Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 17:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelancaran enam karya nukilan Yang Berbahagia (YBhg.) Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), tengah hari tadi.

Judul buku yang dilancarkan ialah Sebermula Maka Tersebutlah Sebuah Hikayat DiriPadang Perahu di LautanAutobiografi Jilid 3: Riwayat Seorang Penyeberang BahasaAutobiografi Jilid 4: Kuntum-kuntum Ilmu di Taman Belantara101 Malay Love Pantuns, dan Consider the Peninsula yang kini boleh diperoleh di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.

SN Muhammad Haji Salleh berkesempatan mendeklamasikan sajak beliau berjudul “Balikkanlah Halaman” untuk tetamu kehormat dan para pengunjung yang memenuhi ruang dewan.

Beliau yang ditemui selepas majlis pelancaran berkata,

Saya berharap agar mesej-mesej yang disampaikan melalui keenam-enam karya tersebut dapat dibaca dan diterima oleh masyarakat memandangkan sastera mempunyai peranan dalam membantu kehidupan dan peribadi pembaca.

Untuk rekod, SN Muhammad Haji Salleh telah bergiat dalam dunia penulisan selama lebih 60 tahun dan kini mempunyai 103 buah buku termasuk puisi, esei, autobiografi, dan kajian ilmiah. Beliau juga dikenali kerana usahanya mengangkat martabat bahasa Melayu dalam karyanya serta menterjemah karya klasik termasuklah cerita penglipur lara Melayu dan Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758.

SN Muhammad Haji Salleh menurunkan autografnya pada buku Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758, milik pengunjung yang membeli naskhah tersebut di reruai DBP di PBAKL 2025.

Majlis pelancaran buku ini oleh DBP yang dilaksanakan melalui Bahagian Buku Sastera ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Rethwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengerusi Pengelola PBAKL, YBrs. Encik Khair Ngadiron; para sasterawan negara dan karyawan DBP.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin, Adib Zulkifli dan Nur Shamiera Zahid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi