Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dalam cerpen kena ada sentuhan manis yang memberikan kesan, iaitu keupayaan luar biasa untuk menarik pembaca membaca dari awal hingga tamat.
“Kalau cerita sedih, biar pembaca turut terasa sedih dan terharu. Kalau cerita humor, biar sampai orang ketawa,” jelas Azura Halid dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Cerpen di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, kelmarin.
Menurut beliau, cerpen diibaratkan seperti secawan kopi yang mempunyai pelbagai rasa seperti manis, pahit, panas, dan sejuk, sekali gus menggambarkan unsur tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa penulis cerpen perlu bijak memilih dialog, konflik dan plot kerana ruang penulisan yang terhad berbanding novel atau skrip drama.
Katanya, beliau gemar menerapkan unsur kejutan plot (plot twist) seperti dalam filem Tamil bagi menghasilkan jalan cerita yang tidak dijangka dan lebih menarik perhatian pembaca.
Dalam pembentangan itu juga, beliau menekankan aspek keberanian dan kejujuran dalam berkarya, khususnya dalam mengangkat tema sejarah, metafiksyen dan sindiran sosial yang jarang-jarang diketengahkan oleh penulis lain.
Menurut beliau lagi, cerpen bukan sahaja medium hiburan, malah berfungsi sebagai dokumentasi pemikiran dan rakaman zaman yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang sebagai khazanah intelektual.
Sementara itu, sempena Hari Guru yang menjelang tiba, beliau turut berkongsi tentang sebuah telefilem yang diadaptasi daripada cerpen lamanya.
“Sifir di Kasut ini sebenarnya cerpen saya yang disiarkan dalam Pelita Bahasa, tapi saya tak puas menulis cerpen sebab pendek.
“Jadi, saya alih wahana kepada skrip telefilem untuk tayangan di TV1 sempena Hari Guru,” jelasnya sebelum menamatkan pembentangan.