Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pelancaran antologi sajak Bahasa VII menjadi manifestasi penghargaan terhadap peranan sastera sebagai lambang penubuhan 70 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkaya khazanah kesusasteraan negara.
Majlis Pelancaran Buku Antologi Sajak Bahasa VII anjuran DBP dengan kerjasama Bahagian Buku Sastera ini diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), tengah hari tadi.
Buku Bahasa VII menghimpunkan tujuh penyair tersohor negara yang masing-masing membawa suara dan gaya tersendiri dalam mengungkapkan kecintaan terhadap bahasa Melayu.
Majlis pelancaran ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari yang menegaskan bahawa penghasilan karya sastera bukan sekadar manifestasi seni, tetapi merupakan rakaman pemikiran, pengalaman dan denyut rasa masyarakat yang membentuk jati diri bangsa.
“Penerbitan antologi ini melambangkan kesinambungan perjuangan DBP dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, budaya dan peradaban, selari dengan semangat tujuh dekad penubuhannya,” ujar beliau.
Menurut beliau, sajak sebagai medium ekspresi memiliki keupayaan unik untuk menyampaikan emosi dan gagasan secara halus dan mendalam, sekali gus mencerminkan cabaran dan harapan masyarakat dalam menjadikan sastera sebagai wadah untuk meningkatkan kesedaran serta merakam pelbagai realiti kehidupan yang berlaku dalam masyarakat.

Beliau menyifatkan para penyair sebagai “pahlawan bahasa” yang berperanan mengangkat martabat bahasa Melayu melalui karya yang dekat dengan kebenaran dan realiti kehidupan.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa kejayaan menerbitkan antologi ini dalam tempoh yang singkat turut membuktikan komitmen DBP dalam mempercepat proses penerbitan tanpa menjejaskan mutu, sekali gus memastikan karya berkualiti terus dihasilkan secara lebih dinamik.
Sementara itu, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa antologi ini menghimpunkan 70 buah sajak yang dihasilkan oleh tujuh penerima SEA Write Award dari Malaysia sebagai simbolik ulang tahun ke-70 DBP.
“Setiap penyair menyumbangkan 10 karya yang menampilkan kepelbagaian tema, gaya dan teknik penulisan, sekali gus memperlihatkan kekayaan dan keunikan sastera Melayu,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa penerbitan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan sastera sebagai warisan budaya, malah berpotensi menjadi bahan rujukan penting dalam bidang akademik.
Menurut beliau juga, DBP akan terus komited meneroka pendekatan baharu dalam penerbitan serta menyediakan ruang kepada penulis untuk terus berkarya secara kreatif, demi memastikan sastera dan bahasa Melayu terus berkembang serta dihargai oleh masyarakat.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Ja’afar Haji Hamdan dan editor buku antologi sajak Bahasa VII, Encik Zaen Kasturi.
Nota Editor: Antologi sajak ini boleh dibeli di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.