Diterbitkan pada 22 September 2025, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penganjuran Festival Puisi Malaysia (FPM) 2025 buat kali kedua pada 19 dan 20 September 2025 lalu di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) bukan sekadar perhimpunan sastera tetapi juga satu usaha besar untuk memupuk perpaduan dan memelihara budaya bangsa melalui medium puisi tradisional dan moden.

Kolaborasi erat antara Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan IPGKKB menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong aspirasi tersebut.

Ketua 1 GEMA, YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa FPM 2025 bertujuan untuk menjadikan kesusasteraan sebagai ejen perpaduan kaum dan platform untuk pemupukan nilai yang mampu membina perpaduan.

“FPM 2025 adalah satu kejayaan besar, bukan sahaja berjaya mengumpulkan penggiat sastera tetapi juga menyebarkan mesej perpaduan yang amat penting. Hal tersebut membuktikan bahawa dengan visi yang jelas, kita mampu mengangkat martabat puisi dan menjadikannya alat yang ampuh untuk membina Malaysia yang lebih bersatu dan berbudaya,” ujarnya.

FPM 2025 yang mengangkat tema “Aspirasi dan Lestari: Sastera, Seni Budaya Negara” dirasmikan oleh Pengarah JKKN Kelantan, YBrs. Puan Rohaniza binti Abdullah mewakili Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, MOTAC, YBrs. Encik Wan Ashbi @ Wan Maheran bin Leman.

Dalam masa yang sama, beliau turut melancarkan buku antologi puisi berjudul Matahari Memadam Gelap (2025) terbitan GEMA yang memuatkan karya penulis tempatan dan antarabangsa.

Selama dua hari, festival dimeriahkan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan gabungan pelbagai kaum, sesi deklamasi puisi oleh mantan Ketua Pengarah DBP yang juga Tokoh Budayawan Sepanjang Zaman, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman dan deklamator kebangsaan serta sesi pembentangan makalah oleh ahli akademik tempatan dan antarabangsa yang membincangkan peranan sastera dalam memelihara identiti bangsa.

Persembahan dendangan puisi tradisional oleh generasi muda menjadi penyeri dalam acara penutup FPM 2025 yang disempurnakan oleh Pengarah IPGKKB, YBrs. Dr. Hajah Narita Mohd Noor.

Kredit Foto: Mohamad Hazlin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi