Diterbitkan pada 8 Julai 2026, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lokman Hakim melakukan muhasabah diri terhadap pembentukan sastera Melayu moden dengan membuat perbandingan kritikal dengan karya besar James Joyce, pengarang terkenal Ireland.

Sastera Melayu sering mengalami rasa rendah diri budaya, seolah-olah karya yang ditulis dalam bahasa Melayu memerlukan pengesahan luar sebelum dianggap sebagai ‘universal’.

Dalam Ulysses (1922), James Joyce tidak sekadar menulis sebuah novel moden tentang Dublin pada 16 Jun 1904. Beliau sebenarnya sedang membedah keseluruhan struktur psikologi dan budaya Ireland pascakolonial melalui bahasa, kesedaran dan sejarah.

Salah satu ungkapan paling penting yang mengandungi inti falsafah estetik Joyce muncul melalui Stephen Dedalus ketika berbicara tentang seni Ireland: “Ia merupakan simbol seni Ireland. Bak cermin retak milik seorang hamba.” Kalimat ini kelihatan ringkas tetapi mengandungi alegori yang mendalam tentang hubungan antara seni, penjajahan dengan identiti budaya. “Cermin retak” itu bukan sekadar metafora estetika, tetapi gambaran tentang bagaimana bangsa terjajah melihat dirinya sendiri melalui medium yang telah di“retak”kan oleh kuasa kolonial.

Dalam konteks Ireland, penjajahan British bukan sahaja menguasai wilayah politik dan ekonomi, tetapi turut menentukan bahasa, pendidikan, sejarah, dan imaginasi budaya masyarakat Ireland. Seni Ireland moden lahir daripada situasi yang paradoks: seninya mahu menjadi dirinya sendiri, tetapi alat yang digunakannya—bahasa Inggeris, sistem pendidikan kolonial, estetika Eropah—berasal daripada penjajah. Maka, seni itu sentiasa retak, memantulkan identiti bangsa, tetapi pantulan tersebut tidak pernah betul-betul utuh.

Di sinilah ungkapan Stephen Dedalus menjadi sangat relevan terhadap sastera Melayu moden. Sastera Malaysia juga lahir dalam struktur budaya pascajajah yang penuh kontradiksi. Bahasa Melayu moden berkembang bersama-sama institusi pendidikan kolonial, sistem birokrasi British dan gagasan negara moden yang sebahagian besarnya dibentuk melalui kerangka epistemologi Barat. Akibatnya, sastera Melayu moden sering berada dalam keadaan ambivalen: pada satu sisi sastera Melayu mahu mempertahankan identiti tempatan, tetapi pada sisi lain sastera ini masih bergantung pada model estetika, teori dan legitimasi budaya yang diwarisi daripada tradisi penjajah.

Stephen Dedalus sendiri ialah lambang subjek pascakolonial yang terpecah. Dalam Ulysses, dia menyedari bahawa dirinya hidup di bawah kuasa dua empayar: British dan Gereja Katolik Rom. Ketika berbicara dengan Haines, seorang Inggeris yang tertarik pada budaya Ireland, Stephen menyatakan bahawa dia ialah “hamba kepada dua orang tuan.” Penggunaan perkataan ‘hamba’ di sini sangat signifikan. Penjajahan tidak sekadar mengawal tubuh, tetapi juga kesedaran. Subjek kolonial akhirnya melihat dirinya melalui mata penjajah.

Fenomena yang sama dapat diperhatikan dalam perkembangan sastera Melayu moden. Sejak era kolonial, bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu, kemajuan dan mobiliti sosial. Institusi pendidikan moden melahirkan golongan intelektual yang berfikir melalui kategori-kategori Barat. Bahkan sehingga hari ini, banyak karya sastera Malaysia masih mencari legitimasi melalui pengiktirafan akademik Barat, festival sastera antarabangsa, penerbitan bahasa Inggeris, atau penerapan teori kritikan Eropah.

Dalam keadaan ini, sastera Melayu sering menjadi “cermin retak”— memantulkan pengalaman tempatannya, tetapi melalui struktur kesedaran yang tetap dibentuk oleh kolonialisme.

James Joyce memahami bahawa penjajahan bahasa merupakan bentuk penjajahan paling mendalam. Ireland yang digambarkannya dalam Ulysses ialah sebuah bangsa yang telah kehilangan bahasa asalnya sendiri. Stephen Dedalus menyedari bahawa bahasa Inggeris yang digunakannya tidak pernah benar-benar menjadi miliknya. Dalam satu babak terkenal, Stephen berbicara tentang seorang dekan Inggeris dan menyedari bahawa “bahasa mereka begitu akrab dan begitu asing”. Kesedaran ini amat penting dalam memahami psikologi pascakolonial. Bahasa penjajah akhirnya menjadi alat utama untuk berfikir, tetapi pada masa yang sama, bahasa itu sentiasa mengingatkan subjek kolonial tentang keterasingannya sendiri.

Sastera Melayu moden juga hidup dalam konflik linguistik yang serupa. Bahasa Melayu hari ini ialah bahasa negara, tetapi bahasa Inggeris masih mendominasi banyak ruang, seperti akademik, korporat, teknologi, dan pasaran global.

Ramai penulis Malaysia berada dalam dilema antara menulis dalam bahasa kebangsaan demi akar budaya, atau menulis dalam bahasa Inggeris demi capaian antarabangsa dan legitimasi global. Akibatnya, sastera Melayu sering mengalami rasa rendah diri budaya, seolah-olah karya yang ditulis dalam bahasa Melayu memerlukan pengesahan luar sebelum dianggap sebagai “universal”.

Joyce menolak logik ini melalui eksperimen radikal terhadap bahasa Inggeris itu sendiri. Beliau tidak tunduk kepada standard linguistik empayar British. Sebaliknya, beliau memecahkan bahasa tersebut melalui slanga Dublin, parodi, iklan, lagu rakyat, bahasa pasar, dan arus kesedaran.

Dalam Ulysses, bahasa Inggeris kehilangan statusnya sebagai bahasa “tinggi” yang stabil. Bahasa itu menjadi ruang kacau, hidup dan penuh pertindihan suara. Joyce seolah-olah sedang merampas bahasa penjajahnya lalu mengotorkannya dengan pengalaman Ireland.

Tindakan ini sangat penting untuk direnungkan oleh sastera Malaysia. Selama terlalu lama, bahasa Melayu moden sering dipaksa menjadi terlalu bersih, terlalu baku dan terlalu terkawal. Sedangkan realiti Malaysia sendiri sangat hibrid yang dibauri oleh bahasa pasar, dialek negeri, bahasa rojak, istilah media sosial, jargon agama, dan bahasa urban. Semuanya hidup serentak dalam pengalaman masyarakat.

Namun begitu, institusi sastera sering melihat bentuk-bentuk bahasa ini sebagai ancaman terhadap “kemurnian” bahasa kebangsaan. Joyce menunjukkan sebaliknya: bahasa yang retak dan bercampur sebenarnya boleh menjadi sumber tenaga estetik yang luar biasa.

Karya tempatan tidak perlu menjadi ‘Barat’ untuk menjadi moden.

Hal ini juga berkait rapat dengan institusi akademik. Dalam Ulysses, Joyce memperlihatkan sinisme terhadap elit intelektual dan institusi budaya yang terlalu terikat dengan tradisi rasmi. Stephen Dedalus ialah produk pendidikan kolonial, tetapi dia juga memberontak terhadapnya. Dia sedar bahawa institusi ilmu sering menghasilkan manusia yang hanya mengulang warisan budaya tanpa benar-benar mencipta sesuatu yang baharu.

James Joyce sewaktu muda.

Fenomena ini turut dapat dilihat dalam dunia sastera Malaysia. Banyak penulis moden dibentuk melalui universiti dan institusi akademik yang masih menggunakan kerangka teori Barat sebagai ukuran utama nilai intelektual. Teori-teori Eropah menjadi “bahasa legitimasi”, sedangkan tradisi tempatan sering dianggap sebagai kurang sofistikated. Akibatnya, sebahagian sastera Melayu moden menjadi terlalu teoritis dan terpisah daripada pengalaman hidup masyarakat sebenar.

Joyce sendiri sebenarnya memberikan model yang berbeza. Walaupun sangat intelektual, Ulysses tetap berakar pada kehidupan harian manusia biasa seperti kedai, pub, jalan raya, makanan murah, tubuh, bau, seks, dan kesunyian bandar.

Beliau mengangkat kehidupan harian Dublin menjadi epik moden. Hal ini sangat penting untuk direnungkan oleh sastera Malaysia. Karya tempatan tidak perlu menjadi “Barat” untuk menjadi moden. Modenisme Joyce bukan terletak pada peniruan Eropah, tetapi pada keberaniannya menjadikan pengalaman lokal sebagai pusat estetika.

Krisis “cermin retak” ini juga dapat dilihat melalui hubungan sastera Melayu dengan pasaran global. Dunia penerbitan antarabangsa sering mencari “suara Asia Tenggara” yang sesuai dengan imaginasi Barat tentang Timur, lalu melabelnya selaku eksotik, politikal, trauma, atau penuh warna budaya.

Akibatnya, penulis pascakolonial sering berada dalam tekanan untuk “menterjemahkan” budaya sendiri agar boleh diterima dalam pasaran global. Dalam keadaan ini, karya tempatan berisiko menjadi representasi diri yang dipandang melalui mata luar—persis “cermin retak milik seorang hamba.”

Joyce memahami bahaya ini. Sebab itu beliau menulis Ulysses dengan keberanian yang merapati unsur anti-dipasarkan-ke tahap global. Novel itu terlalu lokal, terlalu kompleks dan terlalu dipenuhi nuansa Dublin untuk mudah dipasarkan secara konvensional. Namun, justeru kekhususan lokal itulah Ulysses akhirnya menjadi sarwajagat. Joyce membuktikan bahawa karya tulisan tidak perlu mengorbankan kerumitan budaya sendiri demi diterima oleh dunia.

Dalam konteks Malaysia, hal ini membawa implikasi yang besar. Sastera Melayu moden tidak seharusnya tunduk sepenuhnya kepada logik pasaran global atau validasi akademik luar. Sebaliknya, sastera kita perlu berani mempercayai pengalaman lokalnya sendiri, seperti bahasa pasar, konflik bandar, trauma sejarah, imaginasi kampung, budaya digital, dan keretakan identiti Malaysia moden.

Satu lagi dimensi penting alegori “cermin retak” Joyce ialah hubungan antara nostalgia dengan pemberontakan. Sastera pascakolonial sering terperangkap antara dua kecenderungan, iaitu memuja masa lalu yang tradisional atau meniru kemodenan Barat secara total.

Joyce menolak kedua-duanya. Stephen Dedalus tidak mahu menjadi nasionalis-romantik yang memuja Ireland purba secara membuta tuli. Akan tetapi, beliau juga tidak mahu menjadi subjek kolonial yang tunduk kepada budaya British. Beliau hidup dalam keadaan tergantung—suatu keadaan pascakolonial yang sangat moden.

Sastera Malaysia juga sering berada dalam ketegangan yang sama. Banyak karya kita terperangkap antara nostalgia kampung, romantisisme tradisi atau peniruan bentuk moden Barat.

Cabaran sebenar kita adalah untuk membina bentuk estetika yang benar-benar lahir daripada pengalaman Malaysia kontemporari sendiri.

Akhirnya, metafora “cermin retak milik seorang hamba” bukan sekadar kritikan terhadap Ireland yang kolonial. Alegori ini merupakan suatu diagnosis universal terhadap seni pascakolonial. Bangsa terjajah sentiasa melihat dirinya melalui pantulan yang tidak utuh. Dalam hal ini, Joyce turut menunjukkan bahawa retak-retak itu sendiri boleh menjadi suatu sumber penciptaan baharu. Ulysses lahir daripada keretakan bahasa, identiti dan sejarah, lalu semua itu dicerap, dicerna dan disusun atur, dan akhirnya menjadi salah satu karya terbesar modenisme dunia.

Dalam konteks sastera Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti cuba membaiki “cermin retak” itu menjadi sempurna menurut ukuran kolonial. Sebaliknya, kita harus belajar melihat retakan tersebut sebagai sebahagian daripada realiti estetik dan sejarah kita sendiri. Kerana mungkin daripada retakan itulah lahir bentuk sastera Malaysia moden yang benar-benar autentik: tidak tunduk sepenuhnya kepada Barat, tetapi juga tidak terperangkap dalam nostalgia masa lalu.

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi