Diterbitkan pada 1 Jun 2026, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penerima SEA Write Award 2025, Puan Hafizah Iszahanid mendedahkan bahawa latar belakang pendidikannya dalam bidang seni halus membentuk dirinya sehingga hari ini untuk menjadi pengarang yang mempunyai identiti yang tersendiri.

Penerima SEA Write Award 2025, Puan Hafizah Iszahanid.

Menerusi program Bicara Tokoh Penerima SEA Write Award (Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung semalam di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, beliau berkongsi tentang prinsip kepengarangan yang dipegangnya selama ini, iaitu kebebasan mengekspresikan keindahan tanpa perlu terikat dengan jangkaan orang lain.

“Sejujurnya, saya menulis apa yang saya hendak tulis. Bagi saya, sastera ialah seni halus dan novel itu ialah kanvas.”

“Saya selalu dipesan oleh pensyarah saya dulu, seniman itu unik. Dia mesti ada identiti dia sendiri. Jadi, bila saya menulis pun, saya membawa prinsip itu,” ujar beliau.

Menurutnya, menghasilkan novel membolehkan khalayak pembaca menikmati dan mentafsirkan naskhah tersebut berdasarkan tahap pengetahuan dan pengalaman masing-masing.

​Beliau yang terkenal dengan karya Tabula Rasa (2021), Bukan Orangorang (2015) dan Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (2021), kini dalam proses menyiapkan novel terbaharu yang mula diusahakan sejak tahun 2021.

“Novel baharu ini agak lambat siap kerana saya mahu melarikan diri daripada tema politik. Saya mahu meneroka isu yang lebih marginal,”  tambahnya.

Ahli panel Bicara Tokoh Penerima SEA Write Award (Malaysia) Tahun 2025, penerima SEA Write Award 2019, YBrs. Dr. Shamsudin Othman.

Sementara itu, ahli panel, YBrs. Dr. Shamsudin Othman yang pernah menerima SEA Write Award pada tahun 2019, menyifatkan Hafizah sebagai penulis wanita luar biasa yang berjaya keluar daripada kepompong penulisan emansipasi wanita yang klise.

Beliau mengagumi kreativiti dan pemikiran Hafizah dalam novel Tabula Rasa tentang feudalisme dan pergolakan sistem monarki.

“Hafizah sudah mula melihat sistem monarki di negara kita ini sekarang akan berhadapan dengan satu masalah yang besar dan dia tulis dalam Tabula Rasa.”

“Tahun 2026, pergolakan itu berlaku dalam satu negeri yang kecil, iaitu Negeri Sembilan. Ada persamaanlah sedikit walaupun karakter yang berbeza,” jelasnya.

Ahli panel Bicara Tokoh Penerima SEA Write Award (Malaysia) Tahun 2025, penerima SEA Write Award 2020, Puan Aminah Mokhtar.

Panelis seterusnya, iaitu penerima SEA Write Award 2020, Puan Aminah Mokhtar menyifatkan Hafizah sebagai penulis wanita yang mewakili suara wanita zaman sekarang melalui novel Kuala Lumpur di Sebalik Bulan.

“Wanita sekarang ialah wanita yang sangat berpendidikan, pandai mendidik emosinya supaya tidak mengikut hasutan-hasutan yang tidak memberikan manfaat. Jadi, novel ini adalah tentang kehebatan wanita-wanita yang terluka,” ujarnya.

Bagi beliau, novel tersebut memperlihatkan Hafizah sebagai pengarang yang luar biasa.

“Penulis yang luar biasa memandang kehidupan, melihat segala yang ada penceritaannya dan mencipta watak-watak supaya keluarbiasaan ini dapat mendidik masyarakat untuk bangun menjadi manusia dan bangsa yang hebat,” jelasnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed ketika menyampaikan ucapan dalam program Bicara Tokoh Penerima SEA Write Award (Malaysia) Tahun 2025.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed dalam ucapannya pada awal program berkata, pengiktirafan SEA Write Award ini amat penting kerana membuktikan bahawa karya sastera Melayu mempunyai mutu, kekuatan dan nilai yang mampu berdiri di pentas antarabangsa.

“Pengiktirafan ini tentunya merupakan hasil daripada perjalanan panjang, ketekunan dan komitmen Hafizah dalam dunia kepengarangan tanah air,” ujarnya.

Program bicara tokoh anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP ini dikelolakan oleh Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara 2023, Encik Muhammad Lutfi Ishak, yang bertujuan untuk mendekatkan generasi muda dengan tokoh dan karya sastera Malaysia.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi