Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Cerpen membawa kekuatan yang tidak bergantung pada panjangnya teks, tetapi pada ketepatan detik yang dipilih untuk disampaikan.

Oleh itu bagi pengarang Witer Gunik, cerpen ialah arkib nurani yang menyimpan jejak rasa, fikiran dan pengalaman manusia melalui momen kecil yang memberikan kesan panjang kepada pembaca.

“Dalam ruang yang ringkas, cerpen memusatkan satu konflik, satu perasaan atau satu kejadian yang mampu meninggalkan ‘tusuk nurani’.

“Tusuk nurani hadir daripada detik yang dekat dengan kehidupan manusia. Rasa bersalah yang tidak terselesaikan, kasih yang lewat difahami, kegelisahan yang tidak terjawab, atau kebenaran yang sukar diterima menjadi sumber pada kesan tersebut. Setiap tusukan membentuk himpunan pengalaman batin yang kekal sebagai arkib nurani pembaca,” katanya ketika berkongsi kertas kerja “Cerpen sebagai Arkib Nurani” dalam Kolokium Cerpen, anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, petang semalam.

Katanya, cerpen tulisannya, “Tabrakan Garis Tangan Kami” memaparkan eksploitasi sosial dan kemiskinan yang tersembunyi dalam sistem yang kelihatan teratur.

Cerpen ini bergerak daripada harapan kepada ilusi dan akhirnya membawa kesedaran yang mengganggu fikiran.

Sementara itu, cerpennya, “Debu di Tapak Tangan” menampilkan perubahan persepsi terhadap manusia melalui satu pertemuan yang ringkas, lalu menimbulkan rasa malu yang halus terhadap penilaian sendiri.

“Cerpen bergerak sebagai ruang untuk memahami manusia dalam keadaan paling jujur. Realisme, realisme magis dan surealisme menjadi alat untuk memperluas makna tanpa menukar fokus utama, iaitu kemanusiaan.

“Setiap pendekatan membuka ruang tafsiran yang berbeza kepada pembaca,” katanya.

Bagi Witer, cerpen sebagai arkib nurani juga menyimpan pengalaman yang kecil tetapi bermakna besar.

Setiap cerita membentuk kesan emosi yang tidak sekadar berhenti pada pembacaan, tetapi terus hidup sebagai kesedaran yang mengganggu dan mengingatkan manusia tentang dirinya sendiri.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi