Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Nasirin Abdillah mengupas kumpulan puisi Night Watch yang berjaya memenangi Griffin Poetry Prize 2026.
Di bawah permukaannya, ada usaha yang lebih besar untuk membina perjalanan menuruni kegelapan, lalu mencari semacam jalan pulang melalui bahasa, memori dan sejarah.
Penyair Amerika Kevin Young diumumkan sebagai penerima Griffin Poetry Prize 2026 (Hadiah Puisi Griffin 2026) menerusi kumpulan puisinya, Night Watch (2025), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara penting dalam puisi Amerika kontemporari. Diasaskan pada tahun 2000 oleh Scott Griffin, Griffin Poetry Prize adalah antara anugerah puisi antarabangsa yang paling berprestij bagi buku puisi yang ditulis atau diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 2026, panel juri yang terdiri daripada Andrea Cote, Luke Hathaway dan Major Jackson menilai 461 buah buku dari 42 negara sebelum memilih Night Watch sebagai pemenang hadiah antarabangsa bernilai CAD130,000. Dalam konteks persaingan sebesar itu, kemenangan Young bukan sekadar mengiktiraf kemahiran teknikalnya sebagai penyair, tetapi juga keluasan emosi dan pemikiran yang digerakkan oleh buku kumpulan puisinya.
Kemenangan ini tidak sukar difahami jika dilihat daripada keseluruhan perjalanan kepengarangan Young. Beliau ialah pengarang enam belas buah buku puisi dan prosa, editor puisi di The New Yorker, serta penyunting beberapa antologi penting, termasuk African American Poetry: 250 Years of Struggle & Song dan A Century of Poetry in The New Yorker: 1925 – 2025. Namun, Night Watch menonjol bukan semata-mata kerana reputasi pengarangnya. Buku ini menampilkan cara Young menggabungkan renungan peribadi, sejarah Afrika-Amerika, seni visual, warisan agama, dan muzik ke dalam rangkaian puisi yang bergerak antara elegi, puisi sejarah dengan renungan tentang seni itu sendiri. Panel juri menyifatkan koleksi ini sebagai karya Young yang paling eksperimental setakat ini, sebuah buku yang “melankolik dan menghantui”, dengan baris-baris triadik yang meneliti kesunyian, dukacita dan legasi perkauman yang sangat berakar dalam pengalaman Amerika.
Salah satu perkara yang menonjol dalam Night Watch ialah bentuknya. Banyak puisi dalam buku ini digerakkan oleh baris-baris triadik yang pendek, menurun dan berlangkah, seolah-olah setiap rangkap sedang berfikir sambil melangkah turun ke ruang yang lebih gelap. Bentuk ini bukan sekadar gaya visual. Hal ini membantu mewujudkan rentak renungan yang terputus-putus, kadang-kadang seperti bisikan, kadang-kadang seperti suara yang merintih dalam pengalaman duka. Dalam konteks tertentu, bentuk ini juga memberikan kesan seperti langkah yang sentiasa tertangguh, seolah-olah puisi enggan bergerak lurus dan sebaliknya memilih jalan yang berliku, tersangkut dan berulang. Pengalaman membaca Night Watch sering terasa seperti menyusuri lorong-lorong ingatan yang tidak tenang: puisi-puisinya tidak bergegas menuju kesimpulan, tetapi berputar, menyelidik, kembali semula, lalu membuka ruang baharu bagi kehilangan, sejarah dan daya tahan.
Kesan itu paling jelas dalam rangkaian “Darkling”, bahagian teras buku ini, yang mengolah semula Divine Comedy karya Dante ke dalam suasana dan imaginasi Young sendiri. Juri menyebut dengan jelas pengaruh Dante dalam buku ini dan pembacaan itu memang penting kerana Night Watch bukan sekadar koleksi elegi atau puisi sejarah yang berdiri sendiri. Di bawah permukaannya, ada usaha yang lebih besar untuk membina perjalanan menuruni kegelapan, lalu mencari semacam jalan pulang melalui bahasa, memori dan sejarah. Beberapa bahagian “Darkling” lahir sebagai reaksi pada siri catan Inferno oleh Robert Rauschenberg, seperti yang diulas oleh Matilda Sykes dalam Times Literary Supplement terhadap buku kumpulan puisi oleh Young ini. Ulasan beliau membantu menjelaskan mengapa sesetengah imej dalam buku ini tampak terpisah, berserpihan dan kadang-kadang hampir kolaj sifatnya. Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana bentuk triadik dan struktur berurutan itu memberikan Night Watch tenaga gerak yang tidak statik. Buku ini terasa seperti sebuah perjalanan, bukannya himpunan puisi yang kebetulan dikumpulkan bersama.
Kekuatan utama Night Watch tetap terletak pada keupayaannya menjadikan pengalaman kehilangan sebagai pusat renungan, tanpa mengecilkannya kepada ratapan peribadi semata-mata. Dalam koleksi ini, kehilangan hadir dalam pelbagai bentuk: kehilangan orang tersayang, kehilangan sejarah yang dipadamkan, kehilangan tubuh yang utuh, malah kehilangan rasa aman dalam sejarah Amerika yang dibentuk oleh perhambaan dan ketidaksamaan kaum. Apa yang penting dalam koleksi ini bukan janji penyembuhan yang mudah, tetapi gagasan daya pulih: kemungkinan untuk meneruskan hidup, menata semula diri atau menemukan bentuk makna baharu sesudah berhadapan dengan luka. Dalam puisi-puisi Young, luka tidak lenyap tetapi kekal sebagai parut. Parut itu sendiri menjadi tanda bahawa subjek masih hidup dan masih mampu menanggung ingatan.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam puisi “Rapture”. Puisi ini bermula dengan pengakuan yang mengejutkan dalam kesederhanaannya: “I want to be awake/when the world ends.” Kiamat (the world ends) di sini bukan sekadar gambaran eskatologi, tetapi ruang imaginatif untuk memikirkan ketakutan paling asas manusia, iaitu ditinggalkan dan kehilangan orang yang dikasihi. Young membina puisi ini melalui kisah seorang sahabat, pada suatu hari, yang bangun daripada lena dan mendapati rumahnya kosong lalu menyangka bahawa peristiwa Rapture telah berlaku dan dirinya tidak turut “crossed over”. Daripada episod yang ganjil ini, puisi tersebut menggabungkan unsur cemas, lucu dan pilu dalam renungan tentang kehilangan. Namun, yang paling penting ialah penutup puisi ini, apabila penyair berharap agar “the myself I mourn” dapat “be mended & start/over, like a scar,/or star.” Baris-baris ini tidak membayangkan pemulihan yang memadamkan luka. Sebaliknya, Young menulis tentang diri yang retak tetapi masih boleh dipulihkan dan diteruskan. ‘Scar’ mengekalkan ingatan terhadap luka, manakala ‘star’ mengubah kesan luka itu menjadi imej cahaya. Harapan dalam Night Watch dengan demikian tidak lahir daripada penafian terhadap penderitaan, tetapi daripada kesanggupan untuk hidup bersama-sama parut yang ditinggalkan.
Renungan yang sama kemudian beralih ke ruang muzium dalam puisi “Night Watch” dan “Self-Portrait with Felt Hat”, dua bahagian yang hadir bersama dalam puisi berjudul “Diptych (Portraits of Light)”. Di sini, Young menjadikan seni sebagai tempat pertemuan antara sejarah, ingatan dengan perhatian. Dalam “Night Watch”, seseorang boleh jatuh cinta “with the art/or its silence.” Baris ini penting kerana menunjukkan bahawa seni, bagi Young, tidak terhad pada objek yang dipamerkan. Yang sama penting ialah ruang sunyi yang mengelilingi karya itu, iaitu ruang tafsiran, renungan dan kehadiran sejarah yang tidak terucap. Muzium dalam puisi ini bukan ruang neutral, tetapi ruang masa lalu yang dipamerkan, disusun dan pada masa yang sama disenyapkan. Maka, puisi ini bukan sekadar tentang pengalaman melihat lukisan, tetapi juga tentang cara sejarah dipersembahkan dan siapa yang dibiarkan tidak kelihatan di dalamnya.
Di sinilah muncul salah satu gerak paling tajam dalam puisi tersebut, apabila Young mengalihkan perhatian pembaca daripada pelukis besar dan karya agung kepada “the unnamed/servants.” Dengan satu isyarat ringkas, puisi ini membuka persoalan tentang sejarah yang dibina atas nama-nama besar sambil menyingkirkan mereka yang bekerja di belakang tabir, yang hadir dalam lukisan atau peristiwa sejarah tetapi tidak pernah diberi nama. Wajah Rembrandt yang “half in shadow” juga lebih daripada sekadar imej visual. Hal ini mengisyaratkan sejarah yang tidak pernah sepenuhnya terang, masa lalu yang sentiasa mengandungi bahagian yang tertutup, terpadam atau sengaja dilupakan. Kekuatan Young terletak pada kemampuannya menghubungkan pengalaman estetik dengan kesedaran sejarah. Melihat lukisan akhirnya bererti melihat juga siapa yang dihilangkan daripada bingkai sejarah itu.
Gerak yang sama dapat dikesan pada bahagian penutup puisi tersebut. Young meminta pembaca meninggalkan tumpuan terhadap karya agung yang paling masyhur dan sebaliknya “follow the quiet/to the portraits of light/entering a room.” Cahaya yang memasuki ruang tertutup itu penting bukan kerana lambangnya semata-mata, tetapi kerana perubahan perhatian yang dicadangkan oleh puisi ini. Young mengajar pembaca untuk memandang bukan pada yang paling tampak menyerlah, tetapi pada yang hampir terlepas pandang. Selanjutnya, hal ini dapat dibuktikan pada baris akhir puisi ini: “The braids/of that woman’s hair.” Tumpuan kepada tocang rambut seorang perempuan mungkin tampak kecil, tetapi di situlah etika puisi Young terserlah. Yang kecil, yang senyap atau yang tidak diraikan oleh sejarah rasmilah yang menyimpan jejak kemanusiaan yang paling utuh. Dalam konteks ini, Night Watch ialah buku yang berusaha memulihkan perhatian pembaca kepada apa-apa yang lazimnya diabaikan. Keindahan, menurut puisi ini, tidak semestinya terletak pada yang monumental, tetapi pada perincian yang menyimpan jejak kehidupan manusia biasa.
Salah satu pencapaian terbesar Night Watch ialah cara Young menghubungkan renungan peribadi dengan sejarah Afrika-Amerika.
Puisi “Self-Portrait with Felt Hat” meneruskan renungan tentang perhatian, tetapi kali ini melalui hubungan antara seni dengan diri. Baris pembukaannya, “One should never be in love/when in a museum,” tidak perlu difahami secara literal. Dalam konteks ini, Young bukanlah menidakkan cinta, sebaliknya menyindir kecenderungan manusia untuk terlalu tenggelam dalam perasaan sendiri sehingga gagal melihat dunia di hadapannya. Dalam puisi ini, sepasang kekasih yang bercium di hadapan lukisan Van Gogh boleh dibaca sebagai lambang kegagalan memberi perhatian. Mereka berada di hadapan karya seni, tetapi kesedaran mereka tertutup kepada diri sendiri. Young menggambarkan bunga matahari Van Gogh sebagai “bruised, chartreuse, brilliant,” suatu rangkaian imej yang menjadikan lukisan itu bukan sekadar objek muzium, tetapi tenaga visual yang masih berdenyut. Puisi ini berakhir dengan nasihat yang ringkas tetapi tegas: “Best/believe in the world/more than yourself.” Jika dibaca bersama-sama “Night Watch”, baris ini menjelaskan satu prinsip penting dalam koleksi tersebut, iaitu keperluan untuk keluar daripada kepentingan diri dan membuka perhatian kepada sejarah, orang lain dan dunia yang lebih luas daripada pengalaman peribadi sendiri.

Salah satu pencapaian terbesar Night Watch ialah cara Young menghubungkan renungan peribadi dengan sejarah Afrika-Amerika. Bahagian yang paling ketara ialah siri puisi tentang Millie-Christine McCoy, pasangan kembar siam Afrika-Amerika yang lahir dalam perhambaan dan kemudiannya dipamerkan sebagai tontonan awam. Bahagian ini penting bukan sahaja kerana subjek sejarahnya yang menggugah, tetapi juga kerana hal ini menunjukkan cita-cita besar Young sebagai penyair. Melalui suara Millie-Christine, beliau cuba menulis semula tubuh yang pernah dijadikan bahan tontonan, memulangkan suara kepada subjek yang selama ini lebih kerap dicatat sebagai objek rasa ingin tahu, bahan perubatan atau keanehan sarkas. Pada saat terbaiknya, siri ini berjaya menunjukkan bagaimana sejarah perhambaan, eksploitasi dan persembahan tubuh hitam terus menghantui imaginasi Amerika.
Namun, di sinilah juga Night Watch menampakkan risikonya. Apabila Young menggabungkan bahan sejarah dengan gerak liris yang sangat abstrak, terdapat bahagian yang terasa lebih longgar dan kurang padu berbanding puisi-puisi terbaik dalam buku ini. Dalam usaha memberi suara kepada Millie-Christine, puisi-puisi tersebut kadang-kadang bergerak di pinggir bahaya yang memang sukar dielak oleh mana-mana penyair yang menulis tentang tubuh yang pernah dieksploitasi: keinginan untuk memulihkan suara boleh bertembung dengan risiko mengulang tatapan yang sama. Walau bagaimanapun, Young tidak memperlakukan kisah Millie-Christine sebagai sensasi sejarah semata-mata, tetapi sebagai tapak untuk meneliti persoalan tubuh, identiti, eksploitasi dan kemanusiaan. Dalam konteks ini, sejarah bukan sekadar latar bagi puisi, tetapi bahan utama yang memaksa pembaca berdepan dengan warisan kekerasan yang membentuk Amerika moden. Dengan membawa suara yang pernah dipinggirkan kembali ke tengah puisi, Young menunjukkan bahawa kerja puitika juga boleh menjadi kerja memorial, iaitu usaha mengingati mereka yang pernah dijadikan objek oleh sejarah.
Kepentingan Night Watch terletak pada hakikat bahawa koleksi ini tidak memilih antara yang peribadi dengan yang sejarah. Kedua-duanya sentiasa terjalin. Kesedihan peribadi tidak pernah bebas daripada sejarah bangsa dan keluarga. Sejarah pula tidak dibentangkan sebagai bahan arkib yang beku, tetapi sebagai sesuatu yang terus hidup dalam tubuh, bahasa dan ingatan. Tambahan pula, buku puisi ini bukan sekadar indah atau mengharukan. Buku ini berusaha menunjukkan bagaimana pengalaman duka dibentuk oleh sejarah dan bagaimana sejarah pula hanya benar-benar bermakna apabila dirasai sebagai sesuatu yang menyentuh kehidupan manusia.
Night Watch juga boleh dibaca sebagai buku yang menerima ketidaksempurnaan sebagai sebahagian daripada bentuknya. Terdapat puisi yang lebih padat, yang lebih terbuka atau yang terasa amat terancang, dan terdapat juga yang seperti dibiarkan bernafas dalam bentuk serpihan. Natijahnya, ketidaksamaan inilah yang melahirkan salah satu daya tarik buku ini. Sebahagian puisi Young bergerak dengan risiko, kesan-kesan pecahan, pertukaran nada dan bentuk yang kadang-kadang tidak sepenuhnya stabil. Untuk sesetengah pembaca, hal ini mungkin terasa sebagai kelemahan. Bagi pembaca yang sanggup mengikut rentak buku ini, ketidakteraturan tersebut adalah sebahagian daripada logik emosinya sendiri: kehilangan memang jarang-jarang hadir dalam bentuk yang kemas.
Akhir kata, kemenangan Night Watch dalam Griffin Poetry Prize 2026 bukan sekadar pengiktirafan terhadap kemahiran teknikal Kevin Young, tetapi juga terhadap keluasan visi puisinya. Koleksi ini menunjukkan bahawa puisi masih mempunyai keupayaan untuk menanggung persoalan besar tentang kehilangan, memori, sejarah, dan kelangsungan hidup. Harapan dalam Night Watch bukan berupa janji bahawa luka akan hilang. Harapan itu hadir dalam bentuk yang lebih sukar dan lebih meyakinkan: kesediaan untuk mengingati, keberanian untuk melihat apa yang disenyapkan dan kemampuan untuk meneruskan hidup sambil membawa parut sejarah serta parut peribadi yang tidak mungkin terpadam. Dalam tangan Young, puisi bukan tempat melupakan luka, tetapi cara untuk memandangnya lama-lama sehingga daripada luka itu, muncul bentuk ingatan dan daripada ingatan itu, lahir daya untuk terus hidup.
_________________________
Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.