Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Nimoiz T.Y. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 07/2026. Cari dan telaah buku pilihannya serta selami pengalaman bacaannya.
Buku yang dibaca sekarang | Ketika ini, saya sedang membaca Atma Berdaulat. Buku ini merupakan Antologi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan terbitan GAPENA (2026). Saya memilih antologi ini kerana kita semakin menghampiri bulan Ogos. Saya ingin menghayati lebih awal roh kemerdekaan dan semangat patriotisme melalui karya sastera. Pada masa ini juga, saya sedang membaca buku Horizon Kreativiti dalam Penulisan Fiksyen (UTM Press, 2026) karya Zulkifli Khair. Buku ini istimewa kerana penulisnya ialah guru penulisan saya ketika saya menuntut di Universiti Teknologi Malaysia.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Sehingga hari ini, buku yang paling dekat di hati saya ialah Suatu Subuh yang Bening, diselenggarakan oleh Othman Puteh dan Ramli Isin. Seperti yang pernah saya tegaskan dalam Dewan Sastera Bil. 07/2026, antologi ini mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan kepengarangan saya. Cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi ini memperkenalkan saya pada kepelbagaian gaya penulis, teknik dan pemikiran dalam sastera Melayu pada peringkat awal. Sehingga kini pun, saya masih mengulang baca kerana sengaja ingin bernostalgia.

Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Sebenarnya, banyak buku yang membentuk perjalanan kepengarangan saya. Namun, dalam ruangan yang terhad ini, saya memilih Bulan Merah di Tiga Kuala karya Zahari Affandi. Novel ini membuka pandangan saya terhadap kekuatan bahasa, latar tempatan dan nilai kemanusiaan dalam karya kreatif. Sejak membacanya, saya semakin yakin bahawa penulisan bukan sekadar bercerita, tetapi merakam kehidupan dengan jujur dan berkesan. Satu lagi yang perlu saya sebut ialah Senjakala karya Baharudin Kahar. Saya suka cereka yang berlatar belakang suasana desa atau kampung. Ada beberapa buku lagi. Tapi saya tak ingat judul. Terbitan Creative Enterprise era 90-an.

Buku yang perlu dibaca oleh penulis | Pada pandangan saya, penulis perlu membaca karya-karya besar seperti Tulang-tulang Berserakan, Salina, Ranjau Sepanjang Jalan, Imam, Seorang Tua di Kaki Gunung, dan Penyeberang Sempadan. Pada masa yang sama, penulis juga perlu membaca buku sejarah, falsafah, agama, sains, dan budaya kerana keluasan ilmu akan memperkaya karya.

Buku bacaan kanak-kanak | Saya membesar dengan siri buku Kenari dan karya-karya Enid Blyton, Nancy Drew dan Hardy Boys. Bagi buku tempatan pula, saya mungkin sudah terlupa judulnya, tetapi masih mengingati nama penulis seperti Othman Puteh, Mohd. Ismail Sarbini, Dzul Karnain Ithnain, dan ramai lagi. Saya juga gemar membaca majalah Roda-roda yang dibeli oleh ayah. Ayah saya peminat motosikal dan pernah memiliki Yamaha RX-Z. Daripada majalah itulah minat membaca saya berkembang sebelum akhirnya membawa saya mencintai buku dan dunia penulisan.

Rancangan bacaan | Masih banyak buku yang menunggu giliran di rak. Saya ingin kembali menyelami karya klasik Melayu, manuskrip lama, falsafah Timur dan Barat, sejarah, tamadun serta biografi tokoh. Saya percaya semakin banyak membaca, semakin banyak yang perlu dipelajari. Malah, semakin banyak ruang untuk memperbaiki mutu penulisan. Oh ya, dalam umur sekarang, saya juga perlu banyakkan membaca buku-buku agama.
Beli buku tulisan sendiri | Sudah semestinya. Saya membeli buku tulisan sendiri sebagai tanda menghargai proses kreatif yang dilalui. Ada yang saya jual semula. Ada yang saya jadikan hadiah kepada peserta yang menjawab soalan ketika saya mengendalikan bengkel penulisan.

Suasana ideal membaca | Sebenarnya, soalan yang lebih tepat bagi saya ialah suasana ideal menulis. Apabila saya menulis, membaca berlaku secara semula jadi. Saya akan membuka buku, menyemak fakta, mencari rujukan atau mengulang petikan yang pernah saya tandakan. Sebaliknya, apabila saya sekadar membaca, saya tidak semestinya menulis. Bagi saya, membaca dan menulis ialah dua kegiatan yang saling melengkapi. Saya lebih selesa menulis dalam suasana yang tenang, ditemani secawan teh O nipis. Sama ada pada awal pagi atau lewat malam. Pada waktu-waktu itulah idea lebih mudah hadir. Dan buku-buku di sekeliling menjadi teman yang sentiasa menghidupkan proses berkarya.

Rak buku atau pustaka? | Rak buku. Saya mempunyai rak buku di rumah dan pejabat di Ipoh, Perak. Saya juga mempunyai rak buku di kampung (Tanah Merah, Kelantan). Setiap rak mempunyai cerita dan fungsinya yang tersendiri. Ada yang dipenuhi buku rujukan untuk mengajar. Ada yang menjadi teman ketika berkarya. Ada sekadar koleksi sejak zaman belajar lagi. Bagi saya, rak buku bukan sekadar tempat menyusun naskhah, tetapi cerminan perjalanan sebagai pembaca dan penulis. Oh ya, kadang-kadang saya tidak membaca pun. Hanya sekadar melihat buku di rak pun sudah rasa seronok.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Banyak nama yang muncul. Tapi biarlah saya ikut majoriti yang banyak menyebut S.M. Zakir dan Zaen Kasturi. Tapi kalau satu nama, saya pilih S.M. Zakir dahulu. Beliau merupakan antara sasterawan yang paling konsisten menghasilkan karya bermutu dalam pelbagai genre termasuk cerpen, puisi, novel, esei, dan kritikan sastera. Ketajaman pemikiran, kekuatan bahasa dan kesungguhannya memperjuangkan nilai kesusasteraan Melayu menjadikan beliau tokoh yang wajar dipertimbangkan untuk menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Sasterawan Negara.
_________________________
Kenali Nimoiz T.Y dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 07/2026.