Diterbitkan pada 23 Jun 2025, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa (MBJB) telah menyerlahkan semangat cintakan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat apabila berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Bandaraya Kota Bharu, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program anjuran DBP Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dan KB Buskers itu membawa tema “Obor Semangat Nan Abadi”, menggambarkan keteguhan peranan DBP dalam memperkasa bahasa kebangsaan sejak penubuhannya.

Majlis dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Haji Mohd Hariff Ghazali, yang mewakili YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Haji Mohd Hariff Ghazali ketika menyampaikan ucapan perasmiannya di Dataran Bandaraya Kota Bharu.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa MBJB bukan sekadar persembahan seni, malah menjadi manifestasi perjuangan bahasa yang digalas oleh  DBP.

“Penubuhan DBP mendahului kemerdekaan negara. Ini membuktikan betapa pentingnya peranan institusi ini dalam menjulang bahasa Melayu. Kerajaan Negeri Kelantan akan terus menyokong usaha DBP memperkasa bahasa dan sastera negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail menekankan bahawa MBJB ialah medium ekspresi seni yang mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa, bahasa ilmu dan bahasa penyatu masyarakat.

“DBP sentiasa komited dalam memartabatkan bahasa merentas pendidikan, seni dan budaya,” ujarnya sebelum mendeklamasikan sajak “Pengemudi Watan” karya YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan.

Acara dimulakan dengan persembahan dikir barat oleh Kumpulan Sirat Maharaja, diikuti dengan persembahan deklamasi sajak penuh semangat bertajuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Obor Nyalamu Abadi oleh deklamator kebangsaan, Maroof Seman. Sajak itu memuatkan bait-bait yang mengangkat peranan DBP dalam membentuk jati diri bangsa.

Antara persembahan lain yang mencuri perhatian termasuklah deklamasi sajak oleh adik Chua Boon Peow, Nurul Aimy Insyirah, Abdul Hadi Yusoff, dan Firdaus Putra yang turut menyampaikan lagu puisi.

Persembahan turut dimeriahkan oleh Arjuna Buskers, Megat Haikal dengan lagu daerah, serta persembahan wayang kulit oleh Kumpulan Takisan Mas Merah yang mengangkat isu bahasa dan DBP.

Kemuncak malam dihiasi dengan telatah Sabri Yunus selaku pengacara, yang turut mendeklamasikan sajak seloka dialek Kelantan ciptaannya sendiri bertajuk Alkisah Mat Seman dan Mek Nab, menghiburkan lebih daripada 600 hadirin.

Artis tempatan terkenal yang juga Duta Anak Seni Kelantan 2022, Sabri Yunus memeriahkan MBJB sebagai pengacara majlis.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah mantan Ketua Pengarah DBP dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman; Naib Yang Dipertua MKNK, YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, YBrs. Dr. Haji Ahamad Rahim; serta barisan penulis dan tokoh budaya tempatan.

Kredit Foto: Mohd Zulkarnain Jamaludin Ansor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi