Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOsman Ayob melaporkan detik-detik manis sastera sepanjang tahun 2025.
Sayembara karya kreatif yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu dengan kerjasama DBP juga berlangsung secara berkala sepanjang tahun 2025. Hal ini membuka peluang kepada penulis lama dan baharu untuk menguji sejauh mana karya mereka mencapai mutu yang diperakui oleh panel penilai.
Tidak seperti Kedah dan Perlis, kerajaan Kelantan menunjukkan sikap positif tentang peranan sastera dan budaya dalam kehidupan bermasyarakat. Kesediaan kerajaan negeri memberi peruntukan yang secukupnya bagi Hadiah Sastera Kelantan 2025 dialu-alukan oleh masyarakat penulis, selain mendapat dukungan kuat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur. Diharapkan hadiah ini akan memberi inisiatif dan motivasi kepada para penulis Kelantan untuk menghasilkan karya yang bermutu untuk dihayati dan dipungut mesejnya untuk kelestarian hidup.
Pulau Pinang ikut mengadakan Hadiah Sastera Negeri untuk tahun 2025. Majlis penyampaian hadiah berlangsung pada 9 November 2025, di sebuah hotel ternama di Pulau Pinang. Kehadiran Yang di Pertua Negeri, TYT Tun Dato’ Seri Utama Ramli Ngah Talib memeriahkan majlis berprestij tersebut dengan menganugerahkan gelaran Sasterawan Pulau Pinang Kedua kepada Zurhan Bakar.
Dalam hal ini, Kedah nampaknya belum menunjukkan sebarang komitmen untuk mewujudkan semula Hadiah Sastera Kedah. Setelah terhenti sejak tahun 2022, adalah wajar Hadiah Sastera Kedah disambung semula setidak-tidaknya secara dwitahunan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada para penulis Kedah yang ikut menyumbang kepada pembangunan negeri Kedah yang panjang dengan sejarahnya.
Negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak, Selangor, Johor, dan Pahang telah menjadikan hadiah sastera sebagai program tahunan. Hal ini memberikan gambaran keprihatinan kerajaan negeri dalam memartabatkan karya sastera di negeri masing-masing ke dalam rangkuman khazanah sastera kebangsaan.
Bagi memastikan hadiah sastera negeri dianjur dan berlangsung dengan mantap, cadangan supaya hadiah ini selain dijana pada peringkat pusat melalui sekretariat yang berwibawa, perancangan dan penetapan kategori hadiah pula boleh diselaraskan dengan lebih konsisten. Cadangan ini amat baik dan boleh dipertimbangkan dengan sewajarnya.
Dalam hubungan apa-apa pun, hadiah sastera dan sayembara penulisan merupakan motivasi kepada golongan penulis untuk berkarya dengan lebih gigih. Langkah DBP menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif pada dua tahun lalu dan kini dalam proses penilaian sedang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran oleh para penulis yang menyertainya.
Sayembara karya kreatif yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu dengan kerjasama DBP juga berlangsung secara berkala sepanjang tahun 2025. Hal ini membuka peluang kepada penulis lama dan baharu untuk menguji sejauh mana karya mereka mencapai mutu yang diperakui oleh panel penilai.
Penilaian yang dibuat oleh panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) bagi karya yang terbit dalam tahun 2021 – 2022 telah membuahkan hasil yang mengujakan hati penulis. Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Putrajaya pada 10 Julai 2025 oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dihadiri oleh lebih daripada 150 orang termasuk para pemenang, menjadi pemangkin bahawa karya sastera yang bermutu diiktiraf untuk dinikmati pembaca yang dahagakan bahan bacaan untuk memperkaya akal budi, pemikiran dan sahsiah kehidupan.
Untuk pertama kalinya dalam sejarah HSPM, seorang penulis bernama Irfan Fikri mempertikaikan kriteria pemilihan beberapa buah puisi eceran yang memenangi hadiah. Hal ini mencetuskan “kontroversi”, malah mengundang beberapa siri polemik yang menarik tetapi tetap membina serta bermanfaat. Demikianlah subjektifnya karya sastera. Sesuatu yang menarik, bagaimana cerpen “Matinya Sepasang Anjing Jadian” (Dewan Sastera Bil. 10/2022) karya Zainal Rashid Ahmad boleh memenangi Hadiah Utama dalam Hadiah Sastera Selangor, sedangkan pada peringkat HSPM 2021/2022, cerpen ini gagal dalam penilaian?
Pengiklanan HSPM bagi tahun 2023/2024 pada 2 Disember lalu memang dinantikan oleh para penulis. Memandangkan tarikh tutupnya pada 30 Januari tahun ini, boleh dijangkakan keputusannya akan diketahui sebelum hujung tahun 2026. Nyata DBP meneruskan amanahnya dalam menentukan kesinambungan pengiktirafan kepada para penulis yang tidak jemu-jemu menghasilkan karya untuk dinilai bakat dan kemampuan mereka yang mempunyai komitmen yang tidak berbelah bagi pada dunia penulisan kreatif.
Sesuatu yang dinantikan dalam kalangan sasterawan ialah keputusan penerima SEA Write Award atau Anugerah Penulis Asia Tenggara 2024 dan 2025. Dalam sidang media yang berlangsung pada 1 Disember di Anjung DBP, terangkatlah penulis berpotensi “generasi baharu”, Roslan Jomel dan Hafizah Iszahanid sebagai penerima anugerah bagi tahun 2024 dan 2025.
Mereka bersama-sama penerima anugerah dari negara ASEAN yang lain telah menghadap YTM Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya pada majlis yang gilang gemilang di istana Sukhothai, Bangkok pada 16 Disember dan menerima trofi dan pengiktirafan di samping pada majlis Makan Malam Gala, masing-masing menerima sejumlah wang hadiah yang ditentukan oleh sekretariat di Thailand.
Bagaikan mengejar tahun 2025 yang akan berakhir, banyak kegiatan sastera berlangsung, hinggakan ada yang bertindan-tindih antara satu dengan lain. Antaranya termasuk Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM), satu-satunya kegiatan luar biasa Yayasan Karyawan tahun ini. Persidangan yang berlangsung dari 23 – 25 Oktober di sebuah hotel terkenal di Putrajaya menghimpunkan pemakalah dari seluruh Alam Melayu, juga dari University Leiden, Belanda. Antara objektif persidangan ini termasuklah; meningkatkan pemahaman karya agung Melayu dalam era kecerdasan buatan (AI); meneroka transformasi karya agung Melayu dalam era digital dan globalisasi; memperkasakan korpus karya agung Melayu di peringkat antarabangsa; menjana penyelidikan baharu dalam karya agung Melayu; dan menyemai kesedaran tentang pemeliharaan terhadap warisan karya agung Melayu.

Bagi peminat persidangan yang penting ini, rasa “serba salah” muncul apabila program ini bertembung dengan Hari Sastera Nasional ke-20/2025 (HSN20) di Seremban pada 25 – 27 Oktober 2025. Sedangkan HSN20 juga begitu penting dengan pembentangan kertas kerja bertemakan kearifan dan tamadun Alam Melayu sebagai sumber integral membina kandungan. Pengisiannya bukan sekadar isu tempatan menyusuri Adat Pepatih dan relevansinya dalam kehidupan moden, tetapi juga mengaitkan Karya Agung/Karya Besar perlu diinterpretasikan dalam kehidupan digital yang tidak dapat dielakkan untuk dilalui dengan penuh hemah. Kehadiran pemakalah ternama, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif Instiute of Development Studies (Sabah) memantulkan reaksi yang memberangsangkan dengan saranan dan ideanya yang luar duga tetapi cukup praktikal.
Pesta buku untuk peringkat negeri dengan pelibatan syarikat penerbitan, agensi termasuk perpustakaan negeri berjalan silih berganti sepanjang tahun 2025.
Pihak yang berautoriti di Sarawak telah mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Kebangsaan Hikayat Panglima Nakosa, yang diangkat sebagai novel Melayu pertama di dunia, berlangsung di DBP Kuala Lumpur pada 26 November 2025. Persidangan ini diadakan pada peringkat kebangsaan bukan sahaja sebagai promosi, tetapi juga bagi menangkis tanggapan bahawa Sarawak dipinggirkan dalam arus intelektual Melayu. Kajian yang menunjukkan bahawa Hikayat Panglima Nikosa merupakan novela realistik fiksyen Melayu yang pertama di dunia yang ditulis oleh Ahmad Shawal Abdul Hamid pada tahun 1876, sekali gus memaksa perubahan fakta sebelum ini yang mengangkat Hikayat Faridah Hanum karya Syed Sheikh al-Hadi sebagai novel Melayu pertama. Ekoran perubahan ini, Hikayat Panglima Nikosa akan dicalonkan untuk dimasukkan ke dalam Program Wawasan Ingatan Dunia UNESCO pada tahun ini.
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga turut merancakkan kegiatan yang rapat kaitannya dengan dunia kesusasteraan. Program Wacana Manuskrip Melayu Bil. 4/2025 yang berlangsung pada 4 November 2025, mendedahkan terdapat lebih 20 ribu kitab tib (perubatan) Melayu, tetapi cuma kira-kira 200 buah sahaja yang berada dalam simpanan PNM dan beberapa buah institusi pengajian tinggi. Wacana yang bertemakan Lonjakan Inovasi dalam Industri Perubatan Tradisional Melayu menyasarkan pentingnya kerjasama antara perubatan moden dengan perubatan tradisional berganding bahu mencari penyesuaian sebagai alternatif kepada masyarakat dalam mencari kesembuhan penyakit yang dihidapi.
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan Sasterawan Negara (SN), pada 7 – 8 Mei berlangsung Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari di DBP. Pengarang dan pengkritik tersohor, Dr. Abd Rahman Napiah (Mana Sikana) diberi penghormatan memberi ucaptama. Inilah tugasan beliau yang terakhir sebelum pulang ke rahmatullah pada 26 Mei 2025. Antara penulis lain yang pulang ke negeri abadi ialah Ismail Hashim (16 Januari 2025), Zakaria Ariffin (19 Februari 2025), Saidin Omar (9 Jun 2025), dan Adam Abdul Kadir (13 Oktober 2025). Pada tahun 2025 juga, sasterawan tersohor, Rejab Ismail (Rejab F.I.) meninggalkan kita buat selamanya pada 30 September 2025.
Di samping itu, pada 21 November 2025, berlangsung Forum Utama Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan, sempena 100 Tahun Sasterawan Negara Arena Wati di Muzium Telekom tidak kurang memaut reaksi peminat sastera tanah air. Hal ini kerana, Arena Wati merupakan penulis dan sasterawan yang banyak pengalaman dengan laut dan hal ini disisipkan dengan berkesan, menjadi latar dan tema novel-novel besarnya, seperti Sandera, Gelora, Sukma Angin, dan beberapa yang lain.

Seperkara yang tidak boleh disisihkan, betapa bersemaraknya kegiatan sastera sepanjang tahun 2025 sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung, dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025. Pesta terbesar dengan 1,172 reruai, termasuk 28 dari luar negara serta dikunjungi oleh hampir dua juta orang membuktikan bahawa buku bercetak masih mendapat tempat di hati masyarakat. DBP yang menjadikan Dewan Tun Husien Onn sebagai “kedai besar” memasarkan buku dan majalah terbitannya dengan kadar diskaun hebat telah turut menzahirkan banyak program yang menarik dan mendapat sambutan yang luar biasa. Kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada acara penutup 1 Jun 2025 dan berkesempatan melancarkan enam buah buku karya SN Muhammad Haji Salleh tambah memeriahkan gema suasana pada acara yang diadakan.
Tidak boleh dipinggirkan ialah negeri Selangor yang telah mengadakan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) di Shah Alam pada 28 November hingga 7 Disember 2025. Programnya tidak kurang meriahnya (termasuk mengundang satu isu kontroversi) daripada PBAKL, dengan sambutan daripada peminat dan pencinta buku dari seluruh negara.
Sepanjang tahun 2025, Bahagian Pemasaran DBP didapati cukup aktif memasarkan produknya. Selain gerainya berada di pelbagai program, jualan gudang di Hulu Kelang pada akhir tahun 2025 mendapat sambutan yang menggalakkan.
Selain DBP, pesta buku peringkat negeri berlangsung dengan jayanya. Menariknya, terdapat beberapa penerbit swasta dan penulis sendiri mengadakan jualan/bazar buku sendiri, termasuk di Hentian Kajang, Selangor. Inisiatif yang diambil oleh penulis dalam memasarkan karya masing-masing, termasuk melalui dalam talian merupakan usaha gigih yang wajar dipertingkatkan pada masa depan.
Pesta buku untuk peringkat negeri dengan pelibatan syarikat penerbitan, agensi termasuk perpustakaan negeri berjalan silih berganti sepanjang tahun 2025. Adalah diharapkan dalam tahun 2026, kegiatan ini akan menjadi lebih rancak dengan peluang lebih terbuka untuk orang ramai membuat pemilihan buku yang sesuai dengan cita rasa masing-masing.
Tidak kurang pentingnya, sekalung tahniah kepada Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP yang telah berjaya mendapat persetujuan pihak berkuasa KLIA1 dan KLIA2 dalam memaparkan lapan peribahasa Melayu di skrin utamanya bagi tempoh 1 – 31 Disember 2025. Hal ini merupakan satu langkah yang amat bermakna kerana tema peribahasa yang ditonjolkan berkaitan dengan perpaduan negara. Memaparkannya di pintu masuk negara, secara langsung satu hebahan identiti negara Malaysia MADANI yang aman dan harmoni.
Sebenarnya, ada banyak kegiatan lagi yang dilangsungkan sepanjang tahun 2025. Pelbagai kegiatan menjadi lebih bersemarak dalam bulan Oktober, November dan Disember hingga menjadi bertindan-tindih antara satu sama lain. Penulis hanya sempat menyenaraikan acara-acara yang penting sahaja. DBP selaku peneraju utama telah menggunakan sepenuh guna tenaga pasukan medianya dalam membuat siaran langsung. Amatlah diharapkan siaran yang dipancarkan dari pelbagai sisi ini akan hinggap ke dalam fikiran pihak penguasa negara dan seterusnya tercetuslah keinginan untuk mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketika berucap dalam pembentangan Belanjawan 2026, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah menegaskan peri pentingnya bahasa Melayu diajar di sekolah-sekolah antarabangsa yang banyak bercambah di seluruh negara sekarang. Amat diharapkan langkah ini dilaksanakan segera dan seterusnya dipantau agar menjadi realiti yang tidak disangsikan lagi.
Di samping itu, seperti disentuh dalam beberapa program, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu seeloknya diberi tempat semula di sekolah-sekolah menengah. Para pelajar perlu diberi kebebasan untuk memilih mata pelajaran ini sebagai subjek utama. Berpandukan banyak insiden pelik dan luar duga dalam kalangan pelajar, adalah jelas bahawa para pelajar telah kehilangan arah dalam pembentukan jati diri masing-masing. Benar, media sosial menjadi faktor perubahan sikap dan tingkah laku mereka, tetapi sistem pendidikan kita yang mementingkan sains dan teknologi dan tidak diseimbangkan dengan pendidikan moral dan akal budi, telah menyumbang kepada situasi ini. Sebenarnya, pendidikan moral dan akal budi yang tinggi boleh dibentuk melalui pengajian kesusasteraan apabila elemen manusia dan kemanusiaan yang terdapat dalam buku sastera boleh membimbing dan memandu arah para pelajar menjadi insan yang lebih sempurna, berwibawa dan berintegriti.
Semoga tahun 2026 yang telah bermula, membawa kesinambungan kegiatan sastera dan budaya yang lebih meriah lagi. Seterusnya karya sastera terus hidup memainkan peranan dalam usaha menyerap ilmu dan pemikiran ke dalam jiwa generasi baharu Malaysia yang bermoral, berintegriti dan bertamadun tinggi.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________
Osman Ayob, Sasterawan Kedah 2022 dan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022 telah menghasilkan 200 buah cerpen yang termuat dalam kumpulan cerpen Bayangan Rindu (1981), Musim Itu telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988/1989), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Bayangan Silam (2009), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), Gila Tak Gila (2017), Sebuah Surau Sebuah Rumah di Tepi Kondominium (2022), Wanita Penggesek Biola (2025) dan Hari Jadi ke-100 (bakal terbit tahun 2026). Novel dewasa pula termasuk Warna Sebuah Lembah (1990), Embun di Hujung Daun (1999), Ombak Bukan Penghalang (2007), Empangan Tugal (2010), Anak Primadona (2012), CEO Baru (2013), Dukhan: Langit Akhir Zaman (2013), Kugenggam Tanganmu (2018), dan Beralih Sebuah Piama (2024). Novel beliau yang bakal terbit pada tahun 2026 ialah Ombak di Puncak Gunung dan Perca-perca Cinta.