Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendekatan rasa insaniah mempertahankan bahawa puisi wajar berdiri atas tiga prinsip utama, iaitu pengabdian kepada Allah SWT, kehalusan makna dan pengucapan beradab, ujar pensyarah kanan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Shamsudin Othman.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk “Puisi adalah Cerminan Rasa Insaniah” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Menurut beliau, ketiga-tiga prinsip tersebut mencerminkan hubungan penyair dengan Yang Maha Pencipta, dengan diri sendiri dan sesama manusia dalam akar wacana sastera Islam.
Tambahnya, pendekatan ini juga hadir dalam bentuk yang berbeza dalam tradisi dan kepercayaan dunia lain yang turut menekankan dimensi moral dan spiritual dalam karya.
“Tidak seperti pendekatan formalistik yang menumpukan pada bentuk semata-mata, rasa insaniah melihat puisi sebagai manifestasi pengabdian dan kemanusiaan, yang diikat oleh tanggungjawab ketakwaan dan moral,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa rasa insaniah bukan sekadar satu teknik analisis, sebaliknya suatu gagasan estetika yang berupaya menjelmakan kesan rasa insaniah seperti takwa, cinta, rindu, syukur, insaf, dan simpati dalam diri pembaca.
Dalam konteks tersebut, puisi tidak harus dilihat hanya sebagai rangkaian kata yang merdu rimanya, tetapi sebagai ekspresi pengalaman batin yang terakam dalam bahasa seni yang padat dan bermakna.
Dalam tradisi sastera Melayu, katanya, puisi sering ditanggapi sebagai medium perenungan diri, manifestasi nilai moral dan spiritual, serta dialog kritis terhadap realiti kehidupan.
“Puisi mempunyai peranan yang lebih mendalam sebagai wacana perakam pengalaman rasa manusia secara holistik, terikat dalam kesatuan jasmani, rohani, moral, dan sosial,” ujarnya.
Dr. Shamsudin turut menghuraikan bahawa rasa bukan sekadar emosi biasa, sebaliknya suatu kesedaran batin yang merentas dimensi emosi, moral dan spiritual. Rasa hadir melalui intuisi, refleksi, pengalaman hidup, dan kesedaran rohani, lalu dirakamkan melalui bahasa puitis yang halus dan bernas.
Dalam kerangka rasa insaniah, puisi menjadi medium untuk mengenal hakikat kehidupan, merakam pengalaman sosiobudaya dan menghubungkan manusia dengan Tuhan serta sesama insan. Sehubungan itu, beliau menolak pendekatan ekstrem yang memisahkan estetika daripada nilai.
“Keindahan bahasa dalam puisi bukan sekadar hiasan, tetapi sarana untuk menyampaikan kehalusan makna.
“Metafora, personifikasi, hiperbola, imejan, dan simbol yang digunakan mesti berakar dalam pengalaman batin dan membawa impak rasa kepada pembaca,” katanya.
Beliau turut merujuk pandangan Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tentang puitika bahasa, dengan menegaskan bahawa gaya bahasa puisi yang baik bukan sekadar indah, tetapi bermakna dan berpengaruh terhadap cara pembaca memahami realiti serta pertautan antara rohani dengan jasmani.
Mengakhiri pembentangannya, beliau menyifatkan puisi sebagai luahan rasa insaniah yang merangkumi pengalaman batin manusia dari pelbagai dimensi seperti spiritual, emosi, moral, dan puitika bahasa.
Puisi, tegasnya, bukan sekadar segugus bahasa indah yang terikat oleh bentuk, tetapi kesatuan sifat yang membawa pembaca kepada pengabdian kepada Tuhan, kehalusan makna dan pengucapan beradab dalam proses kreatif.