Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Penulis prolifik kelahiran Parit Buntar, Perak, Salina Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR).
Pelantikan tersebut diumumkan setelah mendapat sokongan sebulat suara daripada para alumni MPR yang hadir dalam mesyuarat pemilihan jawatankuasa kelab itu bersempena dengan Perhimpunan Alumni MPR 2025 yang berlangsung di Glory Beach Resort semalam.
Pemilihan ini dilihat bakal memperkukuh peranan alumni MPR agar terus aktif, memastikan suara mereka didengari serta mempererat jaringan sesama penulis pelbagai generasi.
Pelantikan beliau dalam jawatan tersebut lantaran pengalaman panjang beliau menyaksikan perkembangan MPR sejak awal dan diyakini mampu membina jaringan dan hubungan baik antara generasi penulis terdahulu dengan penulis baharu.
Dalam ucapan sulungnya sebagai pengerusi, Salina menyifatkan peranan sebagai penghubung antara alumni MPR dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan suatu amanah yang besar.
“Saya diberi tanggungjawab untuk menjaga ahli kelab yang ramai dan (hal ini) menjadi cabaran besar pada saya, namun saya yakin bahawa rakan-rakan akan memberikan kerjasama yang baik,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan sebarang cadangan yang baik daripada ahli kelab dan menegaskan bahawa beliau tidak akan bergerak secara bersendirian, sebaliknya dibantu oleh barisan jawatankuasa yang akan dimaklumkan kelak.
Menurut Salina lagi, aktiviti kelab bakal dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon, iaitu di DBP Wilayah Utara, DBP Wilayah Selatan, DBP Wilayah Tengah, DBP Wilayah Timur, serta Borneo menerusi DBP Cawangan Sabah dan DBP Cawangan Sarawak.
“Berkemungkinan dalam tempoh setahun, kita merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu atau dua kegiatan secara berpusat di setiap DBP Wilayah dan DBP Cawangan dengan memanfaatkan kemudahan yang sedia ada,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini diambil kerana tidak semua alumni MPR menetap di Kuala Lumpur, sebaliknya terdapat alumni yang tinggal di kawasan lain dari pelbagai negeri.
Salina Ibrahim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan pengkhususan Undang-undang dari Akademi Islam, Universiti Malaya pada tahun 1996, selain memiliki Sijil Penulisan Skrip, Akademi Filem Malaysia, FINAS (2001) dan Sijil Terjemahan Am, Institut Terjemahan Negara Malaysia (2003)
Sebagai seorang Munsyi Sastera DBP, beliau telah berkecimpung dalam dunia penulisan hampir 38 tahun dengan menghasilkan karya dalam pelbagai genre seperti esei, puisi, cerpen, dan novel.
Komitmen beliau dalam kegiatan berkarya sejak usia remaja sehingga kini serta pelbagai pengiktirafan yang telah diterimanya seperti Anugerah Pejuang Sastera Perak pada tahun 2024, membuktikan mutu dan ketekalan bakat kepengarangannya.
Selain aktif menulis, Salina juga giat membimbing generasi muda yang meminati sastera melalui bengkel, ceramah dan forum bagi mengembangkan bakat penulis baharu.
Usaha berterusannya berkongsi pengalaman sama ada secara mandiri mahupun kerjasama dengan pelbagai pihak, melahirkan kelompok penulis muda yang berpotensi besar untuk menyambung kesinambungan dunia sastera tanah air.