Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam kepantasan kemajuan teknologi kecerdasan buatan mempengaruhi cara manusia bekerja sekarang, Diviya Devaraj masih percaya bahawa membaca dan mencipta cerita masih penting dalam kehidupan manusia.
Namun begitu, di sebalik kecanggihan teknologi ini, manusia masih gemar mendengar cerita rakyat, membaca novel, menonton filem, dan berkongsi kisah kehidupan mereka.
Sejak manusia berkumpul mengelilingi unggun api untuk mendengar kisah tentang keberanian, pengorbanan dan cinta, cerita telah berakar kukuh dalam kehidupan manusia. Pada suatu ketika dahulu, cerita bukan sekadar hiburan, malah dianggap sebagai wadah yang menjelaskan asal usul manusia, masyarakat dan suku kaum tertentu.
Cerita-cerita tersebut diwariskan secara turun-temurun daripada satu generasi kepada generasi yang lain sehingga hari ini. Antara genre yang popular pada masa itu termasuklah mitos, legenda, hikayat, cerita dongeng, cerita jenaka, dan cerita binatang. Cerita-cerita ini menarik perhatian pendengar kerana jalan ceritanya yang unik, wataknya yang kreatif serta mesej yang mudah difahami, khususnya kanak-kanak.
Ramai dalam kalangan kita membesar dengan kisah Sang Kancil, sumpahan Mahsuri, Raja Bersiong, dan Hang Tuah yang terus hidup dalam ingatan masyarakat hingga kini. Dalam tradisi sastera India pula, masyarakat India membesar dengan mendengar kisah seperti Vikramaditya dan Vedalam, Silappatikaram, Ramayana, dan Mahabharata. Selain itu, Panchatantra juga merupakan himpunan cerita binatang klasik dari India yang menyampaikan nilai moral dan kebijaksanaan melalui kisah-kisah yang menarik, khususnya kepada kanak-kanak. Walaupun cerita lahir daripada latar budaya yang berbeza, karya-karya tersebut tetap diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain dan turut menjadi khazanah yang penting dan terus hidup dalam ingatan masyarakat.
Namun demikian, landskap penceritaan mula berubah dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini telah mengubah pelbagai aspek kehidupan manusia, termasuk bidang penulisan dan kesusasteraan. AI semakin canggih sehingga berupaya menjawab soalan yang kompleks, menterjemah pelbagai bahasa serta menghasilkan karya kreatif dalam tempoh yang singkat. Keupayaan tersebut turut menimbulkan persoalan tentang masa depan penulis dan kedudukan karya sastera yang dihasilkan oleh manusia.
Malah, AI juga mampu meniru gaya penulisan penulis terkenal dan menghasilkan karya yang kelihatan meyakinkan serta bernilai estetika. Sesetengah pihak berpendapat bahawa AI berpotensi menggugat kedudukan penulis kerana karya yang dihasilkan oleh manusia lazimnya memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan. Sebaliknya, AI hanya memerlukan beberapa minit untuk menghasilkan teks yang meniru gaya penulisan seseorang penulis. Namun begitu, di sebalik kecanggihan teknologi ini, manusia masih gemar mendengar cerita rakyat, membaca novel, menonton filem, dan berkongsi kisah kehidupan mereka. Hakikat ini menunjukkan bahawa cerita terus mempunyai tempat yang istimewa dalam kehidupan mereka. Walaupun teknologi ini mampu menyusun ribuan perkataan menjadi sebuah naratif dalam sekelip mata, manusia tetap mencari ruang untuk mendengar, membaca dan menghayati cerita. Persoalannya, mengapakah cerita masih diperlukan oleh manusia walaupun kecerdasan buatan mampu menghasilkan pelbagai karya dalam tempoh yang singkat?
Alasdair MacIntyre dalam After Virtue (1981) menyatakan bahawa “Manusia pada hakikatnya ialah makhluk pencerita, dan cerita yang dituturkannya sentiasa berusaha mendekati kebenaran.”
Sebelum wujudnya buku dan teknologi moden, cerita merupakan medium pendidikan yang penting untuk menyebarkan maklumat atau kesedaran kepada masyarakat. Masyarakat pada masa itu banyak belajar melalui cerita. Sama ada dalam bentuk hikayat, mitos ataupun dongeng, cerita-cerita ini disampaikan dan diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain secara lisan. Pencerita turut menggunakan gerak-geri serta ekspresi wajah bagi menghidupkan watak dan jalan cerita yang disampaikan. Melalui cerita, manusia mampu memahami diri sendiri dan dunia di sekeliling mereka.
Sejak dahulu, cerita menjadi wahana pembelajaran yang penting dalam kehidupan masyarakat. Cerita pada zaman dahulu berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan kesedaran, nilai murni, pengajaran hidup, dan adat masyarakat. Sebagai contoh kisah “Si Tanggang” mengajar masyarakat kepentingan menghormati dan menghargai jasa ibu bapa. Kisah “Bawang Merah dan Bawang Putih” pula menekankan nilai kebaikan, keikhlasan dan kejujuran. Dalam tradisi India pula, Panchatantra menggunakan watak-watak binatang sebagai wahana untuk menyampaikan kebijaksanaan, nilai moral dan kepimpinan kepada pembaca sejak usia kanak-kanak. Misalnya, kisah “Monyet dan Buaya” dalam Panchatantra menyemaikan nilai kebijaksanaan serta ketenangan ketika berhadapan cabaran dan sikap berhati-hati dalam memilih sahabat. Kisah “Burung Merpati dan Tikus” pula menonjolkan nilai persahabatan, kerjasama dan tolong-menolong.
Selain itu, cerita juga memudahkan manusia memahami pengalaman hidup. Pada zaman dahulu, bukan semua orang berpeluang mendapatkan pendidikan formal kerana kemiskinan dan pelbagai kekangan hidup. Oleh sebab itu, cerita menjadi medium yang lebih berkesan untuk menyampaikan pengajaran kepada masyarakat yang tidak mempunyai akses pada pendidikan formal. Para pencerita menggunakan teknik penyampaian yang kreatif untuk menarik perhatian pendengar. Jika sesuatu perkara disampaikan dalam bentuk fakta semata-mata, masyarakat mungkin mudah melupakannya. Apabila disampaikan melalui cerita, mesej tersebut lebih mudah diingati dan dekat di hati.
Selepas kemunculan buku, penulis pula mengarang cerita dengan menggunakan bahasa yang menarik dan berkesan sehingga pembaca dapat memahami emosi, seperti kegembiraan, kegelisahan, kesedihan, mahupun kemarahan. Cerita juga membantu manusia menyingkap makna yang tersembunyi di sebalik kehidupan mereka. Manusia bukan sekadar ingin mengetahui sesuatu perkara, malah mereka juga berusaha memahami mengapa sesuatu itu berlaku dan bagaimana hal itu berkaitan dengan kehidupan mereka. Oleh sebab itu, cerita terus memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia dan tidak mudah digantikan oleh teknologi kecerdasan buatan.
Persoalan maruah, kesetiaan dan keadilan sentiasa menjadi tema yang merentas budaya.
Di bumi ini, Tuhan mencipta manusia dengan pelbagai ragam dan sifat. Bersama-sama anugerah tersebut, manusia turut dikurniakan pelbagai emosi untuk dialami dan dirasai sepanjang kehidupan. Emosi merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang membentuk cara mereka berfikir, bertindak dan berhubungan dengan orang lain. Dalam konteks ini, cerita berperanan membina empati serta mewujudkan hubungan emosi yang tidak dapat dialami oleh AI. Manusia bukan sekadar mencari maklumat, malah mendambakan pengalaman yang mampu menyentuh hati dan menggerakkan jiwa. Apabila membaca, mendengar atau menonton sesebuah cerita, mereka akan turut merasai pelbagai emosi yang dipaparkan melalui watak-watak yang dicipta.
Sebagai contoh, kisah Puteri Gunung Ledang membolehkan pembaca menghayati emosi seperti cinta, pengorbanan dan tanggungjawab, manakala kisah Pak Pandir pula mencuit hati pembaca melalui sifatnya yang lurus bendul, di samping membangkitkan rasa simpati terhadap nasibnya yang sering diperdaya.
Dalam tradisi sastera India pula, kisah Raja Harischandra (Arichandran) mengisahkan seorang raja yang sanggup kehilangan takhta, harta dan keluarganya demi mempertahankan kejujuran serta maruahnya. Kisah tersebut membangkitkan rasa simpati dan kekaguman terhadap keteguhan prinsipnya, di samping mengangkat nilai kejujuran, pengorbanan dan integriti. Dalam Vikramaditya dan Vedalam pula menampilkan Raja Vikramaditya yang diuji oleh Vedalam, iaitu makhluk ghaib, melalui pelbagai cerita yang sarat dengan persoalan moral. Setiap kisah mengajak pembaca berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang adil serta menghayati nilai kebijaksanaan, keadilan dan kepimpinan.
Di samping itu, kisah Mahsuri membolehkan pembaca menyelami penderitaan seorang wanita yang menjadi mangsa fitnah dan ketidakadilan. Persoalan yang sama turut diketengahkan dalam epik Tamil Silappatikaram menerusi watak Kannagi yang mempertahankan maruah serta menuntut keadilan selepas suaminya dihukum tanpa kesalahan. Dalam epik Ramayana pula, watak Sita melambangkan kesetiaan dan maruah seorang wanita yang tetap teguh menghadapi pelbagai ujian demi mempertahankan kehormatan dirinya. Walaupun lahir daripada tradisi budaya yang berbeza, ketiga-tiga tokoh wanita ini memperlihatkan bahawa maruah, kesetiaan dan keadilan merupakan nilai kemanusiaan yang merentas zaman dan tamadun.
Menariknya, walaupun Mahsuri berasal daripada tradisi Melayu, manakala Kannagi dan Sita lahir daripada tradisi India, ketiga-tiga tokoh wanita ini memperlihatkan bahawa persoalan maruah, kesetiaan dan keadilan sentiasa menjadi tema yang merentas budaya. Hal ini menunjukkan bahawa cerita bukan sekadar mencerminkan identiti sesuatu masyarakat, malah merakamkan pengalaman kemanusiaan yang dikongsi oleh pelbagai tamadun.
Jika dilihat dari sudut kemampuan AI, teknologi ini sememangnya mampu menghasilkan cerita yang bertemakan kegembiraan, kesedihan dan cinta. Namun begitu, AI tidak mampu mengalami emosi sebagaimana yang dirasai oleh manusia. AI hanya mempelajari corak bahasa dan menghasilkan teks berdasarkan data yang diperoleh. Oleh itu, walaupun AI mampu meniru bahasa yang menggambarkan kasih sayang, kemarahan dan kesedihan, teknologi tersebut tidak benar-benar memahami pengalaman emosi itu sendiri. Justeru, unsur emosi dalam sesebuah cerita akan terus menjadi faktor penting yang menjadikan manusia memerlukan cerita walaupun dunia semakin dikuasai oleh teknologi yang canggih.
Lebih daripada sekadar hiburan, cerita juga berfungsi sebagai cerminan zaman dan suara masyarakat di samping menghubungkan generasi yang berbeza. Cerita merupakan denyut nadi masyarakat yang merakamkan aspirasi, keresahan dan pandangan hidup sesuatu zaman. Menerusi penceritaan, pelbagai isu semasa dan persoalan masyarakat diketengahkan untuk renungan khalayak. Sehingga hari ini, cerita masih digunakan dalam pelbagai medium komunikasi untuk menyampaikan mesej, mempengaruhi pemikiran serta menarik perhatian masyarakat. Naratif tersebut disampaikan secara kreatif bagi memikat perhatian dan mencetuskan pemikiran khalayak. Melalui cerita, pencerita menyelitkan nilai, cabaran dan pemikiran masyarakat bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan dalam kalangan pembaca atau pendengar.
Sebagai contoh, Hikayat Merong Mahawangsa sarat dengan nilai ketamadunan, identiti dan jati diri bangsa Melayu. Melalui hikayat tersebut, masyarakat Melayu digalakkan untuk mempertahankan identiti serta berbangga dengan warisan bangsa mereka. Begitu juga dalam tradisi sastera India, epik Ramayana dan Mahabharata bukan sekadar mengisahkan perjuangan antara kebaikan dengan kejahatan atau peperangan antara keluarga Pandava dan Kaurava, malah mencerminkan falsafah hidup, nilai dharma (kebenaran dan tanggungjawab), kepimpinan serta warisan budaya yang membentuk identiti masyarakat India sejak sekian lama. Walaupun lahir daripada latar budaya yang berbeza, ketiga-tiga karya tersebut berperanan memelihara warisan bangsa, memperkukuh jati diri masyarakat serta mewariskan nilai ketamadunan merentasi generasi.
Cerita juga berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu. Walaupun pada hari ini pelbagai cerita boleh dijana oleh AI, mendengar cerita daripada generasi terdahulu tetap mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Datuk dan nenek telah menempuh pelbagai cabaran serta pengalaman yang membentuk perjalanan hidup mereka. Oleh sebab itu, kisah yang dikongsikan oleh mereka sering meninggalkan kesan kerana lahir daripada pengalaman hidup yang autentik. Melalui penceritaan, hubungan antara datuk, nenek dengan cucu-cicit dapat diperkukuhkan. Ramai dalam kalangan kita pernah mendengar cerita daripada datuk dan nenek, sama ada ketika musim cuti sekolah mahupun sebagai nasihat untuk membentuk tingkah laku yang baik. Cerita berupaya menarik perhatian kanak-kanak dan orang dewasa, sekali gus mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.
Melalui proses tersebut, wujud interaksi dan perbualan yang mendorong generasi muda untuk mengenali serta memahami kehidupan generasi terdahulu, berbeza dengan situasi masa kini yang sering dipengaruhi oleh penggunaan gajet secara berlebihan. AI sememangnya mampu menghasilkan cerita dengan pantas serta meniru gaya penulisan berdasarkan data yang diberikan. Namun begitu, mampukah teknologi tersebut memainkan peranan yang sama dalam menghubungkan hubungan sesama manusia? Walau secanggih mana sekalipun, AI tetap berfungsi sebagai alat teknologi. Teknologi ini tidak mampu menyalurkan kasih sayang, keakraban dan sentuhan peribadi yang sering wujud dalam penceritaan manusia serta berjaya memikat perhatian pendengar.
Kesimpulannya, kecerdasan buatan sememangnya canggih dan telah membawa pelbagai perubahan dalam kehidupan manusia, terutamanya dalam bidang kesusasteraan dan penulisan. Namun begitu, cerita daripada pelbagai tamadun membuktikan bahawa walaupun manusia dipisahkan oleh bahasa, budaya dan geografi, mereka tetap berkongsi nilai kemanusiaan yang sama seperti kasih sayang, keadilan, pengorbanan, dan kebijaksanaan. Walaupun kecerdasan buatan mampu menjana jalan cerita yang meyakinkan, teknologi tersebut tidak pernah melalui pengalaman kehilangan, merasai kasih sayang, menghadapi ketidakadilan, atau memahami makna pengorbanan sebagaimana yang dialami oleh manusia.
Oleh itu, AI hanya mampu menghasilkan cerita berdasarkan corak data, tetapi tidak dapat menghayati pengalaman hidup yang melahirkan sesebuah cerita. Selagi manusia mempunyai pengalaman untuk dikongsi, kenangan untuk dikenang dan nilai untuk diwariskan, selagi itulah cerita akan terus hidup merentasi zaman, walaupun dunia semakin dikuasai oleh kecerdasan buatan.
_________________________
Diviya Devaraj merupakan bekas mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu. Beliau kini aktif menghasilkan penulisan kreatif dan esei untuk majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta berminat meneroka pelbagai hal dalam sastera, budaya dan warisan.