Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Pelancaran buku antologi sajak Bahasa VII terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, bukan sekadar meraikan penerbitan karya baharu, malah menjadi medan penting dalam memperlihatkan peranan sastera sebagai saksi pada perjalanan dan pergolakan bahasa Melayu sepanjang 70 tahun penubuhan DBP.
Majlis pelancaran buku tersebut menyaksikan editor buku Bahasa VII, Zaen Kasturi dalam ucapan sekapur sirihnya menegaskan bahawa setiap sajak yang terkandung dalam buku tersebut bukan hanya himpunan sajak semata-mata, tetapi merupakan kesaksian para penyair terhadap dinamika bahasa yang sentiasa berubah mengikut zaman.
Antologi ini mengumpulkan 70 buah sajak hasil nukilan tujuh orang penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award, sekali gus melambangkan kesinambungan tradisi sastera dalam konteks ulang tahun ke-70 DBP.
Ketujuh-tujuh penulis Bahasa VII adalah seperti yang berikut:

Menurut beliau, setiap penyair dalam antologi ini membawa sudut pandang yang berbeza terhadap bahasa Melayu, iaitu dipengaruhi oleh latar generasi masing-masing.
“Ada daripada mereka yang melihat bahasa sebagai medan perjuangan pascamerdeka, manakala generasi baharu pula menganggap bahasa sebagai kerangka semasa yang lebih kompleks.”
Kepelbagaian perspektif ini menjadikan antologi tersebut sebagai refleksi yang berlapis terhadap realiti bahasa dalam masyarakat.
Beliau turut menggambarkan bahasa sebagai entiti yang tidak statik, sebaliknya berdepan dengan pelbagai cabaran dan gelombang yang menguji ketahanannya.
“Melalui sastera, para penyair berperanan sebagai pemerhati dan perakam perubahan ini, sekali gus memastikan nilai dan roh bahasa terus dipelihara,” ujar beliau.
Yang turut hadir termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan; dan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Ja’afar Haji Hamdan.
Nota Editor: Antologi sajak ini boleh dibeli di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.