Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTaufiq Harith mengulas kumpulan puisi terbaharu Jack Malik, Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata.
Mengenali Jack Malik, perkara ini disengajakan bagi mencabar keterikatan formalisme tersebut …
Ketika mengikuti perkembangan Jack Malik dalam kepenyairannya, memberikan sebuah kesegaran yang nyata apabila saya mula membaca dua buah buku kumpulan puisi beliau yang terkini, It Takes So Much To Be Nothing (2024) dan Semesta Bougainvillea di Penjuru Mata (2026). Kepenyairan Jack Malik sangat menyendiri namun juga muncul persis suara-suara tokoh penyair yang sering dipetik olehnya, antara lainnya termasuklah Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Salleh Ben Joned, Latiff Mohidin, dan T. Alias Taib.
Permainan penulisan Jack Malik mementingkan unsur lirikal. Hal ini tidak menghairankan kerana beliau memegang teguh konsep Tri-V (visual, vokal, verbal) yang dipelopori oleh Pak AGI. Dalam kumpulan-kumpulan puisi yang awal (seperti Sajakjakja(c)k, Gampang! dan Wannabe Sasau), eksperimentasi dengan bentuk merupakan titik jualan utama seorang Jack Malik, selain diksi yang begitu memberontak (rebel) dan indie. Pun, saya lebih tertarik dengan pendekatannya dalam Semesta Bougainvillea yang lebih mengetengahkan eksperimentasi dalam dunia formalisme. Perbezaan persembahan inilah yang menzahirkan pencarian suara kepenyairan (atau poetic voice) beliau.
Perhatikan “Blues–Ghazal Ipoh” pada halaman 27:
…..kata kerouac, semua orang balik
…………………………………………..bulan oktober—
…..kalau begitu ipoh bagiku
………………………..setiap bulan
………………………..merupakan bulan oktober—
…..adakah ini juga ghazal?
…..atau blues? tentang kerouac?
……………….ipoh? tentang bulan oktober
Puisi ini unik kerana telah menggabungkan dua bentuk sajak formal (blues dan ghazal), malah eksperimen pengaburan antara kedua-duanya berjaya. Penggunaan radīf (perulangan perkataan ‘oktober’) membawa nuansa ghazal, namun nilai lirikal (melalui penjedaan dan pematahan baris) menggaulkan nuansa blues. Walaupun tidak melengkapi keseluruhan elemen yang perlu ada dalam sebuah ghazal (misalnya matla, kāfiya dan maqta), gagasan ghazal yang dibawakan tetap dapat dirasai daripada nilai rimanya. Sama perihalnya dengan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh dalam Salju Shibuya (2004), yang menyemat semangat haiku dalam setiap fragmen penulisan puisi dalam kumpulan puisi tersebut. Namun, yang beliau sematkan ialah “semangat keringkasan, ketidaklangsungan dan juga mengutip kebijaksanaan dari makna alam” dan bukan struktur suku kata 5–7–5.

Olahan dan penerapan teori formalisme sangat dominan dalam bahagian “Tujuh Gubahan Bunga Kertas & Sebuah Senandung Berputik” (hlm. 51–63) apabila citra bunga kertas digubah dalam tujuh bentuk puisi formal, iaitu pantun, haiku, tanka, sonet, ghazal, triptik, dan konkrit. Dalam “Bunga Kertas: Haiku” (hlm. 53), kelima-lima bait haiku yang ditulis—betul—ditulis mengikut kerangka 5–7–5 sebuah haiku, pun tidak mengikuti tradisi haiku secara menyeluruh. Ketiadaan kigo (atau penanda musim), dan kireji (atau pemenggalan) yang kabur, tidaklah mengikut hukum penulisan haiku. Namun begitu, mengenali Jack Malik, perkara ini disengajakan bagi mencabar keterikatan formalisme tersebut.
Juga, dalam “Bunga Kertas: Ghazal” (hlm. 57–58), format penulisan ghazal dikaburkan (juga disengajakan) apabila pematahan baris tidaklah berbentuk kuplet seperti kebiasaan sebuah ghazal dan ketiadaan radif pada kedua-kedua baris matla (rangkap pertama). Tentu juga dalam “Bunga Kertas: Tanka” (hlm. 54–55), pematahan baris juga tidak mengikut konvensi 5–7–5–5–7, namun pelanggaran ini menghasilkan sebuah harmoni dari segi nilai Tri-V. Visualnya lebih berestetika, vokal dan verbalnya lebih terkesan melalui kesan jeda yang terhasil.
Dalam “Senandung Bunga Kertas” (hlm. 61–63), kita boleh melihat sisi deklamator beliau jika puisi ini cuba dilisankan, selain visualnya yang mengasyikkan. Lihat sahaja rangkap pada halaman 63:
…..bianglala
…………berbunyi
……………….daun ditiup angin
…………………………betapa lebat
……………………………….betapa lebat
…………………………………………betapalebat
…………………………………………….betapalebat lebat lebatlebatlebatbetapa lebatnya
Kesimpulannya, licentia poetica yang digunakan oleh Jack Malik dalam pemilihan bentuk penulisannya membawa nilai baharu dalam penulisan puisi moden dengan menggabungkan fizikal puisi tradisional dan klasik yang terikat dengan sebuah suara segar yang kaya nilai lirikalnya. Tidak kurang juga beberapa penyair muda yang mencirikan perkara yang sama, namun, dalam kalangan penyair muda, Jack Malik paling menonjol dalam bereksperimentasi dengan bentuk puisi.
_________________________
Taufiq Harith tinggal di Sungai Buloh, Selangor. Puisi beliau tersiar dalam pelbagai media massa termasuk portal digital.