Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adam Taufiq Suharto mengimbau kembali majalah Dewan Sastera tahun 1976, genap 50 tahun pada tahun ini.

Semuanya komited terhadap satu tujuan: menggali bakat-bakat muda yang menyerlah, di samping tidak lupa meraikan bakat-bakat lama …

Saya pulang ke kampung halaman untuk Hari Raya Haji dan di rumah kampung ada tersimpan koleksi Dewan Sastera dari dekad 70-an dan 80-an milik orang tua yang sudah siap terjilid. Saya cuba lihat pada tulang buku yang telah terjilid itu dan berkira-kira untuk membelek yang mana. Kemudian, mata saya terpana pada Dewan Sastera Edisi 1976 yang lengkap dari bulan Januari hingga Disember. Saya memilih tahun 1976 kerana edisi itu merupakan edisi genap 50 tahun lepas. Setelah membelek edisi Januari, saya terpana dengan keterbukaan terhadap kritiknya dan tema-temanya.

Edisi Januari 1976 rupa-rupanya ialah edisi khas yang semacam refleksi pada Dewan Sastera selepas sudah lima tahun penerbitannya sejak tahun 1971. Ketua Pengarang, Kamaludin Muhammad atau Keris Mas menulis bahawa Dewan Sastera “masuk ke gelanggang dengan cita-cita yang murni untuk meneruskan pencarian dan penemuan nilai-nilai sastera yang tinggi dilakukan” (1976:3) dan “ingin meneruskan penerokaan sastera (edisi tahun 1976 masih dieja ‘sastra’) kreatif”.

Usman Awang selaku pengarang melakukan trivia bagaimana lahirnya Dewan Sastera pada 13 Januari, yang beliau dan Latiff Mohidin pulang lewat pada enam pagi setelah semalaman bergadang di rumah percetakan. Kemala, sebagai timbalan pengarang, mengatakan Dewan Sastera ialah “satu-satunya ‘majalah sastera’ bagi Malaysia (pada waktu itu), yang ingin dimanfaatkan ‘kewujudannya’ bagi menampung suara kreatif seniman tanah air lama dan baru” (1976:5). Ternyata daripada Ketua Pengarah sampai Ketua Pengarang, pengarang serta timbalan pengarang, semuanya komited terhadap satu tujuan: menggali bakat-bakat muda yang menyerlah, di samping tidak lupa meraikan bakat-bakat lama.

Namun begitu, bahagian yang lebih menarik dalam tulisan Usman Awang dalam rencana “Surat dari Pengarang: Suka Duka Dewan Sastera” ialah refleksinya (kritikan?) terhadap sistem pembahagian tugas dan pengkhususan kerja yang menurut Usman Awang “masih tidak banyak berbeza dengan dua puluh tahun yang lalu (50-an)” (1976:7). Dalam rasa kecewa dan tersindir dalam satu temu bual dengan majalah antarabangsa, Usman tetap percaya, “Dewan Sastera seperti umumnya majalah-majalah berbahasa Melayu lainnya di tanah air kita terus terbit, bernafas dengan cara dan kemampuan masing-masing” (1976:7).

Tulisan Sasterawan Negara Usman Awang dalam kumpulan tulisan para pengarang Dewan Sastera edisi Januari 1976.

Tulisan Umar Junus, “Penilaian Kembali atas Dewan Sastera” dengan telus memberikan beberapa kritikan terhadap Dewan Sastera dengan karya-karya pilihannya, yang menurutnya, “ada karya-karya yang kelihatannya baru belajar, juga ada karya daripada penulis yang kelihatannya masih memerlukan proses untuk sampai kepada penghasilan karya yang matang” (1976:8). Terdapat juga kritikan tentang “terlihat adanya obsesi terhadap sastera tradisi” selain memuji usaha Dewan Sastera “membuka diri kepada dunia bukan sastera, misalnya artikel-artikel tentang seni lukis” (1976: 8) dengan harapan tulisan-tulisan tersebut tidak hanya bersifat berita.

Oleh sebab itu dalam edisi yang sama, kita akan menemui wawancara Syed Ahmad Jamal yang menarik sekali untuk memahami pandangan sarwanya, kekagumannya terhadap Ekspresionisme Jerman serta pandangannya, yang jarang-jarang saya dengar dari mana-mana seniman tempatan yakni: “apabila saya melukis, sebagai seorang manusia, saya tidak memikirkan diri saya ini sebagai seorang Asia, atau orang Malaysia atau orang Melayu, atau orang Islam” dan “Saya percaya bahawa tugas pelukis yang utama bukanlah untuk mencipta karya-karya seni … tugas utama pelukis catan ialah membuat catan, membuat gambar, lukisan-lukisan, imej-imej.” (1976:29).

Tulisan Siti Zainon Ismail, “Tentang Sketsa-sketsa Dewan Sastera [1971 – 1975]” merupakan satu apresiasi pada Dewan Sastera yang “Selama lima tahun … telah memainkan peranan penting dalam melayan dunia pelukisan dengan menyediakan ruang khusus untuk karya ini (sketsa)” (1976:34). Sketsa bermaksud sketch dan menurut Siti Zainon, antara susuk terkenal yang sinonim dengan sketsa ialah Paul Cézanne, Vincent van Gogh, Henri Matisse, dan Picasso. Sketsa, kata Siti Zainon, “selain dapat dibuat dengan cepat daripada bahan yang sederhana, juga ia bisa mencapai nilai artistik” (1976:33). Siti Zainon juga menegaskan bahawa di Indonesia, sketsa ialah bahan pengajian awal calon-calon pelukis sebelum mula bermain dengan bahan (cat minyak atau arca). Sejak tahun 1971 hingga 1975, Dewan Sastera telah menerbitkan sejumlah 132 karya, dengan penyumbang terbanyaknya ialah Sulaiman Esa, diikuti dengan Hassan Majid, Piyadasa, Ismail Zain, A. Khalid Yusuf, Ghafar Ibrahim, Nana (dari Indonesia), dan beberapa pelukis muda, antaranya termasuk Mustafa Ibrahim, Zulkifli Dahlan dan Azmi Manaf.

Sebagai orang yang suka menulis esei, saya pastilah tertarik dengan esei Baha Zain bertajuk “Lima Tahun Dalam Esei dan Kritikan”, yang memulakan dengan “Ruang Dewan Sastera pada masa lalu telah menjadi bukan saja galeri tempat berkunjung tamu-tamu kenamaan, tetapi telah cukup besar hati membukakan tempatnya sebagai kaki lima lalu lintas berbagai jenis dan peringkat penulis” (1976:10) yang sekali lagi menggemakan apa yang Ketua Pengarah dan Sidang Pengarang aspirasikan, bahawa Dewan Sastera ialah medan menggali bakat-bakat baharu tanpa melupakan mutiara bakat lama, yang saya perhatikan merupakan antara hal yang masih berlangsung dalam penerbitan Dewan Sastera hari ini. Ada beberapa poin menarik daripada Baha Zain, antaranya adalah tentang bagaimana ruangan esei kepada sarjana-sarjana seperti Mohd, Taib Osman, Ismail Hussein, Muhammad Haji Salleh, dan ramai lagi ialah usaha yang baik kerana “membumikan” para sarjana dan tidak hanya berada di “kayangan” mahligai gading yang sukar dicapai oleh murbawan.

Sasterawan Siti Zainon Ismail mengimbas kembali lima tahun siaran sketsa para pelukis dalam Dewan Sastera.

Poin kedua adalah tentang minat yang berkelompok terhadap bahasa dan sastera Melayu yang menurut Baha Zain pada waktu itu, wacana tentang bahasa dan sastera tanah air masih lebih banyak diwacanakan oleh orang Melayu. Meskipun begitu, subjek ini turut mendapat perhatian peneliti dan penulis bukan Melayu, termasuklah Krishen Jit, Li Chuan Siu, Laurent Metzger, Bill Watson, Khoo Kay Kim, Harry Aveling, dan beberapa nama lain lagi. Poin Baha Zain seterusnya lebih menarik. Beliau menyeru agar: “Penulis Melayu perlu dari sekarang belajar berhadapan dengan segala macam pandangan luar dan dalam, Melayu atau bukan Melayu, dan melihat segala-galanya dengan fikiran terbuka tetapi kritis. Kita tidak usah sempit dan dihantui oleh berbagai fobia yang sengaja ditanamkan oleh peribadi-peribadi yang mempunyai kepentingan tertentu.” (1976:11).

Sangat progresif, bukan?

Poin seterusnya daripada Baha Zain adalah tentang kehadiran penulis-penulis yang bukan sasterawan dalam Dewan Sastera, yang menurut Baha Zain, “sekurang-kurangnya penulis dapat membandingkan diri dan kegiatan mereka dengan cabang seni yang lain” (1976:11) yang saya rasa amat penting supaya seni secara amnya di Malaysia tidak berkelompok-kelompok apatah lagi berkasta-kasta, selain meluaskan pandangan sarwa dengan medium dan pengalaman orang lain. Baha Zain menambah, “Alangkah lebih baiknya juga kiranya golongan penari, pemain muzik, ahli seni foto, dan ahli seni bina turut menggumuli pengalaman dan pengetahuan” dalam Dewan Sastera (1976:11).

Dalam esei itu juga, Baha Zain menegaskan bahawa tidak seperti tradisi esei Eropah yang sudah bermula sejak abad ke-16 lagi, tradisi prosa atau esei yang memuatkan ulasan, pendapat dan kritikan masih agaknya belum sampai seratus tahun di Malaysia, yang menyebabkan bentuknya masih dilihat kabur pada tahun-tahun itu, dengan tulisan-tulisan ilmiah yang analitis masih sukar dicari, sementara esei-esei yang imaginatif terus mendapat perhatian pada waktu itu. Begitu pun, Baha Zain juga sedar bahawa kritikan-kritikan yang terlalu serius (dan skema?) “hanya bercakap pada dunia yang amat kecil” (1976:14). Oleh itu, Baha Zain mencadangkan agar Dewan Sastera mengusahakan variasi bentuk esei, termasuklah esei peribadi atau informal yang memiliki gaya yang segar dan bebas daripada konvensi, di samping esei-esei yang ilmiah tersebut.

Dewan Sastera ialah medan menggali bakat-bakat baharu tanpa melupakan mutiara bakat lama, yang saya perhatikan merupakan antara hal yang masih berlangsung dalam penerbitan Dewan Sastera hari ini.

Apabila bercakap tentang esei ilmiah, antara esei yang paling menangkap sekali sudah tentu tulisan Prof. Dr. Mohd Taib Osman bertajuk “Tema antara Kaum dalam Cerpen Melayu semenjak Rusuhan 13 Mei: Satu Tinjauan Berdasarkan Cerpen-cerpen dalam Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu”. Taib Osman sengaja memilih tema “antara kaum” kerana hal itu merupakan ciri penting dalam kehidupan sehari-hari, malah hujah beliau juga, “Faktor yang paling penting dalam arena politik yang praktik di Malaysia semenjak ianya mencapai kemerdekaan ialah faktor perkauman” dan “ciri yang penting ini tentulah akan timbul juga dalam penyataan budaya (cultural expression) seperti kesusasteraan” (1976:42). Prof. Taib Osman menghujahkan bahawa “hasil-hasil kesusasteraan dikaji sebagai dokumen sosial untuk menerangkan satu-satu fenomena dalam masyarakat, kerana kesusasteraan bukan sahaja merupakan sebagai cermin masyarakat dalam cara hubungan langsung bahkan tidak langsung” (1976:42–43).

Sketsa Mazlan Noor (Along) tersisip dalam Dewan Sastera Januari 1976.

Kertas kerja Prof. Taib Osman itu mengehadkan kajian kesnya kepada tiga buah akhbar mingguan yang terkemuka dengan jangka waktu dari bulan Jun 1969 (kurang lebih sebulan selepas peristiwa 13 Mei) hingga Disember 1974 (lebih kurang selepas diadakan pilihan raya pada Ogos tahun itu), yang bermakna, jangka waktunya meliputi dua pilihan raya. Taib Osman menegaskan bahawa “Mungkin adanya kuat kuasa (terhadap ucapan dan pernyataan-pernyataan berkaitan dengan perkauman) ini menjadi satu faktor yang mempengaruhi bilangan cerpen yang membawa tema perhubungan antara kaum” (1976:43).

Di samping itu, Taib Osman juga berhujah bahawa “berbanding dengan genre-genre yang lain dalam kesusasteraan Melayu semasa, cerpenlah yang banyak kemungkinan sebagai bahan untuk mengkaji kesusasteraan dari segi masyarakat.” (1976:43). Berbanding puisi pula yang menurut beliau lebih kepada bersifat seni halus, tidak dapat digunakan sebagai data kajian bercorak kemanusiaan (walaupun saya secara peribadi kurang bersetuju apatah lagi kalau puisi-puisi ASAS 50 yang pekat naratif kemanusiaan dan kemasyarakatannya, boleh rujuk buku antologi Titian Zaman). Jumlah pengeluaran cerpen pula dalam lima tahun itu lebih banyak berbanding novel. Begitu pun, Prof. Taib menegaskan yang jumlah penerbitan cerpen bercorak hubungan antara kaum ini hanya enam peratus (atau 55 buah) daripada keseluruhan penerbitan.

Dalam kertas kerja ini, Prof. Mohd Taib Osman membahagikan cerpen-cerpen perhubungan antara kaum ini kepada dua tema: (1) mencerminkan kecemburuan antara kaum, khususnya terhadap orang-orang bukan Melayu yang tema ini hanyalah 1/3 daripada keseluruhan jumlah dan (2) menonjolkan keharmonian hubungan antara kaum atau cuba menggambarkan ketenangan hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang “kadang-kadang mirip pada propaganda” (1976:44) dan merupakan 2/3 daripada keseluruhan jumlah yang dikaji. Menurut Prof. Mohd Taib, kumpulan cerpen yang pertama, yakni mencerminkan kecemburuan antara kaum sebenarnya sering mudah terjerumus dalam paparan yang stereotaip terhadap kaum bukan Melayu, antaranya termasuklah cerpen Azizi Haji Abdullah berjudul “Baru Dia Mengerti” dan “Bangsa yang Sial” oleh S. Othman Kelantan.

Ada juga sebuah cerpen menarik yang dikenal pasti oleh Prof. Taib, iaitu cerpen yang ditulis oleh seorang penulis mualaf, Mohd. Ghazali Abdullah atau On Ah Guan yang sepertinya semacam pengalaman sendiri kerana nama watak dalam cerpen itu juga namanya, Ah Guan. Cerita tentang Ah Guan yang melihat temannya, Kadir, yang tak berpuasa pada bulan Ramadan sedangkan Kadirlah dahulu yang menggalakkan Ah Guan memeluk Islam. Arena Wati pula pernah menulis cerpen “Bangun Bersama Fajar” yang menggambarkan kehidupan muhibah para peniaga di Jalan Chow Kit yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Mohd Taib Osman juga menegaskan bahawa cerpen dengan unsur perkahwinan campur “tidak dapat menerangkan dengan mendalam keadaan hubungan antara kaum” (1976:47) Selepas banyak cerpen dengan tema hubungan antara kaum yang dilihat dari kanta kaum, cerpen Salamun Salama, “Punggungnya Dipukul Lagi” mengisahkan penindasan terhadap kaum buruh dalam kebun kelapa bali yang menggunakan kanta kelas dengan menunjukkan “golongan yang menindas tidak mengikut kaum, tetapi terletak pada kedudukan dan peranan seseorang” (1976:48). Kertas kerja itu akhirnya menutup dengan menegaskan bahawa meskipun hubungan antara kaum ialah titik ketegangan dalam masyarakat Malaysia, persoalan dan wacana tentang hal ini masih tidak mendapat perhatian yang setimpal.

Akhir sekali, Baha Zain dalam eseinya memetik kata-kata filsuf Søren Kierkegaard, “Life can be understood backwards; but it must be lived forwards”. Begitu jugalah nawaitu membelek dan mencatat apa-apa yang tercatat dalam majalah Dewan Sastera edisi Januari 1976 yang memicukan harapan dan pejam celik, kita sudah 50 tahun ke hadapan daripada “kapsul masa” tersebut. Dan pejam celik, nama-nama yang disebutkan di atas, ada yang sudah memegang gelar Sasterawan Negara, Seniman Negara, dan ada juga yang sudah kembali ke negeri abadi. Pokoknya, adakah kita sudah memiliki nama-nama pengganti yang setara dan juga memberikan peluang dan penghormatan yang setara kepada mereka? Semoga saja kita bergerak terus ke hadapan dan mencari suara-suara sastera yang membawa kita ke masa hadapan.

Beli majalah Dewan Sastera dalam bentuk digital dan bentuk bercetak.

_________________________

Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen. Kini, beliau berjinak-jinak dengan fotografi jalanan.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi