Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kreativiti merupakan proses penghasilan karya dalam dunia penulisan sastera yang boleh dilakukan secara bebas tanpa batasan.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Dr. Shamsudin Othman berkata, kebebasan dalam berkarya lahir daripada pemikiran, imaginasi serta keupayaan penulis meneroka idea-idea baharu yang lebih segar dan bermakna.
Menurut beliau, kebebasan tersebut bagaimanapun tidak mampu melangkaui kebesaran Tuhan kerana kemampuan manusia sangat terhad, meskipun seseorang penulis berjaya menghasilkan karya yang hebat dan mengagumkan.
“Apabila kita kata tentang kreatif, ia adalah sesuatu yang tidak ada batasnya. Ia sangat bebas. Seseorang penulis boleh sahaja tulis apa yang hendak ditulis, tiada masalah.
“Kalau kita memikirkan batas-batas tertentu, memang kita tidak akan menjadi penulis. Namun, sebagai manusia kita harus sedar bahawa dari satu sisi pengabdian kepada Allah harus menjadi tunjang utama membimbing penulis yang beramanah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai ahli panel program Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 1) anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Program yang dikendalikan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), YBrs. Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman itu diadakan di Rumah PENA dan disiarkan menerusi media sosial DBP pada hari Sabtu, 18 April 2026.
Shamsudin berkata, keseimbangan antara kesedaran spiritual dengan kebebasan berkarya menjadi wahana penting bagi setiap penulis dalam usaha menghasilkan karya yang lebih beretika dan bernilai.
Tambah beliau, karyawan seni seharusnya menyedari kebolehan atau bakat yang dianugerahkan sebagai suatu amanah yang perlu digerakkan dengan rasa penuh bertanggungjawab dan rasa keinsafan.
“Dalam erti kata lain, sehebat mana pun kita (manusia), bebas berkarya namun, dari satu sisi pengabdian kepada Allah tetap menjadi tunjang utama dan kebebasan yang ada tidak dapat melangkaui kebesaran-Nya,” katanya.
