Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang/i/
tengkujuh datang seperti tukang yang memegang paku dari bilah hujan, mengetuk-ngetuk bumbung fikirku dengan irama ngeri yang tidak pernah kudengari di mana-mana pun. langit menjadi naskhah basah; setiap titis adalah huruf yang gugur dari rusuk awan, menyebut namaku dengan bahasa yang berbeza-beza. aku berjalan di antara lopak-lopak cermin, melihat wajahku pecah menjadi seribu ikan koi kecil yang berenang di halaman. dalam derasnya hujan, aku belajar bahawa hidup ini bukan tentang kenyamanan semata-mata, tetapi tentang keberanian untuk menyatu dengan amukan alam.
/ii/
kemarau pula hadir bersama angin kering yang meniupkan debu ke dalam panci harapan. matahari enggan mengerdip; waktu menjadi kering dan rapuh. daun-daun mengutus desis perpisahan kepada ranting, dan kita membaca kehilangan sebagai upaya terakhir untuk menghargai sesuatu. di retak bumi, kita mendengar denyut perlahan yang tak ingin berhenti. kemarau mengajar bahawa kehausan ialah rasa paling jujur. ia melorotkan busana kesombongan, memaksa ego merendah kerana mengharap belas langit menurunkan hujan.
/iii/
antara tengkujuh dan kemarau, manusia ialah jedanya. kadang-kadang kita adalah hujan yang membanjiri rawa sabar; kadang-kadang kita adalah matahari yang merekahkan petak pasrah. tujuan hidup bukan lagi mencari cuaca yang sempurna, tetapi kesanggupan untuk menjadi ladang: menerima badai sebagai tenggala, menerima kekeringan sebagai tebus guna. jika esok awan menjirus hujan atau matahari kembali memeras terik, tahulah kita bahawa hujan atau kemarau hanyalah cara semesta mengajar kita bersabar dengan isyarat yang berbeza.
Bukit Mertajam, Pulau Pinang
23 Mei 2026