Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Cerpen ini saya ibaratkan seperti rumah. Saya selalu sebut ‘rumah kecil’ yang di dalamnya ada perabot, bilik, ada ruang yang mempunyai perhiasan.
“Walau bagaimanapun, ruang itu wadah kecil dan serba terhad.”
Demikian kata penulis prolifik kelahiran Parit Buntar, Perak, Salina Ibrahim, ketika menyampaikan pembentangannya bertajuk “Selamat Datang ke ‘Rumah Rehat’ Saya” dalam Sesi Pertama Kolokium Sastera: Kajian Genre Cerpen di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi semalam.
Beliau menyifatkan cerpen dari perspektif bentuk sebagai sebuah ruang kecil yang tetap memiliki struktur lengkap seperti plot dan watak, namun dibina dalam bentuk yang lebih terhad dan padat.
Mengimbau kembali pengenalannya dengan genre cerpen yang bermula sejak lebih 40 tahun lalu, ketika masih kanak-kanak, beliau banyak membaca cerpen dalam majalah popular sebelum benar-benar mengenali istilah cerpen sewaktu di bangku sekolah menengah.
“Perkara pertama yang saya belajar tentang cerpen ialah cerpen itu sendiri ialah cerita.
“Cerpen merupakan bentuk hiburan yang paling murah dan mudah ketika zaman muda saya dan saya membaca pelbagai cerita yang ringkas, kompleks dan eksperimental. Daripada situlah saya belajar memahami dunia cerpen,” katanya.
Dalam pembentangan tersebut, beliau turut menjelaskan bahawa cerpen bukan sekadar bentuk hiburan atau cerita biasa, sebaliknya medium yang mampu mencetuskan emosi dan mengajak pembaca berfikir.
Jelasnya lagi, terdapat juga cerpen yang boleh membawa pembaca menerokai “ruang rumah” dengan olahan penulisan yang tepat.
Beliau turut berkongsi perjalanan awalnya sebagai penulis remaja menerusi cerpen “Janji Pendekar” yang pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa pada tahun 1991 ketika usianya 18 tahun.
Lantaran itu, cerpen tersebut membuka peluang kepadanya untuk menyertai program Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta memperkukuh langkahnya dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Sepanjang pelibatannya dalam bidang penulisan cerpen, beliau telah menghasilkan ratusan cerpen yang menyentuh variasi tema seperti isu sosial, antarabangsa, patriotisme, media sosial, dan kehidupan masyarakat tempatan.
Antara karya yang disebut dalam pembentangannya termasuklah “Di Bawah Langit Copenhagen”, “Memaknakan Cinta”, “Imam”, dan “Hantu Osama”.
Sebagai pengarang, beliau mengakui bahawa beliau berdepan dengan cabaran dalam proses penulisan, iaitu mengubah dan mengangkat idea besar menjadi sebuah karya yang tidak membebankan pembaca.
Beliau berkongsi tentang beberapa cerpennya yang telah dikembangkan menjadi novel seperti Mahligai, Mamaku Menteri dan Pekan Berembang, sekali gus membuktikan bahawa cerpen mampu menjadi asas kepada karya yang lebih besar.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa penguasaan bahasa merupakan aspek penting dalam penulisan kreatif kerana penulis ialah “pemakai bahasa” yang perlu memahami penggunaan kata, nada dan gaya yang sesuai mengikut konteks karya.
Secara peribadi, beliau mengumpamakan dunia penulisan kreatif sebagai ruang kehidupan yang penuh keasyikan dan menjadi “rumah rehat” buat dirinya untuk terus berkarya serta mengekalkan konsistensi sebagai penulis.
“Cerpen menjadi ruang kecil yang saya singgahi ketika saya tidak mampu berada dalam ruang yang besar,” ujarnya.