Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyair Dr. Shamsudin Othman menjadikan ruang puisinya untuk mengajak manusia menghayati hakikat keinsanan sebenar melalui muhasabah diri, pendidikan rohani dan penghayatan falsafah kehidupan.

Gabungan unsur ketuhanan dan kemanusiaan secara tidak langsung menjadikan karyanya sebagai medium dakwah yang menyampaikan nilai murni akhlak, akal budi, kerohanian, dan kemanusiaan kepada pembaca.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), YBrs. Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid berkata, puisi Shamsudin bukan sekadar karya estetik yang unggul pada pemilihan diksi, sebaliknya memaknai pelbagai ruang kehidupan termasuk nilai kasih sayang.

“Puisi Dr. Shamsudin bukan semata-mata hebat pada kata-kata, tetapi kemampuan beliau memanfaatkan karyanya sebagai medan pendidikan rohani dan juga kemanusiaan yang sarat dengan mesej atau pengajaran yang berguna.

“Puisinya memperlihatkan hal muhasabah diri, taubat, kasih sayang, kemanusiaan, termasuk tanggungjawab sosial. Dan paling penting sekali adalah tentang pencarian makna hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membicarakan kumpulan puisi Taman Insaniah (DBP, 2014) karya Shamsudin pada program Wacana Karya Tokoh Puisi yang bertempat di Sudut Karyawan (Stor Teater) Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Mohamed Nazreen berkata, pendekatan Shamsudin mempersembahkan naratif karyanya selari dengan prinsip Islam bahawa puisi bukan sekadar mainan bahasa untuk hiburan emosi semata-mata.

Bahkan, jelas beliau, fungsi puisi itu sendiri luas dengan makna yang merangkumi seluruh aspek kehidupan dengan pelbagai lapisan tafsiran, selain mencerminkan pengalaman realiti kehidupan manusia.

“Oleh itu, insan kamil tidak lahir secara spontan, tetapi harus dibentuk melalui latihan rohani dan disiplin spiritual secara berterusan melalui muhasabah diri, zikir, penghayatan, dan kaedah-kaedah tertentu,” katanya.

Beliau berkata, para pembaca akan menemui ekspresi tersebut melalui beberapa karyanya yang dimuatkan dalam buku puisi Taman Insaniah seperti, “Penukang Malam”, “Diburu Usia”, “Moga Kau Mengerti Anakku”, dan “Puisi Segelas Iman”.

Sementara itu, dari satu sisi lain, beliau berkata bahawa kewibawaan Shamsudin terserlah dalam menyuarakan kritikan kemanusiaan melalui nada sinis yang tajam tetapi masih berpegang pada nilai spiritual.

Beliau mencontohkan puisi “Kepada Presiden”, yang katanya, melalui puisi ini, penyair memperlihatkan dunia sekarang semakin kehilangan nilai kemanusiaan apabila politik dipenuhi dengan kerakusan kuasa.

“Puisi ini (berfungsi) sebagai kritikan kemanusiaan, selain menyentuh hipokrasi kuasa besar dan penderitaan manusia sejagat. Walaupun bernada politik, namun puisi ini masih memegang nilai spiritual.

“Bagi menemukan jalan penyelesaian sebenar dari segala konflik yang dimaksudkan, penduduk dunia secara umumnya perlu kembali kepada iman, amal dan akhlak,” ujarnya.

Beli Taman Insaniah di sini.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi