Diterbitkan pada 17 Disember 2025, 09:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri mengulas puisi “Detik akan Melepaskanku Pergi” nukilan Rosli K. Matari.

Dalam sistem tanda puisi ini, noktah bukan penutup mutlak, tetapi bekas emosi yang masih mengalir …

Puisi “Detik Akan Melepaskanku Pergi” hadir sebagai sebuah teks yang kelihatan longgar, tetapi sebenarnya padat dengan sistem tanda yang bekerja secara terancang, seperti rumah lama yang nampak usang dari luar, namun sendinya masih kukuh menahan sejarah.

Dalam esei ini, saya akan cuba meneliti bagaimana tanda baca, penyimpangan morfologi dan leksikal melalui licentia poetica, serta penciptaan istilah baharu yang membina makna dalaman puisi. Seterusnya, penulisan ini akan cuba untuk memahami hubungan antara suara puitik penyair dengan pembaca, terutama pembaca yang mungkin masih “tersangkut” pada kebiasaan estetik lama, lalu gagal mendengar suara sebenar yang ingin diperdengarkan oleh penyair.

Dari sudut strukturalisme, puisi ini boleh dibaca sebagai jaringan tanda yang saling bergantung, bukan sebagai luahan emosi yang berdiri sendiri. Penggunaan tanda baca atau ketiadaannya menjadi sistem makna yang signifikan. Baris-baris panjang tanpa hentian konvensional meniru aliran kesedaran, seolah-olah waktu sendiri enggan berhenti. Frasa seperti “tak sempat pada tunggu lambai” dan “mendengar bisikmu, atau puisi yang terakhir kudengar” bergerak tanpa noktah penamat yang tegas, mencerminkan tema perpisahan yang (masih basah) tidak pernah benar-benar selesai.

Istilah “noktah basah” muncul sebagai tanda metalinguistik yang menarik. Noktah, secara struktural, menandakan pengakhiran, namun sifat “basah” mengalih fungsinya menjadi penangguhan emosi: air mata, hujan atau ingatan yang belum kering. Dalam sistem tanda puisi ini, noktah bukan penutup mutlak, tetapi bekas emosi yang masih mengalir. Dalam slanga urban, hal ini dipanggil sebagai tidak boleh, tidak mampu atau tidak mahu move on.

Penyimpangan morfologi dan leksikal dalam puisi ini tidak bersifat rawak. Penciptaan istilah seperti “ceghaca” dan “serbagala” merupakan contoh jelas licentia poetica (lesen putika atau lesen berkarya) yang berfungsi memperluas medan makna.

“Ceghaca” boleh dibaca sebagai gabungan “cerah” dengan “cuaca” yang digeser agar bunyinya menimbulkan sensasi pada pendengaran dan misteri pada penglihatan. Istilah ini juga boleh jadi ada makna lain yang terbatas daripada pengetahuan kita dan ingin disamarkan oleh penyair. Maka, hal ini menjadi tanda hibrid, sejajar dengan dunia sastera kini yang tidak lagi hitam-putih.

“Serbagala” pula mengandungi gema “serba” dan “segala”, menjadikannya simbol penekanan terhadap kerencaman atau kerenyahan, kerana andai ditulis unit kata secara sendiri-sendiri – “serba segala” akan terbaca lewah. Maka, penyair gabungkan dua kata tersebut sebagai penekanan (stressing the points), sekali gus mengelakkan kelewahan. Istilah ini juga boleh jadi ada makna lain yang terbatas daripada pengetahuan kita dan ingin disamarkan oleh penyair. Dalam struktur puisi, istilah ini tidak memerlukan definisi kamus (walaupun kita semua sudah berkerut dahi membelek kamus) kerana maknanya dibina melalui jaringan tanda lain serta kewenangan penyair memakai licentia poetica. Pembaca perlulah berunding dengan teks, bukan bergantung pada autoriti leksikon ataupun autoriti polis sastera lantikan sendiri!

Kata arkaik ‘berai’ turut berperanan penting. Selain menunjukkan kreativiti penyair yang sering berusaha keras agar tidak terjerumus ke lubang klise, kata ini menandakan perpecahan/perpisahan yang lembut, tidak mengejut, selari dengan hujan dan ingatan. Dari sudut struktural, berai menjadi penyerap hentak atau “kusyen” makna pada “cerai berai” lalu membentuk perpisahan yang tidak begitu berimpak kejam, memukul dan memusnahkan perasaan.

Strukturalisme juga menekankan hubungan sintaks, cara kata disusun untuk menghasilkan makna baharu. Gandingan “tunggu lambai” misalnya, mengganggu kebiasaan bahasa. “Menunggu” lazimnya pasif, “melambai” aktif. Apabila digandingkan, hal ini menjadi simbol perpisahan yang sengaja dilambatkan. Gerak yang tertangguh antara niat dengan realiti. Begitu juga “noktah basah, yang menggabungkan tanda logik dengan emosi, rasional dengan afektif.

Rentetan citra seperti “porselin dan kandeliar”, “debu, abu” dan “mawar merah” membentuk medan tanda antara rapuh (fragile) dengan indah. Dalam struktur puisi, keindahan tidak pernah bebas daripada kehancuran. Keindahan akan sentiasa lahir semula daripada kemusnahan sebagai cenderawasih, sama ada pada puisi sama atau puisi-puisi seterusnya. Demikianlah puisi yang “hidup” sebagai nuansa penyairnya yang merupakan manusia biasa yang tidak terlepas daripada asam garam dan pahit manis kehidupan manusiawi.

Melalui teori respons pembaca, makna puisi ini tidak selesai pada teks semata-mata, tetapi dilengkapkan oleh pembaca. Penyair tampak sedar akan kemungkinan pembaca yang gagal mengapresiasi stilistiknya, lalu puisi ini menjadi semacam dialog sunyi. Baris “aku telah menulis serba tegun, pegun, taakul” boleh dibaca sebagai refleksi proses kreatif: menulis dalam pelbagai keadaan: beku emosi, terperangkap dalam klise dan penuh kesedaran untuk membuat pertimbangan akal serta logika. Sebagai pengarang, penyair juga sudah begitu lama bermain di padang puisi yang luas dan mencabar.

Pembaca yang mengharapkan puisi romantik yang lurus mungkin terasa terasing; namun pembaca yang bersedia “membaca tanda” akan menemukan suara puitik yang jujur: suara yang tidak merayu untuk difahami, tetapi tetap membuka ruang tafsir. Di sinilah hubungan penyair-pembaca diuji: bukan soal suka atau tidak, tetapi kesanggupan untuk mendengar.

Sebagai teks puisi, “Detik Akan Melepaskanku Pergi” berfungsi seperti peta tanda yang kompleks. Melalui pendekatan strukturalisme, kita melihat bagaimana tanda baca, penyimpangan bahasa dan penciptaan istilah baharu membina makna secara sistemik. Melalui respons pembaca, kita memahami bahawa puisi ini juga merupakan proses komunikasi yang tidak selalu berjaya dan hal itu tidak mengapa. Dalam gaya liris tetapi kritis, puisi ini mengingatkan kita: tidak semua suara puitik mahu difahami sepenuhnya. Puisi ini tentang keberanian untuk melepaskan makna kepada pembaca, walau apa-apa pun hasilnya. Inilah keberanian seorang penyair yang sudah begitu lama bermain di padang puisi yang luas saujana mata memandang.

_________________________

Ibnu Din Assingkiri merupakan nama pena Sanusi bin Din. Beliau lahir di Kedah dan menetap di Pulau Pinang. Beliau aktif menulis sejak tahun 2010. Ibnu Din telah menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen serta berpuluh antologi pelbagai genre di Malaysia dan Indonesia. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa. Beliau sudah menerima empat hadiah sastera negeri, tiga di Pulau Pinang (2023, 2025) dan satu di Kedah (2022) dalam kategori buku puisi, puisi eceran dan cerpen eceran.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi