Oleh Shamsudin Othman
16 Mac 2022, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan ini diubah suai daripada teks ucapan penghargaan Dr. Shamsudin Othman sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2019 pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Mac 2022.

Sebagai penyair, saya sedar akan tuntutan rasa insaniah itu akan sentiasa menganalogikan dirinya seperti mata air yang terbit dari bumi kemudian mengalir keluar mencari sumurnya.

Salam terima kasih kepada selurus warga pencinta kesusasteraan tanah air dan negara serumpun.

Izinkan saya mulakan percakapan ini dengan empat rangkap pantun.

 Dengan Bismilah sembah diawalkan,
        Madah pembuka penyeri alu-aluan;
Syukur dan hormat saya hulurkan,
        Maaf terbuka saya kirimkan.

Tuan mulia lagi disanjungi,
        Senyuman manis indah berseri;
Terima kasih setulus budi,
        Bersama-sama hadir majlis dirai.

Kepada tuan tidak dilupakan,
        Pendukung majlis saya sanjungkan;
Memenuhi hasrat menyambut undangan,
        Sehayat usia saya kenangkan.

Saya berdoa kepada Allah,
        Moga kita beroleh barakah;
Hebat berkarya memilih yang indah,
        Pintar berfalsafah menyulam fitrah.

Sesungguhnya saya terasa kerdil dalam majlis yang sangat gilang-gemilang ini. Terima kasih yang tidak terhingga atas pemilihan diri saya sebagai salah seorang penerima Anugerah SEA Write 2019. Sejujurnya, anugerah ini telah menjadikan saya bertambah bimbang seandainya amanah yang diberikan tidak dapat menggambarkan diri saya yang mewakili pencapaian tertinggi dalam arena kesusasteraan tetapi juga mewakili nilai kesenian dan kemanusiaan sejagat. Setulusnya juga, keterujaan menerima anugerah yang sangat berprestij dalam kalangan penulis di rantau ASEAN ini turut menjadikan saya seorang insan yang perlu sedar akan tanggungjawab yang bakal digalas.

Atas nama rindu dan cinta kepada kesusasteraan, saya menyusun sepuluh jari sekiannya puisi-puisi yang menyubur dan sebati dalam diri saya ini saya namakan sebagai percakapan rasa insaniah. Puisi merupakan hubungan dua jiwa antara saya dengan keindahan; dan antara saya dengan kedamaian. Puisi ialah “rindu terhukum” yang menjadi dendam dalam kesumat; dan puisi ialah penawar kepada kesepian yang mencengkam kalbu seorang saya. Secara peribadi, saya selalu meletakkan puisi  sebagai minat paling utama berbanding prosa. Saya lebih selesa menguliti puisi berbanding karya  kreatif lain yang panjang dan bertele-tele indahnya.

Saya melihat, puisi ialah makanan saya. Dalam konteks ini, makanan itu tidak merujuk sesuatu yang mengenyangkan perut, sebaliknya sesuatu yang mematangkan akal budi dan hati nurani. Justeru, ketika ingin memulakan penciptaan puisi, saya sering cuba bergerak dalam pengertian puisi yang saya fahami, iaitu puisi merupakan  pengucapan hati nurani yang digarap dalam bentuk berangkap, diikat oleh puitika metafora, tinggi akal budinya, atau puisi ialah sebuah karya yang menghimpunkan kata-kata terbaik dan amat bijaksana fitrahnya. Hal ini mungkin tidak sealiran dengan tanggapan William Wordsworth seperti yang ditulisnya dalam bukunya berjudul Lyrical Ballads (1798), iaitu “puisi merupakan luapan emosi yang spontan” (“poetry is the spontaneous overflow of powerful feelings”) yang jika difahami secara sepintas lalu, seolah-olah puisi sekadar luahan perasaan yang bersahaja sifatnya. Hakikatnya, puisi lebih daripada itu. Pertembungan idea sebegini bukanlah asing dalam perkiraan perkembangan  ilmu, malah pertembungan sebegini merupakan satu tuntutan pencerahan fahaman dan falsafah yang perlu disuburkan.

Sejujurnya, puisi bagi saya ialah sebuah teks yang terhasil daripada ilham yang datang bersilih ganti seperti kilat yang menyambar. Dan puisi yang indah tentunya dapat menangkap kehadiran ilham sehingga ilham itu menjadi seperti air di sungai yang dingin dan jernih kemudian mengalir dalam alur yang ada pasang surutnya. Ilham dan idea juga kadang-kadang seperti harum mawar yang melingkar di dada langit – begitulah juga dengan nasib seorang penyair seperti saya yang diamanahkan untuk memindahkan setitis ilmu daripada zat Allah SWT.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa, saya perlu berterima kasih kepada persatuan penulis kerana persatuan penulis merupakan pakaian yang lain dalam konteks menyampaikan gagasan perjuangan.

Oleh itu, sebagai penyair, saya sedar akan tuntutan rasa insaniah itu akan sentiasa menganalogikan dirinya seperti mata air yang terbit dari bumi kemudian mengalir keluar mencari sumurnya. Air yang bertakung dari puncak gunung itu akhirnya mengarus menjadi air terjun yang terlepas dan berderai seperti badai atau gerimis – membasah dan dingin di sebuah taman flora dan fauna yang segar bernama taman percakapan. Dan, taman itu ialah kesusasteraan yang di dalamnya subur dengan kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan sejagat. Begitulah indahnya sebuah taman yang diwarnai dengan bunga-bunga yang mengharum, beraspal pohonan menghijau, bertelaga atau bersungaikan air jernih yang dingin mengalir hingga mengirimkan makna bahagia dalam lubuk hati nurani. Itulah andaian daripada hakikat sebuah keindahan taman kata-kata.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa, saya perlu berterima kasih kepada persatuan penulis kerana persatuan penulis merupakan pakaian yang lain dalam konteks menyampaikan gagasan perjuangan. Sebagai seorang kakitangan kerajaan, tentunya saya tidak boleh menyatakan ketidakpuasan hati dalam bentuk yang radikal, sebaliknya dengan memakai baju sasterawan maka saya bebas menyatakan kebejatan yang berlaku di depan mata. Itu tujuan saya berpersatuan. Saya sangat berterima kasih kepada PENA, GAPENA dan PPJ. Bagi saya, berpersatuan sangat penting. Hal inilah yang selalu ditekankan oleh Sasterawan Negara Baha Zain kepada saya bahawa untuk menjadi seorang sasterawan yang berjiwa besar, Kata-kata itu telah sebati dalam diri saya kini.

Kita telah atau sedang berhadapan dengan era pascakolonial, dan globalisasi yang sentiasa melihat kesusasteraan itu seperti boneka yang perlu diperkotak-katikkan. Oleh itu, sebagai sasterawan, kita perlu bangun berjuang untuk meletakkan pemikir dan penulis agar mendapat penghormatan tertinggi. Kita perlu menjadi sasterawan yang dapat mewarisi perjuangan Usman  Awang, Mahsuri S.N, Jose Rizal, Sunthorn Phu, Mpu Kanwa, Nguyen Du, atau sesiapa sahaja dalam kalangan kita yang berjuang demi mempertahankan peranan dan sumbangan tradisi keilmuan bahasa dan  sastera kepada negara tercinta. Maka, saya yakin bahawa kuasa kesusasteraan ialah kuasa yang penting dalam menentukan hebatnya sesebuah tamadun negara bangsa.

Akhir kata, dalam majlis yang gemilang dan permai ini, saya ingin titipkan salam persaudaraan kepada para hadirin, khususnya kepada kerajaan Thailand sebagai penganjur SEA Write Awards, Dewan Bahasa dan Pustaka selaku urus setia Anugerah SEA Write Malaysia, dan rakan-rakan penerima Anugerah SEA Write. Di tangan tuan-tuanlah, kesusasteraan Melayu dapat berada di takah mendunia. Kepada Tuhan yang Maha Pemurah, peliharalah kedamaian ini demi kehidupan yang lebih harmoni.

Sebelum saya mengundur diri,
        Laha dan silap mohon dimaafi;
Saya bukanlah orang jauhari,
        Takut tersalah berdiri di sini.

Sekian, terima kasih.

_________________________
Shamsudin Othman
(Dr.) dilahirkan di Kampung Sri Makmur, Tangkak, Johor. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2019.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.