Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHazim Halim membincangkan pendekatan Mawar Safei dalam menyampaikan pelbagai bentuk ilmu secara tersirat melalui karya kreatifnya, khususnya menerusi penggunaan simbol, pengalaman watak dan unsur budaya dalam beberapa cerpennya.
Pendekatan ini memperlihatkan penghormatan pengarang terhadap kebijaksanaan pembaca …
Karya sastera sering dianggap sebagai bahan bacaan santai atau wadah hiburan dalam dunia yang semakin dipenuhi dengan maklumat segera. Walau bagaimanapun, untuk sesetengah pengarang, sastera merupakan peluang yang lebih besar daripada itu. Sastera merupakan medan penyampaian ilmu, tempat pengalaman manusia diterjemahkan menjadi pemikiran dan wahana pendidikan yang mampu membentuk cara seseorang melihat dunia. Pandangan inilah yang dapat dikesan dalam karya Prof. Madya Dr. Mawar Safei, iaitu seorang sarjana dan penulis kreatif yang konsisten memanfaatkan sastera sebagai medium penyebaran ilmu secara tersirat.

Keistimewaan karya Mawar Safei bukan terletak pada kecenderungannya mengemukakan pengajaran secara langsung. Sebaliknya, beliau memilih jalan yang lebih halus. Ilmu tidak hadir dalam bentuk syarahan atau nasihat yang panjang, tetapi diselitkan melalui pengalaman watak, simbol, latar, dan konflik yang membentuk sebuah cerita. Pembaca tidak dipaksa menerima sesuatu idea, tetapi mereka diajak berfikir, mentafsir dan menemukan sendiri makna yang tersembunyi di sebalik naratif.
Pendekatan sedemikian sebenarnya mempunyai akar yang panjang dalam tradisi kesusasteraan Melayu. Pantun, syair dan hikayat tradisional sering menyampaikan kebijaksanaan hidup melalui perlambangan dan kiasan. Nilai yang ingin disampaikan tidak diungkapkan secara terus, tetapi dibalut dengan keindahan bahasa dan imaginasi. Dalam konteks sastera moden, Mawar Safei meneruskan tradisi tersebut dengan pendekatan yang lebih kontemporari, bersesuaian dengan keperluan pembaca pada masa kini.
Melalui wawancara yang dijalankan bersama-sama beliau, Mawar Safei percaya bahawa ilmu boleh disampaikan melalui “isi yang terkandung makna tersirat” atau “between the lines”. Pembaca tidak semestinya perlu berhadapan dengan fakta yang disusun secara formal untuk memperoleh pengetahuan. Kadangkala, pengalaman mengikuti perjalanan hidup watak mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam berbanding penerangan yang bersifat langsung. Dalam hal ini, sastera menjadi ruang pembelajaran yang berlangsung secara semula jadi.
Kepercayaan tersebut dapat dilihat melalui pelbagai karya beliau yang mengandungi unsur ilmu daripada pelbagai bidang. Menariknya, ilmu yang disampaikan tidak pernah kelihatan dipaksa masuk ke dalam cerita, namun menjadi sebahagian daripada dunia yang dihuni oleh watak-watak dalam karya tersebut. Pembaca memperoleh pengetahuan baharu sambil menikmati perkembangan plot dan konflik yang diketengahkan.
Dalam beberapa cerpen, Mawar Safei mengangkat pelbagai bidang ilmu sebagai sebahagian daripada naratif tanpa menjadikannya seperti bahan pengajaran formal. Misalnya, cerpen “Sedang Malaikat Berdoa” menyelitkan ilmu penternakan yang berkait dengan kehidupan masyarakat dan hubungan manusia dengan alam. Dalam cerpen “Tiba-tiba Ada Mawar dalam Jiwa” pula, pengarang memasukkan unsur ilmu binaan dan seni struktur sebagai latar yang memperkaya penceritaan. Sementara itu, cerpen “Masitah” memperlihatkan penggunaan ilmu maritim yang berkait dengan lautan, pelayaran dan dunia maritim.
Menariknya, semua ilmu tersebut tidak disampaikan secara langsung atau bersifat akademik, namun hadir secara organik dalam perkembangan watak, konflik dan peristiwa yang digarap dalam cerita. Pembaca mungkin tidak menyedari bahawa mereka sedang memperoleh pengetahuan baharu kerana ilmu tersebut diserap secara halus dalam pengalaman pembacaan. Perkara inilah yang menjadi kekuatan sebenar dalam pendekatan penyampaian ilmu secara tersirat yang diamalkan oleh Mawar Safei, iaitu menyampaikan pengetahuan tanpa menghilangkan keseronokan dan keindahan karya sastera.
Pendekatan ini memperlihatkan penghormatan pengarang terhadap kebijaksanaan pembaca. Dalam banyak karya popular hari ini, pengarang cenderung menjelaskan segala-galanya secara terperinci sehingga tidak banyak ruang diberikan kepada pembaca untuk berfikir. Namun Mawar Safei mengambil pendekatan yang berbeza. Beliau mempercayai bahawa pembaca mampu mentafsir dan membina makna sendiri. Oleh sebab itu, karya-karyanya sering mengandungi lapisan makna yang memerlukan pembacaan yang teliti dan reflektif.
Aspek tersebut dapat diperhatikan melalui penggunaan simbol dalam karya beliau. Simbol bukan sekadar unsur estetika yang memperindah cerita, sebaliknya menjadi medium penyampaian ilmu dan pemikiran. Dalam cerpen “Tamsil Daun” misalnya, daun berfungsi lebih daripada sekadar objek alam. Daun menjadi lambang yang menghubungkan pembaca dengan persoalan aurat, maruah dan tanggungjawab manusia terhadap ajaran agama.
Simbol yang sederhana itu membuka ruang tafsiran yang luas kerana daun turut mempunyai nilai budaya yang signifikan dalam kehidupan masyarakat Nusantara. Menariknya, daun juga dikaitkan dengan tradisi komunikasi masyarakat Mandailing yang dikenali sebagai hata bulung-bulung, iaitu sistem penyampaian mesej dengan menggunakan pelbagai jenis daun sebagai simbol makna tertentu. Dalam tradisi tersebut, daun bukan sekadar tumbuhan, tetapi berfungsi sebagai bahasa yang menyampaikan hasrat, perasaan dan maklumat kepada anggota masyarakat.
Hubungan antara daun sebagai medium komunikasi budaya dengan daun sebagai perlambangan dalam cerpen “Tamsil Daun” memperlihatkan kebijaksanaan Mawar Safei memanfaatkan unsur alam sebagai wahana penyampaian ilmu dan pemikiran. Pembaca bukan sahaja diajak memahami makna daun dalam konteks keagamaan, malah dapat menelusuri dimensi budaya dan warisan yang terkandung di sebalik simbol tersebut. Oleh itu, perlambangan daun dalam cerpen ini membuktikan bahawa sesuatu unsur yang kelihatan sederhana mampu membawa makna yang berlapis dan mencetuskan renungan yang mendalam.
Perkara yang sama dapat dilihat melalui penggunaan simbol coklat dalam cerpen “Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah”. Pada pandangan awal, coklat mungkin kelihatan sebagai objek biasa yang dikaitkan dengan makanan dan kenikmatan rasa, namun melalui kreativiti Mawar Safei, coklat berkembang menjadi simbol yang sarat dengan makna kehidupan. Dalam cerpen ini, coklat bukan sekadar produk yang dihasilkan di Rumah Coklat, sebaliknya menjadi medium yang menghubungkan manusia dengan pengalaman, kenangan, kesedihan, harapan, dan proses penyembuhan jiwa.
Pelbagai jenis coklat yang dihasilkan oleh watak perempuan, seperti dalam “Memujuk Teja” dan “Reda Pudina”, digambarkan perempuan mampu merawat emosi manusia yang berdepan dengan kecewa, kehilangan, kemarahan, dan rasa bersalah. Di samping itu, pengarang turut menghubungkan coklat dengan sejarah peradaban manusia melalui rujukan tamadun Olmec, Maya dan Aztec yang menjadikan kakawa (koko) sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan mereka. Simbol coklat dalam cerpen ini sekali gus melangkaui fungsi fizikalnya sebagai makanan, lalu menjadi metafora pada kehidupan manusia yang dipenuhi pelbagai rasa dan pengalaman. Sebagaimana seseorang tidak mengetahui coklat apakah yang akan diperoleh daripada sekotak coklat, manusia juga tidak dapat meramalkan perjalanan hidup yang bakal ditempuhi. Oleh itu, penggunaan simbol coklat memperlihatkan kebijaksanaan Mawar Safei dalam mengangkat sesuatu yang dekat dengan kehidupan seharian sebagai wahana penyampaian ilmu, sejarah, falsafah, dan renungan tentang makna kehidupan secara tersirat.
Watak-watak Melayu dan nilai kemelayuan tetap menjadi teras penceritaan walaupun bergerak dalam ruang yang bersifat global.
Dalam konteks yang lebih luas, pendekatan penyampaian ilmu secara tersirat turut memperkukuh fungsi sastera sebagai medium pendidikan. Pendidikan yang berkesan tidak semestinya berlaku dalam bilik darjah. Kadangkala, seseorang belajar tentang kehidupan melalui cerita yang dibaca. Mereka memahami nilai kesabaran melalui penderitaan watak, mengenali makna kasih sayang melalui hubungan antara manusia, dan mempelajari kepentingan keimanan melalui pengalaman spiritual yang digambarkan dalam karya.
Hal ini jelas dapat diperhatikan dalam cerpen “Antara Garis A’araf”. Cerpen ini mengisahkan Asywaq yang berdepan dengan kehilangan suami tercinta, Zain, namun di sebalik kesedihan tersebut, terselit pelbagai pemikiran tentang keimanan, ketentuan Ilahi dan makna kehidupan. Mawar Safei memperlihatkan proses pemulihan jiwa Asywaq melalui penghayatan terhadap kisah para nabi dan ayat-ayat al-Quran yang menjadi sumber kekuatan ketika berhadapan dengan ujian hidup.
Dalam konteks ini, watak Rian yang digelar sebagai “anak syurga” memainkan peranan penting sebagai simbol harapan dan rahmat Tuhan. Kata-kata serta kepekaan Rian sering menjadi pemujuk Asywaq, sekali gus membantu ibunya menerima takdir dengan hati yang lebih reda. Di samping itu, pengarang turut menyelitkan ilmu sains melalui perbincangan tentang gempa bumi, ombak besar dan sistem amaran awal bencana (SAOB), namun ilmu tersebut akhirnya membawa pembaca pada kesedaran bahawa keterbatasan manusia tetap tertakluk kepada kekuasaan Allah SWT. Simbol “garis A’araf” pula melambangkan kedudukan manusia yang sentiasa berada antara harapan dengan keputusasaan, antara keyakinan dengan keraguan. Melalui pengalaman Asywaq dan Rian, pembaca didedahkan pada nilai sabar, tawakal dan reda secara tersirat tanpa pengarang perlu menyampaikannya secara langsung.
Pendekatan yang sama turut digunakan dalam cerpen “Antara Tikungan yang Aneh”. Cerpen ini mengisahkan seorang wanita tua yang tersesat ketika berada di Arafah untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama suaminya. Kehilangan arah tersebut bukan sekadar peristiwa fizikal, tetapi menjadi metafora pada pencarian makna kehidupan dan hubungan manusia dengan Tuhan. Dalam kebingungan itu, watak utama bermuhasabah tentang usia, dosa lampau dan nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT. Pengarang turut menyelitkan ilmu keagamaan melalui makna Arafah sebagai tempat manusia mengenal diri dan Penciptanya serta mengaitkannya dengan kisah pertemuan Nabi Adam dan Hawa di Bukit Rahmah. Melalui simbol “tikungan yang aneh”, Mawar Safei mengajak pembaca merenung kepentingan taubat, kesyukuran dan persediaan menghadapi kehidupan abadi, tanpa menyampaikan pengajaran secara langsung.
Selain aspek keagamaan, Mawar Safei turut memperlihatkan kecenderungan menyampaikan ilmu tentang budaya dan masyarakat. Banyak karya beliau menggunakan latar luar negara seperti Jepun, Lombok dan New Zealand. Pemilihan latar tersebut bukan bertujuan mengagungkan budaya asing, sebaliknya berfungsi memperluas pengalaman pembaca. Melalui karya-karya ini, pembaca diperkenalkan kepada budaya, sejarah dan cara hidup masyarakat lain tanpa meninggalkan akar budaya tempatan. Watak-watak Melayu dan nilai kemelayuan tetap menjadi teras penceritaan walaupun bergerak dalam ruang yang bersifat global.
Pendekatan ini memperlihatkan satu pemikiran yang penting dalam dunia sastera kontemporari. Globalisasi tidak semestinya membawa kepada kehilangan identiti. Sebaliknya, pendedahan terhadap dunia luar boleh menjadi medium untuk memperkukuh pemahaman terhadap budaya sendiri. Dalam hal ini, Mawar Safei berjaya menunjukkan bahawa keterbukaan terhadap pengalaman global mampu berjalan seiring dengan pemeliharaan jati diri tempatan.
Hal yang menjadikan karya Mawar Safei menarik ialah keupayaannya menggabungkan ilmu dan keindahan sastera secara seimbang. Ada karya yang terlalu menekankan unsur pendidikan sehingga mengurangkan nilai seninya, manakala ada juga karya yang terlalu mementingkan keindahan bahasa sehingga kurang memberikan manfaat kepada pembaca. Namun begitu, Mawar Safei berjaya mengimbangi kedua-dua aspek tersebut. Beliau menyampaikan pelbagai ilmu dan pemikiran melalui jalan cerita yang menarik, bahasa yang indah serta penggunaan simbol yang berkesan. Hasilnya, pembaca bukan sahaja menikmati keindahan karya, malah memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu daripada pembacaan tersebut.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh budaya bacaan pantas, pendekatan seperti ini mempunyai kepentingan yang besar. Pembaca hari ini sering dibiasakan dengan maklumat yang ringkas dan segera. Karya Mawar Safei menawarkan pengalaman yang berbeza. Pembaca diajak memperlahankan proses pembacaan, memberi perhatian pada simbol dan perlambangan, serta menikmati proses menemukan makna. Pengalaman sedemikian bukan sahaja memperkaya pengetahuan, malah membantu membentuk pemikiran yang lebih kritis dan reflektif.
Sastera yang baik bukan sekadar menceritakan kisah. Sastera yang baik mengubah cara manusia melihat kehidupan. Melalui karya-karyanya, Mawar Safei membuktikan bahawa ilmu tidak semestinya disampaikan secara langsung untuk memberikan kesan yang mendalam. Kadangkala, mesej yang hadir secara halus lebih mudah meresap ke dalam jiwa pembaca. Melalui simbol, pengalaman dan imaginasi, beliau berjaya menjadikan sastera sebagai wahana pendidikan yang hidup dan bermakna.
Kesimpulannya, penyampaian ilmu secara tersirat merupakan antara kekuatan paling menonjol dalam karya Mawar Safei. Pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan kematangan beliau sebagai pengarang, malah membuktikan bahawa sastera masih relevan sebagai medium penyebaran ilmu pada zaman moden. Dalam karya beliau, ilmu dan estetika bergerak seiring, membentuk pengalaman pembacaan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencerdaskan. Inilah nilai yang menjadikan karya Mawar Safei terus penting dalam landskap kesusasteraan Melayu kontemporari.
Beli kumpulan cerpen Mawar yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
_________________________
Hazim Halim minat besar dalam kesusasteraan Melayu. Beliau tinggal di Seri Kembangan, Selangor.