Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puisi dan pantun merupakan warisan seni sastera Melayu yang amat signifikan dalam membentuk identiti bangsa dan negara, sekali gus berperanan sebagai wahana memperkukuh jati diri masyarakat.

Sasterawan Negara (SN) YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, kedua-dua genre tersebut bukan sekadar tercipta dengan susunan konotasi penuh makna dan berestetika malah sebaliknya menjadi suatu rakaman sejarah, pemikiran, falsafah sesuatu bangsa.

Menurutnya, walaupun proses kreativitinya dianggap rumit, namun dengan ketinggian jangkauannya sekali gus karya tersebut mampu membina peradaban bangsa lebih berbudaya, bermaruah dan beretika.

“Puisi pada saya ialah ucapan yang signifikan dan penting. Hal demikian kerana ia tumbuh dari tanah air itu sendiri, dari jiwa manusia dan juga imaginasi melalui sejarah panjang sesuatu bangsa dan negara.

“Tetapi, inilah yang rasanya kita terlupa bahawa penulis sebelum ini sebenarnya telah menulis dengan baik sekali,” katanya semasa menyampaikan kertas kerjanya yang berjudul Puisi Dari Mata dan Jiwa Penyair pada Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi.

Kolokium tersebut berlangsung di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Aras 1, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, pada 11 Februari 2026 dan turut dihadiri oleh sasterawan, penyair, pencinta sastera dan para sarjana dari pelbagai latar belakang.

Menyentuh tentang keunikan pantun pula, SN Muhammad Haji Salleh berkata, karya tersebut sebagai tradisi sastera Melayu yang sangat tua tetapi, sarat dengan hikmah, kesopanan serta beradab dan kekal relevan hingga ke hari ini.

Katanya, tiada bentuk puisi di dunia ini fungsinya seluas pantun yang boleh diguna atau dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kehidupan seharian.

“Pantun boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, daripada tujuan berkasih sayang, meminang, nikah kahwin, jual beli hinggalah penyampaian nasihat dan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan kedaulatan, selain mengangkat warisan khazanah seni yang sangat unik itu beliau mencadangkan agar sayembara pantun diadakan secara lebih konsisten dan prestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Dengan cara itu ia boleh mengangkat martabat pantun sebagai warisan dunia, selain berupaya menjadi medium diplomasi budaya yang berkesan,” jelasnya.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi