Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagi Sasterawan Johor ke-14, Dr. Maskiah Masrom, cerpen bukan sekadar imaginasi, sebaliknya lahir daripada pengalaman sebenar, khususnya pengembaraannya merentas ke lebih 52 negara sejak tahun 2004.
Maskiah yang berkongsi kertas kerja “Cerpen Itu Pesawat Kehidupan” dalam Kolokium Cerpen anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pagi semalam berkata, cerpen untuknya seperti menaiki pesawat kehidupan.
“Proses menulis menuntut disiplin, kesabaran dan kepatuhan pada ‘peraturan penerbangan’, agar perjalanan naratif tidak tersasar.
“Walaupun ruangnya sempit dan terbatas, pengalaman dalam pesawat tetap mampu melahirkan keselesaan, renungan dan ilham yang mendalam kepada pengarang,” katanya.
Maskiah yang sudah menghasilkan sekitar 80 buah cerpen hingga kini berkata, pengalaman berada dalam ruang udara turut membuka ruang tafsiran terhadap peraturan.
Katanya, dalam dunia penerbangan, setiap peraturan membawa implikasi keselamatan yang serius, termasuk hukuman berat terhadap sebarang ancaman palsu.
“Hal ini selari dengan dunia penulisan yang turut terikat dengan peraturan perundangan penerbitan, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menuntut penulis lebih berwaspada dalam menyentuh isu sensitif,” katanya.
Tambahnya, ada kala jendela pesawat menjadi sumber ilham penting dalam proses kreatif beliau.
Daripada ruang kecil itu, lahir pandangan luas terhadap awan, lautan dan bumi yang terbentang, yang kemudian diterjemahkan ke dalam cerpen seperti “Pintu Mabrur” dan “Yang Jauh”.
Pengalaman mengerjakan haji pada tahun 2011 serta kunjungan ke Masjid al-Aqsa turut memperkukuh dimensi rohani dan kemanusiaan dalam penulisannya.
“Pelbagai emosi turut hadir dalam pengalaman penerbangan, termasuk keresahan, ketakutan dan kegembiraan.
“Elemen ini dimanfaatkan dalam cerpen seperti ‘Ami Tumakeh Baloboshi’ yang mengangkat isu migrasi dan kemiskinan, serta ‘Sepanas Marrons Chauds’ yang memaparkan tragedi keganasan dan pengalaman perjalanan ke Paris.
“Gegaran udara atau turbulence pula menjadi simbol pada ketidaktentuan hidup yang turut diterapkan dalam cerpen ‘Lelaki Kotak’. Situasi cemas dalam penerbangan dijadikan metafora terhadap pergolakan emosi manusia yang tidak dapat dijangka,” katanya.
Menurut Maskiah, setiap cerpen ialah perjalanan yang membawa penulis dan pembaca merentasi ruang pengalaman, emosi dan renungan.
Penulis bertindak sebagai juruterbang naratif, manakala pembaca menjadi penumpang yang melalui setiap detik penerbangan itu.