Diterbitkan pada 19 Januari 2026, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Penulisan sajak merupakan suatu proses kreatif yang bukan semata-mata bersandarkan luahan emosi, tetapi perlu dibina dengan kawalan bahasa dan kesedaran makna yang mendalam.

Penyair dan penulis Nimoiz T.Y berkata, selain itu, proses tersebut juga menuntut pada kesedaran, penelitian dan keberanian bagi memastikan keberkesanan sesebuah karya yang dihasilkan.

“Menulis sajak bukan sekadar meluahkan rasa, tetapi satu proses menyusun kata secara sedar.

“Setiap baris perlu mempunyai fungsi, sama ada untuk membina imej, menggerakkan makna atau menyokong keseluruhan gagasan sajak.

“Apabila penulis sedar akan peranan setiap perkataan, sajak itu akan menjadi lebih kemas dan bermutu,” katanya ketika mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2026 yang diadakan secara dalam talian.

Bengkel anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) itu akan diadakan sebanyak lapan siri bermula 16 Januari hingga 7 Februari 2026.

Selain puisi, bengkel-bengkel lain turut diadakan menerusi siri tersebut ialah rencana, kritikan sastera dan cerpen dengan melibatkan beberapa fasilitator berpengalaman dalam bidang berkaitan.

Bengkel tersebut akan berlangsung pada hari Jumaat dan Sabtu dalam tempoh berkenaan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Bagi sesi pertama, Nimoiz T.Y. memfokuskan pada penguasaan asas penciptaan sajak bagi memahami struktur puisi, pembinaan tema dan persoalan, pemilihan diksi yang tepat, pembentukan imejan serta pengolahan makna tersurat dan tersirat.

Beliau turut mendedahkan kepentingan unsur bunyi, gaya bahasa dan keseragaman teknikal dalam memastikan sajak yang dihasilkan nampak lebih rapi, berfokus serta berupaya menyampaikan makna secara berkesan.

“Sajak yang baik lahir daripada kefahaman terhadap struktur, imejan dan makna. Penulis perlu tahu apa yang hendak disampaikan dan bagaimana hendak menyampaikannya.

“Tanpa kesedaran ini, sajak mudah menjadi longgar, berlebihan dan gagal membina kesan yang mendalam kepada pembaca,” jelasnya.

Tambahnya, penguasaan asas penulisan sajak amat penting bagi mengelakkan kecenderungan menggunakan ungkapan klise, imej yang bercampur aduk atau metafora yang tidak berakar pada pengalaman dan pemikiran yang jelas.

Kredit Foto: Nimoiz T.Y
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi