalangan generasi muda Islam di tanah baharu itu menjadi antara subjek penting dalam cerpen-cerpen bahagian pertama, Narasi Tanah Selandia Baru. Umar yang dibesarkan ibunya setelah kematian bapanya, mengalami krisis kepercayaan beragama. Imaginasi Umar dikuasai oleh pemikiran bawah sedar akan kematian bapanya dan dinyatakan dalam bentuk skrip drama yang ditulisnya, tentang watak lelaki yang bawah sedar di dewan pembedahan bercakap dengan beberapa roh, termasuk roh bapanya. Umar perlu diberikan bimbingan untuk belajar mengenal Allah SWT serta menghentikan segala curiga dan pelbagai sangkaan tentang kepercayaan yang dianutinya. Watak “saya” yang mengenali keluarga kecil itu mula membandingkan keberuntungannya di tanah air, apabila anaknya yang mempunyai bapa cenderung untuk mengikuti bapanya ke masjid untuk solat subuh. Sedangkan Umar yang dibesarkan dalam keadaan keluarganya berpindah-randah ke mancanegara kurang mendapat didikan agama sewajarnya. Ketiadaan bapa sebagai pembimbing rohani dan kepercayaan agamanya menyebabkan kepercayaannya menjadi longgar. Dalam cerpen “Surat daripada Umar”, watak “saya” mendapat perkhabaran daripada Umar bahawa dia mula kembali ke kelas al-Quran. Hasil bimbingan rohani dan kesan pertemuan bawah sedarnya dengan lelaki fenomenal, dia mula mengerti tentang tujuan hidupnya dan arah tujuan kehidupannya.
“Perempuan Si Pemetik Harpa”, “Labuhan Sukma di Kapiti”, “Narasi Tongariro dari Penjuru Disember Lalu” dan “Bertemu Lagi Perempuan Si Pemetik Harpa”, juga merupakan sebuah narasi yang saling berkait sebagai cerpen episodik. Pertemuan antara lelaki baya tenaga pengajar dan penyelidik manuskrip Melayu dari Tanah Melayu dengan Perempuan Si Pemetik Harpa yang menguruskan pendokumentasian manuskrip. Cerpen-cerpen ini membawa suatu bentuk hubungan rasa dan jiwa atas rasa kagum dan rasa cinta terhadap keperibadian manusia yang dianggap istimewa. Kesan rasa sedemikian adalah sejagat sifatnya. Cerpen ini mengungkapkan sisi lain yang juga penting, bukan sekadar nilai rasa, tetapi kesedaran dan daya usaha untuk menjaga manuskrip-manuskrip Melayu di tanah asing. Terdapat perwatakan manusianya yang berwajah bulan penuh bermata biru yang profesional dalam bidang tugasnya serta berbakat dalam menghalusi karya Rumi dalam seni muziknya, tetapi tetap teguh akidahnya, dengan yang demikian cinta manusia yang nisbi antara lelaki dengan wanita itu tersirna oleh tujuan kehidupan yang hakiki.
Cerpen-cerpen dalam bahagian kedua, Kisah Lainnya, terdapat keragaman pada subjek kemanusiaannya dalam latar di luar lingkungan negara Selandia Baru. Cerpen-cerpen dalam bahagian kedua ini, mendalami nilai kekeluargaan yang lestari, nilai persahabatan luhur, isu gastronomi tentang hukum halal dan haram, isu integriti pihak penguasa yang mengawal ekonomi negara, isu kemaslahatan dan kebajikan anak yatim serta amalan berbahagi yang penuh keberkatan.
Kumpulan cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya secara keseluruhannya mempunyai kekuatan ujaran subjek secara ampuh. Subjek hubungan kemanusiaan sejagat dan persaudaraan ummah ini terjalin secara rentas bangsa mancanegara. Hubungan kemanusiaan itu diikat dengan keteguhan pegangan agama tauhid yang mendekatkan watak-watak yang pelbagai bangsa untuk mengenal Pencipta, mengenal diri dan mengenal tujuan hidup. Watak-wataknya istiqamah mendalami ajaran al-Quran dan mengambil iktibar daripada keperibadian Rasulullah sebagai uswatun hasanah, mengambil pelajaran daripada sahabat-sahabat nabi, mempelajari kitab-kitab agama serta menghayati sastera karya islami, telah meneguhkan tautan ujaran subjeknya dan membekaskan inti pati subjek.
Keberhasilan kumpulan cerpen ini selain gagasan subjeknya, juga adalah pada bentuk naratifnya yang bersifat episodik. Genre cerpen yang sedemikian, bukan sahaja memiliki kaitan antara watak-wataknya, peristiwa dan struktur plotnya, tetapi juga dapat memberi fokus yang lebih mendalam terhadap subjek yang dibawa naratif. Dengan yang demikian ketekalan ujaran subjeknya dan substansi subjek digagaskan secara bersepadu. Setiap cerpen memiliki kekuatannya yang tersendiri pada ujaran subjeknya, bentuk, gaya penulisan, strategi naratifnya, kesan nilai, dan gaya bahasa yang lunak memikat.
Keseluruhan cerpen dalam kumpulan ini sekata pencapaian naratifnya dan dapat mengukuhkan kekuatannya sebagai sebuah kumpulan cerpen. Bentuknya yang simplistik memberikan kekuatan apabila idea-idea yang kompleks, dapat disampaikan secara lihai dengan menggunakan bahasa yang indah, lunak dan mesra khalayaknya. Cerpen memberikan kejelasan idea dan subjeknya, maka penggunaan perkataan yang berbentuk jargon dan bentuk hiasan yang tidak berfungsi jarang terdapat dalam naratifnya. Kekuatan cerpen ini adalah pada sudut pandangan orang pertama yang memberikan kesan ekspresif melalui aliran naratifnya dan kesan kekuatan subjeknya. Cerpen-cerpen dalam buku ini mempunyai keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan. Keindahan akhlak turut terdapat dalam naratif. Kumpulan cerpen ini memasukkan unsur inovasi dalam kreativiti dengan menonjolkan kepelbagaian dalam gaya penulisan, antaranya termasuklah bentuk epistolari, perlambangan, petikan, rujukan yang berwibawa serta menggunakan medium lain untuk mengukuhkan ujaran dan gagasan pemikiran.
KATEGORI B: CERPEN ECERAN
Pada tahun penilaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022, panel juri menerima sebanyak 754 cerpen untuk dinilai pada peringkat saringan awal. 34 cerpen melepasi saringan dan dibawa untuk penilaian pada peringkat seterusnya. 15 cerpen dinilai pada peringkat akhir, 10 cerpen diperakukan untuk menerima HSPM 2021/2022.
Penilaian karya-karya ini dilakukan antaranya berdasarkan ujaran subjek atau pemikiran, strategi naratif, keberkesanan teknik, kekemasan struktur binaan, kesesuaian gaya bahasa dengan bentuk naratif, serta kehalusan nilai estetika. Setiap aspek ini diteliti dan dianalisis bagi memastikan kesepaduannya dalam mengukuhkan daya kekuatan sesebuah karya.
KRITERIA PENILAIAN
Panel Penilai HSPM 2021/2022 memaklumkan bahawa pemilihan cerpen dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama yang merangkumi pemikiran, kreativiti, gaya bahasa, serta keseimbangan antara ketiga-tiga elemen tersebut. Panel penilai mempertimbangkan kekuatan dan keaslian persoalan yang diketengahkan dalam karya, sama ada berkaitan dengan isu-isu semasa, peristiwa sejarah atau persoalan lampau yang merangkumi masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Cerpen yang dinilai bukan sahaja harus mampu menggerakkan pemikiran, tetapi juga berupaya menyentuh emosi pembaca. Dalam masa yang sama, karya yang dipilih perlu menampilkan nilai moral dan etika yang tinggi, selari dengan peranan sastera sebagai wahana pembentukan pemikiran yang matang serta berteraskan nilai-nilai kemanusiaan.
Dari segi bahasa, sesebuah cerpen harus memperlihatkan penggunaan bahasa yang indah, kreatif, imaginatif, dan berkesan. Bahasa yang digunakan bukan sekadar menyampaikan makna cerita, tetapi turut menjadi medium pemikiran, ideologi dan estetika yang mampu menunjang tema dengan kukuh. Keindahan bahasa dalam karya sastera bukan sekadar elemen hiasan, tetapi turut berperanan sebagai wadah ekspresi yang menggugah minda pembaca.
Selain itu, cerpen yang dinilai perlu memiliki kekuatan kesatuan organik dalam kepengarangannya, iaitu keseimbangan antara isi dengan bentuk, kesinambungan antara tema dengan teknik naratif, serta kesepaduan dalam penyampaian cerita. Kesatuan organik ini menjadikan sesebuah karya lebih mantap dan berkesan dalam penyampaian gagasan serta meninggalkan impak yang mendalam kepada khalayak pembaca.
Berdasarkan penilaian awal, sebanyak 32 cerpen dinilai dan dibawa untuk perbincangan pada peringkat seterusnya. Panel menggunakan kriteria umum dan kriteria khusus yang disediakan sebagai rujukan bagi membuat pemilihan.
Berdasarkan senarai saringan tersebut, 15 cerpen berikut dibincangkan dengan teliti pada peringkat penilaian akhir untuk menentukan 10 orang pemenang hadiah HSPM 2021/2022.
ULASAN KESELURUHAN
Cerpen-cerpen eceran yang dinilai dalam HSPM 2021/2022 mengetengahkan pelbagai isu yang mencerminkan realiti masyarakat dan kehidupan sejagat, antaranya termasuklah isu-isu kemanusiaan universal, tautan ukhuwah dan solidariti sosial, diskriminasi gender, serta kesan kuasa dan kekuasaan terhadap struktur sosioekonomi dan sosiobudaya. Selain itu, terdapat juga karya yang menyoroti kerancuan bahasa dan cabaran kelestariannya sebagai identiti sesebuah negara, persoalan falsafah dan pemikiran, serta keprihatinan terhadap ummah sejagat. Selain itu, karya-karya yang dinilai turut menggambarkan kelangsungan bangsa dan ketamadunan, memperlihatkan kritikan sosial yang tajam, serta menyajikan renungan mendalam terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Dengan menampilkan pelbagai dimensi persoalan dan wacana intelektual, cerpen-cerpen ini tidak hanya berfungsi sebagai cerminan realiti masyarakat, tetapi juga sebagai wahana untuk membangkitkan kesedaran dan memperkukuh pemikiran kritis dalam kalangan pembaca.
SENARAI PEMENANG KATEGORI CERPEN ECERAN
Setelah menghalusi setiap cerpen tersebut berdasarkan kriteria yang ditetapkan, panel mencapai keputusan bahawa 10 cerpen berikut layak diberikan HSPM 2021/2022:
ULASAN PEMENANG CERPEN ECERAN
1. “Gergasi” (Lokman Hakim)
Cerpen ini merupakan cerpen retrospektif sebagai satu bentuk renungan atau tinjauan kembali tentang realiti kehidupan manusia dalam menghadapi kemelut sosioekonomi. Individu atau satu kelompok berkepentingan yang memiliki punca kuasa, antaranya kuasa siasah, kuasa ekonomi memanipulasi punca kuasa untuk menindas kalangan penduduk yang tidak memiliki keupayaan untuk bertindak balas. Penduduk, akhirnya tertindas, dihimpit kemiskinan dan terpinggir. Penindasan itu juga akibat daripada pengkhianatan secara dalaman. Rumah dan tanah yang dimiliki penduduk dirampas secara licik oleh kalangan pemodal untuk membina apartmen mewah berharga jutaan ringgit. Harga yang tidak terbeli oleh penduduk warga kota. Penindasan itu membingungkan penduduk kerana hak mereka tidak mendapat pembelaan. Penjarahan yang berlaku itu mendapat perlindungan kerajaan, lalu membingungkan penduduk yang berasakan “kekuasaan itu membutakan”, tiada pihak yang membantu menegakkan keadilan.
Kekuatan cerpen ini terletak pada struktur plot yang lengkap, menjalinkan peristiwa-peristiwa yang terpilih untuk mengukuhkan ujaran subjek. Isu-isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat, terutama kesan pembangunan yang berleluasa di kota terhadap kebajikan rakyat, mengakibatkan kehidupan semakin terhimpit dan sengsara. Cerpen ini memiliki kekuatan dari segi penggunaan teknik alegori, imej fizikal gergasi bermata tiga tanpa mulut dan hidung, jari-jemari runcing yang diperbuat daripada logam merupakan lambang “jentera-jentera” pembangunan rakus kalangan penguasa dan pemodal yang mencengkam kehidupan rakyat melalui agenda pembangunan bermatlamatkan kepentingan peribadi. Cerpen ini mempunyai lapis makna yang serba mungkin.
2. “Insiden Kucing Parsi Hitam yang Membunuh Diri?” (Abang Median Abang Said)
Cerpen ini bermula dengan misteri kematian seekor kucing Parsi di laman rumah jiran seorang penjual burger di kawasan kediaman. Rumahnya bersebelahan kediaman mewah pemilik kucing Parsi tersebut. Sebelum kematiannya, kucing Parsi itu dilihat sering menyelinap keluar mencari makanan di luar. Secara kebalikannya, timbul tanda tanya kerana tuannya sering menempah makanan kucing dari luar negara tiga kali seminggu, tetapi makanan yang dibeli itu tidak dimakan oleh kucing Parsi itu.
Konflik timbul apabila jiran pemilik rumah mewah itu menemui bangkai kucing Parsi di laman rumahnya. Jiran itu berasa bimbang dituduh sebagai pembunuh kucing Parsi milik jirannya yang kaya. Keistimewaan cerpen ini adalah dari segi kilasan maknanya bahawa kucing Parsi itu tidak mahu makan makanan mewah di kediamannya kerana tuannya seorang perasuah. Cerpen ini memiliki latar peristiwa ketika negara dilanda pandemik. Entiti masyarakat pada ketika ini mengutamakan kepentingan peribadi sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja kaedah walaupun perkara yang dilakukan itu salah, hatta punca pendapatan atau kekayaan yang diperoleh daripada jalan yang tidak halal. Walaupun cerpen ini menampilkan subjek yang serius, namun di sebaliknya terdapat unsur lelucon yang disisipkan secara bersahaja sebagai suatu bentuk sindiran kepada kalangan yang sanggup melakukan aktiviti haram bagi mengaut kepentingan peribadi dan mendapat kekayaan luar biasa.
3. “Simone” (Hafizah Iszahanid)
Isu-isu berkaitan dengan diskriminasi gender dan perlecehan seksual terhadap wanita menjadi subjek utama dalam cerpen ini. Masing-masing gender diberikan penandaan yang stereotaip, wanita meskipun berkerjaya, perlu menjadi isteri yang sempurna dalam ruang domestik dan tidak berbantah dengan suaminya dalam institusi rumah tangga. Cerpen ini memaparkan dalam hal rumah tangga, lelaki sebagai suami mendominasi isu-isu dalam rumah tangga dan sebagai ketua keluarga, suami yang menentukan kehidupan rumah tangga. Penandaan sedemikian menyebabkan seolah-olah aspek manusiawi wanita itu diabaikan dan kaum wanita digambarkan terikat dengan penandaan budaya sebagai isteri. Zaza seorang peguam berhadapan dengan tuntutan profesionalismenya untuk membela wanita yang tertindas. Meskipun tidak mendapat sokongan suaminya yang menempelak bahawa dia inginkan seorang isteri dan bukannya Simone de Beauvoir, Zaza dengan tugasnya sebagai peguam berpandangan bahawa yang ditanganinya ialah isu jenayah dan bukannya menegakkan ideologi gender.
Cerpen ini memiliki kekuatan dari segi ujaran pemikiran feminis yang perlu direkonstruksi semula sebagai suatu konstruksi ideologi gender secara adil bahawa wanita hanya mahu dilihat sebagai subjek bukannya objek, memiliki keperibadian rasional yang mempunyai hati nurani dan jiwa, bukan makhluk emosi yang bertindak melulu. Langgam bahasa dalam cerpen ini sesuai dengan tampungan subjeknya. Pergolakan dalaman watak yang berhadapan dengan kes pemerkosaan di bawah umur dan kematian sahabatnya yang dizalimi lelaki cukup menguji peranannya sebagai peguam, namun begitu kematangannya mengimbangi pergolakan dalaman itu dapat ditangani dengan kematangan dan rasional.
4. “Di dan Em” (Jais Sahok)
Cerpen ini mengisahkan isu kerancuan bahasa yang berlaku dari segi Hukum D-M. Langgam bahasa dalam bentuk dialog dan perbahasan disertai premis-premis yang sesuai dapat memahami isu-isu yang berlegar pada kerancuan bahasa. Masalah ini muncul secara berterusan, tidak pernah selesai kerana sikap masyarakat dan pengamal bahasa yang tidak cakna terhadap penggunaan bahasa yang baik. Cerpen ini mempunyai kekuatan kesatuan ikatan bentuknya dengan kemasan olahan subjek serta strategi naratifnya yang memiliki kelainan. Cerpen ini menampilkan keaslian persoalan dengan bahasan secara matang dengan mengemukakan isu-isu kerancuan bahasa, terutama yang berkaitan dengan Hukum D-M dan rumus-rumus yang bersalahan digunakan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat. Soal kerancuan bahasa ini dihujahkan oleh pengarang, terutama aspek kesalahan bahasa dan juga cadangan kaedah penyelesaiannya.
Pengarang juga dapat menyeimbangkan estetika bahasa dengan aspek pemikiran, dengan merujuk situasi semasa yang berlaku dalam bahasa Melayu. Cerpen ini tidak memberikan penekanan pada perwatakan fizikal tetapi menjadikan Hukum D-M, D (diterangkan) dan M (menerangkan) sebagai watak utama dan watak-watak lain yang terdapat dalam rumus bahasa itu sendiri seperti KA, KN, KT, dan KK untuk menggerakkan idea. Alur plotnya dialirkan oleh idea dan bukannya cerita. Cerpen ini memaparkan inovasi dalam kreativiti penghasilannya. Cerpen ini juga memaparkan keindahan adab perbahasan yang bersesuaian. Secara keseluruhannya, cerpen ini memiliki kelainan dari segi bentuk garapannya.
5. “Stingere” (Rita Robert Rawantas)
Cerpen ini mengisahkan realiti kehidupan manusia pada era pandemik COVID-19. Dalam latar tersebut, dua orang lelaki bertemu secara kebetulan di kawasan perkuburan yang sepi. Kedua-duanya berhadapan dengan konflik yang berbeza sebagai mewakili perwatakan manusia dalam latar masa tersebut, ketakutan dan kebimbangan yang menjerat sikap, pemikiran dan tindakannya untuk selalu berwaspada dan mengawasi. Dia menjadi “penyibuk” yang mengawal kawasan sepi di bahagian tanjung untuk membanteras perlakuan yang tidak bermoral oleh orang tua dan muda. Sikapnya sedemikian ialah kesan daripada kematian adiknya yang menjadi mangsa di kawasan tersebut. Watak Lelaki Misteri pula hidup secara menjarakkan diri daripada masyarakat, memilih untuk berada dalam ruang yang sunyi di perkuburan, menumpang berteduh di rumah kematian.
Binaan cerpen ini dalam bentuk struktural yang kemas dengan memaparkan setiap satu peristiwa yang saling berkait, sebab dan akibat secara berpadanan. Keindahan moral dalam cerpen ini dicerap secara tersirat dengan memasukkan nilai-nilai yang positif. Masing-masing watak Dia dan Lelaki Misteri mengenal keutamaan yang perlu didahulukan, Dia diperlukan untuk menjaga keluarganya, manakala Lelaki Misteri pula meninggalkan rumah kematian untuk menikmati sedikit kegembiraan. Watak yang minimum dalam cerpen ini mampu menggerakkan alur cerita dan dapat memberikan fokus pada idea dan inti pemikiran dalam naratif. Penggunaan gaya bahasa yang komunikatif dapat mengangkat keindahan estetika dalam cerpen ini. Binaan frasa baharu yang segar dapat meluaskan keindahan tentang falsafah kehidupan. Secara keseluruhannya, cerpen ini masih mengekalkan unsur eufemisme mengelakkan perkataan dan frasa yang memerikan aksi yang tidak bermoral, tetapi lebih cenderung pada inti teras naratif.
6. “Kisah Sebuah Rumah yang Tidak Pernah Selesai” (Saifullizan Yahaya)
Sebuah rumah warisan yang berdekad usianya didirikan sebelum merdeka telah menjalani proses baik pulih. Namun begitu, kerja-kerja baik pulih tersebut dilakukan hanya pada bahagian luaran dan mengabaikan penambahbaikan bahagian dalaman rumah. Setelah menghuninya puluhan dekad, baru disedari dinding dan lantai rumah sudah dihuni jutaan anai-anai yang merosakkan dalaman rumah. Masalah itu meskipun sudah disedari sejak awal, tetapi diabaikan kerana menganggapnya ancaman kecil sehinggalah kerosakan besar dalaman rumah berlaku. Penghuninya menganggap masalah yang dihadapi bukan masalah mereka, tetapi masalah ketua rumah yang perlu menanganinya. Masing-masing lepas tangan kerana pandangan mereka sering dianggap remeh sehinggalah rumah warisan itu diancam perosak baharu seperti tikus, ular, lipan, dan serangga lain. Masalah itu sukar lagi dihadapi, hanya dibiarkan berlanjutan. Rumah itu dari luarannya masih dilihat teguh dengan pelbagai aktiviti berlangsung sebagaimana biasa sehinggalah rumah warisan itu terbakar dan menghapuskan serangga serta haiwan perosak yang bersarang. Tapak lama rumah warisan itu kelak didirikan rumah baharu.
Cerpen ini mempunyai kekuatan siratan maknanya melalui simbol sebuah rumah yang berhadapan dengan ancaman kemusnahan. Imej luaran ini melambangkan sebuah institusi atau sebuah negara yang mengalami keruntuhan ekosistemnya apabila isu-isu berkaitan dengan kewibawaan kepimpinan dan tenaga kerja dalamannya yang kurang wibawa dan tidak berintegriti mengakibatkan kegagalan untuk menangani masalah dalaman pada peringkat awal sehinggalah institusi atau sebuah negara itu mengalami ancaman besar yang sukar diselamatkan. Unsur sinikal menguasai keseluruhan nada naratif, kritikannya cukup bernas untuk memberikan pengertian makna yang mendalam.
7. “Mencari Air Ulung” (Zaen Kasturi)
Cerpen “Mencari Air Ulung” adalah sebuah cerpen filosofikal tentang pencarian dan menentukan matlamat hidup yang bersifat kerohanian. Penggunaan imej gurun, kegersangan, naluri untuk menghilangkan kehausan dengan air ulung, imej-imej yang berkolokasi dengan pencarian nilai kebenaran. Perlambangan dalam cerpen ini merupakan fungsional dengan subjeknya dan kesan inti patinya yang kemas. Cerpen ini membawa pembaca ke dalam sebuah dunia alegori yang kaya dengan makna kerohanian. Latar gurun yang tandus dan penuh kegersangan ialah lambang kepada jiwa manusia yang sentiasa mencari makna hidup dan kebenaran hakiki. Air ulung dalam cerpen ini menjadi simbol harapan, kehausan terhadap ilmu dan kerinduan terhadap nilai kebenaran. Kehausan dan pencarian air ulung dalam naratif ini bukan sekadar untuk keperluan fizikal, tetapi juga bersifat metafizikal, melambangkan keinginan mendalam untuk memahami hakikat kewujudan dan makna kehidupan sebenar.
Setiap unsur dan lambang yang dimanfaatkan dalam cerpen ini berfungsi mendukung tema utama, iaitu perjalanan untuk membina kekuatan rohani yang ditampilkan melalui perjalanan di gurun yang penuh ujian hingga menemui matlamatnya dengan ketekalan dan istiqamah menempuhi pelbagai ujian dan pengorbanan. Gaya penulisan dalam Air Ulung memperlihatkan kehalusan naratif yang sarat dengan simbolisme yang berfungsi. Struktur ceritanya yang kemas dengan perincian imej dapat mewakili kesan maknanya, membentuk pengalaman pembacaan yang merenungi nilai-nilai kerohanian dan falsafah kehidupan.
8. “Nikosa dan Tesla” (Shield Sahran)
Cerpen ini merupakan sebuah hasil karya yang berkecenderungan interteks. Sebuah karya hipogram Hikayat Panglima Nikosa yang diterbitkan pada akhir abad ke-19 menjadi teks yang menghidupkan sebuah naratif baharu. Dalam Hikayat Panglima Nikosa, Nikosa ialah seorang pemimpin muda yang bijaksana, strategik, berpandangan jauh dan berjaya membawa perubahan kepada masyarakatnya melalui inovasi dalam sektor pertanian setempat. Manakala dalam cerpen “Nikosa dan Tesla”, watak utama pula digambarkan sebagai seorang anak muda yang cerdas, inovatif dan memiliki pemikiran yang tajam dalam meneroka teknologi baharu yang inovatif dan berjaya pada peringkat antarabangsa.
Kekuatan cerpen ini adalah pada teknik naratifnya yang digerakkan melalui dua jalur cerita yang bergerak dalam satu ruang masa secara plot berkembar, iaitu dua ruang naratif yang digerakkan sejajar untuk saling mempengaruhi. Selain itu, penggunaan elemen interteks ini memberikan nilai tambah kepada cerpen kerana elemen ini membina kesinambungan sejarah dan intelektualiti yang dinamik mengaitkan kecemerlangan masa lalu dengan cabaran serta potensi masa kini. Hal ini menunjukkan bahawa semangat perubahan dan inovasi bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi telah wujud sejak sekian lama dalam tradisi masyarakat. Keistimewaan cerpen ini juga terletak pada temanya yang menyentuh isu pembangunan dan kemajuan. Cerpen ini bukan sekadar cerita tentang individu yang berjaya, tetapi juga mengangkat persoalan tentang kehebatan inovasi teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan masyarakat secara lebih berdaya saing pada peringkat global. Gaya penceritaan yang menggabungkan unsur sejarah, teknologi dan falsafah masa hadapan memberikan kekuatan bentuk cerpen ini yang tersendiri. Karya ini bukan sekadar karya fiksyen, tetapi juga sebuah renungan tentang idea-idea besar yang boleh diwarisi dan dimajukan untuk kesejahteraan manusia sejagat.
9. “Langa” (Ruhaini Matdarin)
Cerpen ini ialah karya dalam genre kriminal tentang tuduhan melakukan jenayah terhadap pemuda sehingga meringkuk dalam penjara kerana disabitkan dengan tuduhan membunuh. LANGA, sebuah pentas persembahan seni silap mata yang pada asalnya bertujuan menghiburkan penonton kenamaan, ahli politik, mantan hakim, ahli perniagaan, ahli sukan dan mantan ratu cantik Asia Tenggara, secara mengejut terjebak dalam insiden pembunuhan dua orang khalayak penontonnya. Lelaki yang berlindung di dalam stor belakang pentas menjadi orang tertuduh kerana dia satu-satunya yang tertangkap di pentas sebagai saksi mata. Binaan naratifnya dalam struktur plot yang kemas. Bahagian permulaannya ialah eksposisi yang dimulai dengan unsur saspens yang menimbulkan tanda tanya, seterusnya mengekalkan pembacaan untuk meleraikan tragedi yang menimpa pemuda berumur 21 tahun. Pada bahagian selanjutnya, peristiwa dipenuhi dengan sesi pertuduhan dan soal siasat secara berulang-ulang, sehingga mendera emosi tertuduh. Bahagian pengakhiran menimbulkan kejutan apabila pelaku sebenarnya ialah kembar yang dituduh telah melarikan diri ke luar negara.
Kelainan pada ujaran subjeknya dengan binaan bentuk naratifnya juga berkesan melalui penggunaan teknik plot twist pada pengakhiran naratif ini. Langgam bahasa yang digunakan kemas dan meyakinkan, sesuai dengan genre cerpen penyiasatan. Pencapaian ini memberikan keunikan pada karya ini. Cerpen ini secara keseluruhannya memberikan kesan jelira seni dan kesan ekspresif yang mengesankan. Persoalan kemanusiaan berkaitan dengan prinsip keadilan tanpa mengira status, kedudukan dan pangkat seseorang menjadi substansi subjek. Kritikannya terhadap penghakiman secara terpilih merupakan pesan moral yang disampaikan secara lunak supaya keadilan ditegakkan secara profesional dan berintegriti.
10. “Winchester Laras Dua” (Zainol Idris)
Cerpen ini mengisahkan watak Edin Deng dan Somkiat yang bersahabat baik tetapi akhirnya persahabatan itu bertukar menjadi tragedi apabila keakraban itu telah diselewengkan ibarat “kawan makan kawan” apabila Somkiat berlaku curang dengan isteri sahabatnya, Edin Deng. Cerpen ini mempunyai kekuatan pada ujaran nilai kemanusiaan dan mengemukakan pesanan bahawa perbuatan khianat dan kemungkaran yang tidak dibendung akan membawa kemusnahan. Penggunaan latar setempat dapat menjelaskan tentang lingkungan alam persekitarannya dan realiti kehidupan masyarakatnya yang harmoni, akrab dan saling membantu sehinggalah berlaku peristiwa di luar duga. Langgam bahasa yang kemas dan komunikatif dapat menjelaskan keterkaitan situasi peristiwa dan aksi secara waja, saling berkait antara setiap peristiwa yang terjalin untuk mengukuhkan naratif.
Unsur eufemisme atau bahasa halus digunakan dalam cerpen ini bertujuan mengelakkan penggunaan perkataan menjadi “taboo”, yang dianggap tidak bermoral dan menyinggung perasaan jika diungkapkan secara terang-terangan. Kekuatan cerpen ini terletak pada struktur plot cerita yang disusun secara alamiah. Peristiwa demi peristiwa dialirkan secara bersahaja, dan disertai dengan tanda dan isyarat yang memungkinkan tebakan akan tercetusnya suatu malapetaka. Unsur dramatik yang menegangkan pembacaan dan kesan “twist” pada bahagian akhir cerpen, memberikan kesan kejutan besar apabila dalam satu peristiwa memburu babi hutan oleh sahabat berdua itu, watak Edin Deng melepaskan tembakan ke arah babi hutan yang muncul. Dia tercedera. Dia menyedari sahabatnya tiada dan dibimbangi tertembak. Gagal menemuinya, dia pulang dan menemui kejutan sehingga dia melepaskan beberapa das tembakan ke atas kemungkaran yang berlaku di hadapannya.
PANEL PENILAI
Dr. Mohd Hanafi Ibrahim
Dr. Wan Norlidza Wan Mohd Zain
Dr. Kaithiri Arumugam

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.