Diterbitkan pada 23 September 2025, 07:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Port Dickson – Penyair Nimoiz T.Y mengklasifikasikan penyair Minggu Penulis Remaja (MPR) dalam “empat kuadran” berdasarkan generasi, gaya serta sumbangan terhadap dunia kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, kuadran pertama terdiri daripada tokoh pelopor yang digelar sebagai “Super Senior” MPR, antaranya termasuk Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Shamsudin Othman, dan Roslan Jomel.

“Mereka ini merupakan penyair yang terkenal dengan kekuatan akar tradisi serta eksperimen bahasa yang berani dalam mewarnai dunia kesusasteraan Melayu tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya berjudul “Empat Kuadran Penyair MPR: Bicara Karya Beberapa Puisi Pilihan” pada Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 2025 di Glory Beach Resort, Port Dickson, baru-baru ini.

Perhimpunan tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Mengulas kuadran kedua pula, Nimoiz T.Y menyorot generasi penyair arus perdana era 2000-an, yang lahir daripada perkembangan sastera siber, blog, majalah Tunas Cipta, dan penerbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

“Generasi ini bukan sahaja menampilkan karya konsisten, malah turut aktif sebagai editor, hakim sayembara dan pengulas pada peringkat nasional,” jelasnya.

Tambahnya, kuadran ketiga menghimpunkan penyair penyambung legasi yang muncul melalui sayembara, penerbitan indie serta keterlibatan aktif dalam komuniti penulisan.

“Karya mereka mencerminkan denyut nadi masyarakat dengan bahasa segar bersama-sama tema yang lebih peribadi tetapi tetap relevan,” katanya.

Manakala kuadran keempat jelasnya, merangkum kelompok penyair mutakhir yang muncul pasca 2010, khususnya melalui medium baharu dengan gaya yang lebih minimalis dan santai.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kerangka tersebut bukan sekadar pembahagian generasi, tetapi sebagai satu mekanisme bagi membaca denyut nadi perkembangan puisi dalam acuan MPR.

Beliau menegaskan, kesinambungan MPR bergantung pada keberanian penyair baharu untuk bereksperimen tanpa melupakan akar warisan budaya.

“Jika kuadran awal mewakili warisan, maka kuadran mutakhir ialah ruang kebebasan. Kedua-duanya perlu seimbang agar puisi Melayu terus hidup dan relevan,” ujarnya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi