Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Cerpenis perlu keluar daripada kebiasaan penceritaan yang klise dan konvensional kerana genre itu bukan sekadar ruang bercerita, sebaliknya wadah pemikiran yang menuntut keaslian pendekatan serta ketepatan bahasa, kata Nisah Haron, ketika membentangkan kertas kerjanya, “Cerpen: Ekspresi Pemikiran dalam Keterhadan Ruang” dalam Kolokium Cerpen anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, petang semalam.
Nisah berkata, sejak awal pembabitan sebagai remaja, beliau banyak membaca karya konvensional, namun lebih cenderung kepada cerita yang menyimpang daripada bentuk biasa.
Melalui pembacaan yang pelbagai, beliau mula menyedari wujudnya pengulangan tema, teknik dan gaya yang akhirnya membentuk klise dalam penulisan cerpen.
“Cerpen tidak wajar sekadar mengulang apa yang boleh diperoleh melalui berita atau sumber media lain, sebaliknya mesti mempunyai keistimewaan yang tidak dapat digantikan oleh genre lain seperti puisi atau novel,” katanya.
Beliau turut mengakui yang perjalanan awal penulisannya tidak mudah apabila banyak cerpen awal yang dihasilkannya terlalu klise, bersifat peribadi dan tidak jelas dari segi batasan genre, sehingga sukar membezakan antara cerpen dengan novel.
Perubahan besar berlaku apabila beliau menemui buku Persediaan Menulis Cerpen oleh Othman Puteh yang menjadi panduan penting dalam memahami struktur dan aspek teknikal cerpen.
Ilmu itu kemudian diperkukuh melalui penyertaan dalam Minggu Penulis Remaja pada tahun 1993, yang membuka ruang pembelajaran secara lebih sistematik.
Beliau menegaskan bahawa pembacaan semata-mata tidak menjadikan seseorang itu penulis cerpen tanpa memahami keperluan dan disiplin genre tersebut.
Selepas lebih 30 tahun bergiat aktif, beliau lebih banyak menulis cerpen berbanding novel dengan analogi bahawa cerpen ialah larian pecut manakala novel pula maraton yang memerlukan stamina panjang. Tanpa memahami perbezaan ini, karya yang dihasilkan berisiko untuk tidak mencapai tahap industri.
“Cerpen yang baik perlu dibina atas lima asas utama, iaitu fikiran yang jernih, pemilihan diksi yang tepat, kepekaan terhadap persekitaran, kehematan kata, serta kawalan penceritaan.
“Banyak tema telah lama diterokai dalam dunia penulisan, namun keaslian datang daripada pendekatan dan teknik penceritaan yang sentiasa boleh diperbaharui,” katanya.
Nisah berkata, karya awal beliau termasuk cerpen “Di Sebalik Wajahmu, Aries” yang diterbitkan dalam Dewan Siswa pada September 1990, berbentuk fantasi dan cuba keluar daripada gaya konvensional.
Hal ini dipengaruhi juga oleh pembacaan hikayat dan cerita lipur lara seperti Syair Selendang Delima Seri Banian serta karya fantasi bahasa Inggeris.
Seterusnya, beliau banyak tampil dengan gabungan ilmu yang dimilikinya dalam bidang undang-undang dengan menghasilkan karya menyentuh pelbagai isu seperti tanah, wanita, penderaan, dan kematian.
“Cerpen ‘Ziarah Izrail’ yang tersiar dalam Dewan Sastera misalnya, mengangkat beberapa konsep kematian termasuk honour killing, euthanasia, pembunuhan, dan pelaksanaan hukuman mati dalam satu jaringan cerita yang saling berkait.
“Begitu juga cerpen ‘Jalur-jalur Mobius’ yang menggunakan metafora matematik jalur Möbius bagi menggambarkan ketidakpastian hidup manusia.
“Cerita itu mengangkat watak Humaira yang berdepan kehilangan, ketidaktentuan hidup serta cabaran Islamofobia di Barat,” katanya.
Tambahnya, cerpen ialah genre yang menuntut disiplin tinggi dalam ruang yang terhad. Setiap kata, struktur dan idea perlu membawa makna yang jelas serta memberikan kesan kepada pembaca.