Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Apabila menyebut nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka, bayangan yang sering hadir dalam benak masyarakat Nusantara ialah kehebatan naskhah Tafsir al-Azhar dan novel malar segar Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Namun, di sebalik jubah ulama dan karya sasteranya, Hamka memegang pesona intelektual yang jauh lebih rencam.
Mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Tuan Nordin Tuan Kechik memperincikan figura pelbagai dimensi itu dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk “Hamka: Antara Ahli Falsafah, Penulis, Wartawan dan Ahli Politik” bersempena dengan Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 2026 di Gelanggang Seni, Kota Bharu, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan peranan Hamka dalam dunia persuratan bukanlah sekadar menghiburkan pembaca. Dengan rekod penulisan yang mencecah lebih daripada 100 buah buku, karya-karya epik Hamka seperti Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli sebenarnya sarat dengan kritikan sosial.
“Melalui pena, Hamka mengkritik keras amalan adat resam yang membelenggu masyarakat, selain lantang memperjuangkan hak kaum wanita dan keserataan manusia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kecerdasan akal budi tokoh tersebut turut disalurkan menerusi bidang kewartawanan melalui penerbitan majalah berpengaruh seperti Pedoman Masyarakat dan Gema Islam.
“Hamka menjadikan persuratkhabaran sebagai senjata yang ampuh untuk meniupkan kesedaran nasional dan merintis semangat antipenjajahan,” katanya.
Dr. Nordin turut mengulas kejayaan Hamka dalam mentransformasikan konsep tasawuf tradisional yang sering dikaitkan dengan pengasingan diri daripada hal duniawi kepada satu gagasan yang disebut sebagai Tasawuf Moden.
“Falsafah kebahagiaan bagi Hamka tidak terletak pada timbunan harta atau takhta, tetapi bertunjangkan ketenangan jiwa dan kemerdekaan akal,” ujar beliau.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan pada kaca mata Hamka bermatlamat untuk “memanusiakan manusia”, iaitu sebuah proses bagi menyelaraskan kecerdasan minda dengan kekuatan akidah yang utuh.
Dalam masa yang sama, beliau menyingkap pelibatan Hamka dalam arena politik yang bermula seawal usia 17 tahun, sebelum ilmuwan tersebut bergerak aktif mewakili Parti Majelis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI).
“Menceburi bidang politik bukanlah kerana beliau dahagakan kekuasaan dan mahu memegang tampuk pemerintahan. Bagi Hamka, politik adalah satu ruang kesedaran untuk menyuntik nilai-nilai keagamaan ke dalam struktur pentadbiran negara,” jelas beliau.
Penganjuran Kolokium Tokoh-Tokoh Ketamadunan Islam 2026 yang memasuki kali ketiga sejak tahun 2024 merupakan anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan melalui kerjasama strategik bersama-sama Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.