Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSalman Sulaiman menyampaikan rintihannya sebagai seorang alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) yang terpinggir dan tahu tulisannya tidak disukai.
Kedatanganku ke dalam dunia sastera tidak diundang serta tidak pernah dialu-alukan dan kalau aku pergi meninggalkan dunia sastera ini pun …
Awal-awal aku ingin beritahu dan tegaskan, tulisan ini barangkali tidak akan bernilai satu sen pun kepada orang lain. Tiada nilai apa-apa pun bagi orang lain. Tulisan ini hanya bernilai kepada diriku seorang sahaja. Ya, diriku seorang sahaja. Aku bimbang sebenarnya kalau-kalau ada yang akan terguris atau terasa hati dan koyak, atau yang sengaja terkoyak dengan tulisan ini. Aku bukan ingin mengata sesiapa. Tidak ingin menyindir sesiapa. Bukan juga untuk perli hina sesiapa. Aku cuma mahu meluahkan apa yang terpendam dalam kalbu batinku sebagai seorang penulis kecil, yang (kononnya penyair) tidak terkenal dan banyak pula menyusahkan.
Sudah banyak aku menulis yang serius, yang ilmiah, yang sastera, yang berilmu, dan yang membicarakan perihal buku dan tokoh. Yang membicarakan hal politik, budaya, filem, dan agama juga sudah aku tulis, malah tentang Anugerah Sastera Negara dan SEA Write Award pun semuanya telah kutuliskan. Apa salahnya sesekali, atau ini hanya mungkin sedekad sekali sahaja aku mencoret yang bukan sastera, yang tidak ilmiah, iaitu rintihan kalbu batinku sebagai seorang penulis, budak mentah Minggu Penulis Remaja (MPR) yang masih bergelandangan kononnya mahu menjadi seniman dan sasterawan.
Aku tidak marahkan sesiapa. Bukan juga geram. Aku tidaklah kecewa dengan sesiapa, tapi aku cuma mahu meluahkan apa yang terpendam dalam kalbu batinku. Salahkah sesekali aku ingin meluahkan isi sanubari hatiku setelah berpuluh tahun menulis sekian banyak esei dan karya sastera?
Aku tahu, kalau aku tidak ada pun, sastera Malaysia tidak jadi apa-apa – tidak untung apa-apa dan tidak akan berkurang sedikit pun. Keberadaanku dalam sastera tidak menguntungkan sesiapa, malah mungkin merugikan. Aku bukanlah siapa-siapa dalam sastera. Kedatanganku ke dalam dunia sastera tidak diundang serta tidak pernah dialu-alukan dan kalau aku pergi meninggalkan dunia sastera ini pun. Tiada siapa yang akan rugi, tiada siapa yang akan halang, malah mungkin ramai yang akan bertepuk tangan. Sebab mungkin ramai yang serabut dengan tulisanku. Ada yang agaknya menyampah dengan karya-karya tulisku, kerana asyik nak mengkritik, asyik nak menghentam, asyik nak sentap dan terasa memanjang.
Aku tidak diundang sebagai salah seorang pengucap, iaitu terlibat secara langsung dalam program Perhimpunan Alumni MPR di Port Dickson pada 21 September 2025 tersebut, sepertimana kawan-kawanku yang lain kerana aku tidak terkenal. Aku tidak menulis karya yang baik dan memberi impak yang hebat. Karyaku suam-suam kuku sahaja. Aku alumni MPR yang paling tidak bermanfaat seperti mantan-mantan peserta MPR yang lain. MPR 2000 tidak memberi apa-apa impak pun pada dunia sastera. MPR 2000 ialah MPR yang paling tidak berjaya. Aku mantan peserta MPR 2000 yang paling gagal. Aku sudah lama tidak menulis. Aku tidak pernah ada buku. Aku sudah hampir sepuluh tahun tidak aktif menulis. Aku tidak pandai bercakap. Tidak pandai bersyarah dan membimbing bengkel. Aku tidak tahu mengajar menulis. Daripada didikan dan asuhanku, tidak pernah lahir seorang penulis pun. Aku tidak pandai jadi moderator, apatah lagi menjadi panel. Aku hanya menghabiskan duit penganjur MPR 2000 yang menaja aku sebagai peserta. Aku tidak pernah memberi apa-apa kepada dunia sastera. Akulah yang banyak menagih dengan dunia sastera. Merempat di lorong sastera yang sunyi sepi ini.
Aku tidak ada jawatan. Aku tidak ada ramai kawan. Aku tidak boleh berikan apa-apa keuntungan kepada sesiapa pun, kerana aku tidak ada sekuman jawatan pun untuk ditumpang dan diminta pertolongan. Aku hanyalah seorang penulis cabuk yang menagih duit honorarium tulisan dan persembahan serta syarahan yang tidak seberapa itu pada setiap hujung bulan. Pendapatanku 20 sen, siapalah yang akan kisah dan peduli penulis cabuk dan tidak memberi apa-apa nilai macam aku ini?
Jika diundang sebagai pengucap atau pembicara dalam program itu, dapatlah aku gunakan bayaran sagu hatinya nanti untuk tambang bas dan makan. Sekurang-kurangnya kenalah berhabis dua tiga ratus ringgit juga untuk hadir saja-saja sebagai peserta. Jika diundang bercakap, tidaklah hadir saja-saja, dapatlah juga bayaran untuk lepas tambang dan makan. Aku hendak sangat-sangat hadir, rindu sungguh untuk bertemu kawan-kawan alumni, dan kami sama-sama seronok mengimbau kenangan lalu sambil meraikan kegemilangan 40 tahun MPR. Akan tetapi, apakan dayaku, aku bukannya dekat. Aku jauh dari Kelantan. Hampir 400 kilometer untuk sampai ke Port Dickson. Namun begitu, siapalah yang mahu peduli itu semua? Sebab aku bukan siapa-siapa dalam sastera ini untuk dipuja-puja dan diraikan. Aku tidak ada nama dan aku bukan siapa-siapa.
Aku tidak dijemput sebagai seorang yang bercakap dalam program itu barangkali kerana aku ini banyak sangat songehnya. Nanti banyak sangat yang tidak kena kalau panggil aku. Nanti habislah program itu “kena belasah” dengan aku. Aku mungkin tidak disukai kerana aku ini lantang sangat bersuara, keras amat mengkritik dan lancar sangat mulut menegur. Nanti habis pula duit penganjur hendak bayar aku. Aku ini tidak pandai melobi. Tidak pandai hendak iklankan diri sendiri. Tidak ada PR yang bagus.
Tulisan ini bukanlah amaran kepada mana-mana penganjur agar panggil aku sebagai pembicara dalam program sastera yang bakal diadakan pada masa akan datang. Bukanlah ancaman kepada mana-mana pihak. Bukan juga rajuk yang perlu dipujuk. Tulisan ini hanyalah rintihan terpendam seorang budak MPR yang terpinggir dan tulisannya tidak disukai, impaknya tidak seberapa dan kehadirannya tidak pernah dirasai oleh sesiapa dalam dunia sastera Malaysia.
Kutahu, nanti, apabila kalian baca tulisan ini, ramailah yang mencemuh dan mencebik: “Salmaan, Salmaan …”, “Emh, Salman, tak ada kerja, semua benda nak tulis.”, “Sentap sangatlah kau Salman.”, “Alaa, ada-ada sajalah Si Salman ’ni.”, “Semua benda tak kenalah Salman ’ni.”, “Mantan MPR bukan kau seorang.”, “Alaa, koyak pulak mamat ’ni.”, “Perasan dia hebat sangatlah menulis ’tu.”, “Benda kecil sajalah Man.”, “Itu pun nak terasa ke?”.
Ya, macam-macamlah komen, desas-desus dan bisik-bisik orang yang akan muncul selepas membaca tulisanku ini. Namun salahkah aku mahu meluahkan dan silapkah caraku ini yang hanya mahu sastera ini diuruskan oleh orang yang kenal sastera dan mahu sastera diangkat ke tempat yang sepatutnya? Khilafkah pihak diriku si penulis kecil ini hanya kerana ingin melihat sastera itu diurus dan dipimpin oleh orang yang benar-benar cintakan sastera, bukannya orang yang bekerja hanya ala kadar dan semata-mata sambil-sambil menunggu gaji pada 25 hari bulan sahaja?
Kawan-kawanku yang dijemput sebagai orator, iaitu yang diberikan tugas bercakap dalam program Perhimpunan Alumni MPR 2025 itu tidak salah. Entahlah siapa yang bersalah dalam hal ini. Orangkah yang salah atau keadaankah yang salah? Akulah yang bersalah sebenarnya, kerana terlalu mudah sangat terasa hati. Cepat kecewa dan mudah berasa dipinggirkan. Sikit-sikit hendak sentap dan koyak. Semua benda hendak terasa dan segala perkara mahu ditulis kritik. Entahlah, akulah sepatutnya yang perlu dipersalahkan semuanya kerana menulis catatan ini dan membiarkan pula kalian membacanya.
_________________________
Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.