Diterbitkan pada 5 Mei 2026, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Cabaran halus menjadi satu elemen penting dalam sesebuah antologi bagi proses kematangan, kesedaran dan pengamatan untuk meningkatkan daya kreativiti seseorang penulis.

Sasterawan Negeri Kelantan YBhg. Rosli K. Matari memberitahu hal demikian kerana antologi sebenarnya secara tidak langsung memaksa penulis berhadapan dengan cermin yang sama sekali tidak dapat dielakkan.

Rosli K. Matari

“Dalam ruang tunggal (misalnya buku sendiri atau buku persendirian), penulis mungkin masih boleh mempertahankan ilusi bahawa karyanya sudah memadai.

“Tetapi dalam antologi, karya itu berdiri bersebelahan dengan suara lain. Perbandingan berlaku secara senyap.

“Di sinilah penulis mula menyedari adakah bahasanya benar-benar hidup, atau sekadar kebiasaan yang diulang,” katanya.

Beliau berkongsi hal demikian pada majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Hujan dan Daun di Halaman terbitan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Penulis Perlis (3P) yang berlangsung di Hotel Rayyan Sofea, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md. Nor dan turut dihadiri oleh Presiden PERADABAN, YBhg. Datuk A. Aziz Deraman.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, selain itu, cabaran halus juga berperanan membantu membina sifat kerendahan diri intelektual dalam kalangan penulis bahawa mereka sebenarnya memerlukan hubungan dan jaringan yang lebih meluas.

“Ada karya lain yang lebih matang, lebih berani, atau lebih jujur. Kesedaran ini penting untuk mengelakkan stagnasi, kerana rasa sudah cukup ialah musuh terbesar pertumbuhan kreativiti seseorang,” katanya.

Bahkan, katanya lagi, cabaran tersebut merupakan suatu wadah kesedaran bahawa sastera bukan tentang menjadi lebih baik daripada orang lain, tetapi menjadi lebih jujur terhadap diri sendiri, manakala antologi hanya sebagai suatu medan untuk proses tersebut.

“Yang bekerja sebenarnya ialah kesedaran penulis itu sendiri. Jika tiada cabaran ini, antologi hanya menjadi himpunan teks.

“Tetapi dengan adanya cabaran halus, berubah menjadi ruang pembentukan, iaitu penulis bukan sekadar diterbitkan, tetapi pada hakikat sebenarnya diam-diam dibentuk,” jelasnya.

Kredit Foto: Zanazanzaly
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi