Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menyelami rasa pedih dan indah “sunyi dan sepi” persekitaran untuk mencerna ilham dan semangat dalam penulisan.

Bagi saya sebagai seorang penulis, sunyi itu masih indah, dan sepi itu diperlukan ketika berkarya untuk membangkitkan ilham dan mengundang kenangan.

Seorang pengarang pada ketika-ketika tertentu memerlukan kesunyian untuk mengarang dan mencari ilham. Namun kita tidak nafikan, ada pengarang yang boleh saja berkarya dalam kebisingan serta dalam hiruk-pikuk dan riuh-rendah segala macam bunyi dan suara. Untuk pengarang jenis yang kedua ini, dia pasti tetaplah memerlukan kesunyian pada ketika-ketika tertentu. Mana mungkin seorang manusia mampu bertahan dalam kebisingan berpanjangan.

Sunyi, akan segera mengingatkan saya pada satu ketika yang amat jauh, lebih 20 tahun lalu. Ketika itu, saya masih di kampus Pulau Mutiara. Tempatnya yang tepat adalah di dalam surau Perpustakaan Hamzat Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM). Kebetulan ketika itu saya seorang diri dalam surau berkenaan, datang untuk solat selepas jenuh mencari buku. Masih dapat dibayangkan suasananya dan sepi pengapnya di dalam surau itu. Teramat senyap.

Di bahagian luar, untuk sampai ke perpustakaan ini perlu mendaki anak tangga yang agak tinggi. Dengan demikian, sudah tentu yang pertama kali berkunjung pun akan tahu bahawa perpustakaan ini terletak di bahagian atas dan agak tinggi dari aras tanah. Jadi, apabila berada di dalam suraunya, kita akan nampak melalui tingkap cerminnya kawasan parkir di bawah. Saya berdiri di tingkapnya dan melihat ke bawah. Dengan pintu perpustakaan yang tertutup rapat, saya menghayati kesenyapan itu seorang diri. Hanya kelihatan pelajar-pelajar dan kenderaan yang bergerak di bawah. Hanya gerakan, tanpa suara. Tiada apa-apa bunyi. Hanya sepi. Suasana itu masih sangat jelas dalam ingatan saya – amat pengap, dan terlalu senyap.

Setelah lebih 20 tahun berlalu, saya tiba-tiba kembali teringatkan kesenyapan dan kesunyian ketika berada di perpustakaan USM itu semula setelah membaca ungkapan tentang sunyi yang sangat menarik ditulis oleh H.J. Kitchener dan A.R.B. Etherton dalam Pengalaman Di-Hutan Rimba Tanah Melayu (Longmans Persekutuan Tanah Melayu, 1963). Kitchener yang merupakan Ketua Pegawai Mergasetua Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu menceritakan kisahnya menunggu harimau di dalam hutan Pahang. Terasa tidak puas dan seperti tidak sampai maksudnya yang sebenarnya jika tidak menyalin semula rasa yang dialami oleh Kitchener, sepertimana yang diungkapnya sendiri dalam buku tersebut. Tulisnya:

Q: Tersangat ajaib rasanya duduk di hutan rimba pada siang hari, tetapi lebih dahsyat lagi pada malamnya. Beberapa kali pada mulanya kita merasa kesunyian yang amat sangat, dan berasa lebih sedap jika kita ada teman. Hutan itu perlahan-lahan menjadi hidup, tetapi kita boleh terasa akan hal ini cuma dengan mendengar bunyi bising sahaja. Ada banyak ruangan-ruangan hitam di antara pokok-pokok dan belukar itu dan semuanya ini seperti lubang gelap yang dahsyat, tempat harimau atau harimau akar menghendap.

Apabila melalui kesenyapan dan detik-detik sunyi seorang diri, kita merasakan perlunya ada seorang teman. Itulah yang dirasakan oleh Kitchener kerana tempat beliau berada dan berasa sunyi itu adalah di dalam hutan yang ada di dalamnya banyak binatang buas yang ganas dan merbahaya. Namun, sekiranya kesunyian yang dirasainya itu di tempat yang lebih selamat seperti di rumah yang disewa jauh di perantauan, atau di tempat menginap sementara ketika pergi melancong atau di mana-mana saja tempat yang selamat dihuni, tentu saja perasaan lain pula yang timbul. Perasaan perlukan teman barangkali tidak ada.

Sunyi yang saya rasa di surau perpustakaan tersebut tentu saja tidak sama dengan suasana sunyi yang dilalui oleh Kitchener di tengah hutan rimba Tanah Melayu lebih 50 tahun lalu. Namun begitu, membaca kisah sunyi Kitchener di tengah hutan, dengan tidak semena-mena membawa ingatan saya kepada keadaan sunyi yang pernah saya lalui sebelum ini. Pengap sunyi di surau tersebut masih jelas terbayang walau hal itu telah 20 tahun berlalu. Keindahan pengap sunyi itu membuatkan saya rindu untuk melaluinya semula.

Jauh sebelum itu, Mpu Prapanca ketika menulis karya agungnya Kakawin NagaraKertagama (NARASI, 2019) ratusan tahun yang lalu di sebuah dusun yang jauh, beliau dikatakan menulis dengan semangat sepi. Prapanca menulis karya ini bukan di bawah perintah sesiapa, apalagi perintah para penguasa iaitu pemimpin pada zamannya. Namun beliau menulisnya dengan rasa dan keinginan sendiri. Ditulisnya semata-mata atas dasar cinta dan kasih kepada kerajaan Majapahit. Beliau pergi menyepi dan bersendiri jauh di dusun sunyi yang dipenuhi bunga-bunga indah dan amat dekat dengan alam yang begitu cantik. Jauh dari tempat kekuasaan dan pemerintahan. Keheningan sunyi dan keindahan alam barangkali menjadi penarik utama yang membolehkan beliau mencipta karya agungnya ini yang dikenang dan dikaji beratus-ratus tahun kemudian.

Sejarah juga pernah mencatatkan seorang sultan dari negeri Kedah, iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pernah menghasilkan sebuah syair dalam kesendiriannya saat-saat kesepian dibuang negeri ke Melaka pada tahun 1842. Keseorangan dan kesepian telah memberi satu peluang kepada Sultan Ahmad Tajuddin untuk mengarang sebuah syair panjang yang dikenang kaji sehingga hari ini. Jikalau tiada kesepian yang melanda dirinya, barangkali syair istimewa tersebut tidak akan ada. Tidaklah sia-sia keseorangan dan kesepian yang dilalui oleh Sultan Ahmad Tajuddin itu sebenarnya.

Benar, baginda kecewa kerana kerajaan yang dipimpinnya telah pun jatuh ke tangan orang lain. Namun kecewa itu berjaya diubat setelah segala keperitan yang dilaluinya telah dipindahkan ke dalam bentuk syair, seperti yang dapat kita baca hari ini. Syair Duka Nestapa (DBP, 2021) yang ditulis dalam manuskrip asal setebal 28 halaman ini terdiri daripada 450 rangkap. Dek kesunyian dan kesepian akibat dibuang negerilah yang menyebabkan Sultan Ahmad Tajuddin menulis syairnya ini. Jika tidak kerana itu, mungkin syair ini tiada dan kita juga tidak akan dapat membacanya.

Bagi saya sebagai seorang penulis, sunyi itu masih indah, dan sepi itu diperlukan ketika berkarya untuk membangkitkan ilham dan mengundang kenangan. Juga sebagai penentu ketenangan untuk kelancaran mengarang. Bagi orang lain, saya tidak tahu. Beberapa hari yang lalu, saya kebetulan ada betul-betul di tengah sawah. Kawasannya boleh sampai dengan berkenderaan kerana ada satu jalan kecil berturap yang membelah sawah yang luas itu untuk menghubungkan kampung saya dengan kampung sebelah. Ketika berdiri di tengah-tengah sawah itulah, saat pada hujung-hujung asar, tatkala suasana masih cerah walaupun matahari telah hampir-hampir jatuh – saya teringatkan esei tentang sunyi yang belum siap ini. Maka segeralah telinga saya menyerap, menangkap segala bunyi yang tinggal saat sunyi di tengah sawah itu dan sengaja menyimpan memori nikmat sunyi hampir senja itu dalam ingatan.

Memang sangat indah sunyi yang saya hayati di tengah sawah petang itu. Saya sengaja melihat jauh saujana mata. Ada beberapa rumah orang kampung yang terlihat kecil, nampak bukit-bukit dan pohon-pohon yang telah diredupkan oleh cahaya matahari petang. Semuanya jauh dan kecil dalam pandangan. Ketika mata merenung jauh itulah, telinga saya menghayati sungguh-sungguh kesunyian petang hari berkenaan. Ada suara kawanan itik yang barangkali mandi di bendang, burung yang entah apa bersahutan dan suara burung di pohon-pohon dalam belukar berdekatan juga seperti kedengaran. Semuanya itu saya dengar sayup-sayup dan jauh di hujung-hujung telinga. Sangat indah sunyi di tengah sawah petang itu bagi saya. Hinggakan saya berhasrat akan mengulang semula saat-saat menghayati sunyi di tengah sawah padi itu lagi lain kali, lagi dan lagi. Hal ini kerana bagi seorang penulis seperti saya, terlalu banyak suasana sunyi yang indah dalam hidup kita. Sebagai penulis yang bercita-cita besar menjadi pengarang satu masa nanti, sunyi itu terlalu indah; walau sekali-sekala pedih, dan saya selalu perlukannya.

Namun masih ada satu persoalan besar yang bermain dalam fikiran saya apabila berbicara perihal “kesunyian dan kesepian” dalam sastera Melayu. Mungkin satu kajian khusus, mendalam dan terperinci boleh dilakukan terhadap tajuk ini, iaitu kenapakah “kesunyian dan kesepian” ini kerap juga menjadi tajuk pilihan para pengarang kita untuk karya mereka dan apakah kaitan rapatnya dengan hal-hal kepengarangan itu sendiri? Setakat mana keperluan pengarang terhadap “sunyi dan sepi” ini untuk tujuan penulisan juga perlu dikaji dengan lebih teliti, bersungguh dan mendalam.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi