Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Bahasa dan persuratan Islam Nusantara bukan sekadar sejarah tulisan dan karya, tetapi merupakan jiwa peradaban Melayu yang menghubungkan agama, budaya dan ilmu dalam satu kerangka yang membentuk identiti jati diri umat di rantau ini.
Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman berkata, pengkajian dan pemuliharaan warisan persuratan Islam perlu diteruskan agar bahasa dan budaya Nusantara terus hidup segar dalam arus globalisasi dan cabaran teknologi moden.
“Bahasa Melayu dan persuratan Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran arus globalisasi yang tidak seharusnya melalaikan umat Melayu Nusantara, sehingga hanyut ke samudera peradaban asing dan dilambung gelombangnya.
“Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang besar dengan ratusan juta penuturnya, ialah salah satu bahasa agama Islam, yang perlu diutuhkan kedudukannya di lidah umat rumpun Melayu sendiri selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Simposium Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara 2025 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kelantan, pagi tadi.
Simposium tersebut dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, YBhg. Dato’ Mohd. Anis Hussein.
A. Aziz Deraman berkata, bahasa Melayu perlu didorong menjadi salah satu bahasa komunikasi dunia dengan gerakan penyebarluasan persuratan bangsa serumpunnya.
“Pada fikiran saya, jika kita benar-benar ingin membina masa depan yang kukuh dan gemilang, maka kita tidak sepatutnya hanya berbangga dengan warisan zaman lampau kita, tetapi wajib menyambungnya dengan nafas baharu,” jelasnya.
Tambahnya, bahasa Melayu dan persuratan Islam wajar diperkasakan sebagai bahasa ilmu dan wacana bagi memastikan pencapaian atau kemurniannya kekal lestari sepanjang zaman.
Katanya lagi, agenda mengangkat dan memartabatkan semula kehebatan Nusantara, salah satunya adalah dengan membina kekuatan bahasa, persuratan dan pengukuhan budaya ilmu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sudah tiba masanya satu persidangan besar tentang bahasa Melayu di Asia Tenggara diadakan atas nama “Kongres Bahasa Melayu Se-Asia Tenggara” atau “Kongres Bahasa dan Persuratan Islam Nusantara” yang lebih besar daripada sebuah simposium.
“Jika kita mahu melihat masa depan umat yang teguh, kita patut berpatah balik menyemarakkan bahasa dan pesuratan ini.
“Dengan cinta, dengan usaha, dan dengan kesedaran bahawa tanpa bahasa dan persuratan, peradaban bangsa akan kehilangan rohnya.
“Bahasa dan persuratan Islam Nusantara ialah jiwa peradaban kita, sekali gus menyatukan umat, memperhalus budi dan menegakkan maruah bangsa,” jelasnya.