Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Golongan penulis diseru memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan mengangkat pemikiran membina yang memberikan manfaat kepada masyarakat, selaras dengan fungsi seni sebagai wahana untuk membentuk nilai dan kesedaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor menyatakan bahawa penulis sebagai golongan intelektual perlu memastikan karya yang dihasilkan mempunyai misi yang jelas serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Tulislah dengan penuh kesenian untuk masyarakat. Barulah ada misi,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Hujan dan Daun di Halaman, terbitan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Penulis Perlis (3P), hari ini.
Beliau turut menegaskan isu kurang membaca dalam kalangan masyarakat sebagai cabaran kritikal yang perlu ditangani segera kerana isu ini boleh menjejaskan kefahaman masyarakat terhadap warisan ilmu dan kearifan tempatan.
Menurut beliau, kelemahan tersebut menyebabkan banyak khazanah Melayu dan peradaban Islam dari alam Melayu serta Andalusia tidak dikenali, malah kepemilikannya telah diakui oleh pihak lain.
“Pengamal plagiat terbesar ialah bangsa Eropah. Akan tetapi, oleh sebab kita sendiri tidak mengetahui bahawa nenek moyang kita sebenarnya golongan cerdik pandai, jadi kita tidak ambil cakna. Sedangkan asal usul kita sangat mustahak.
“Bangkit asal contohnya, dalam tradisi lisan bertujuan sebagai motivasi pemugar semangat.
“Segala gerak-geri kita, hatta hendak bergaduh pun ada nilai seninya. Perkara yang kita hendak buat, dilakukan dengan baik agar seteru tidak terasa hati,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyambut baik cadangan Presiden Peradaban, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman untuk mewujudkan pengiktirafan tetap kepada sasterawan dan budayawan, berbanding dengan pendekatan ad hoc sebelum ini.
“Usul tersebut disambut baik dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan. Tokoh yang wajar akan dipilih atas sumbangan mereka.
“Saya mengharapkan bantuan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menghidupkan kegiatan sastera budaya di Kelantan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru persatuan sejarah agar mengambil langkah proaktif untuk menjadi ahli Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) bagi memperkasakan usaha pendokumentasian sejarah negeri.
“Setiap sesuatu ada sejarahnya, namun sayangnya kita tiada badan khas untuk mengumpul dan menulis sejarah yang lengkap,” katanya.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut penting bagi memartabatkan warisan intelektual serta memperkukuh identiti budaya negeri secara lestari.