Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seni penceritaan atau penglipur lara perlu kembali diangkat sebagai medium yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membentuk emosi dan imaginasi pembaca melalui naratif yang berkesan.

Pengarang, Nadia Khan berkata, kekuatan sebuah cerita tidak hanya terletak pada jalan penceritaan semata-mata, sebaliknya pada kemampuan penulis menggerakkan emosi pembaca melalui watak, konflik dan susunan plot yang tersusun.

“Saya pernah mendengar sepotong cerita daripada seorang penglipur lara, tentang seorang ibu di sawah dan tiga anaknya yang digambarkan secara simbolik sebagai Kak Long seekor udang, Kak Ngah seekor siput dan adik bongsu seekor kerengga, yang akhirnya menemui nasib tragis.

“Di hujung cerita, penglipur lara menyampaikan pengajaran bahawa manusia perlu mengenali kelemahan diri dan tidak terlalu mengikut emosi,” katanya ketika berkongsi kertas kerja “Pulangkan Penglipur Lara: Mengembalikan Keseronokan dalam Bercerita” dalam Kolokium Cerpen, anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, pagi semalam.

Nadia berkata, minatnya terhadap penceritaan bermula sejak kecil apabila arwah neneknya sering menjadi penglipur lara dalam keluarga.

“Walaupun hanya disampaikan secara lisan, watak-wataknya jelas terbayang dalam kepala.

“Seterusnya, pengalaman menulis sejak zaman sekolah turut membentuk pemahaman terhadap emosi pembaca, termasuk penggunaan elemen sedih dan dramatik dalam cerpen awal saya,” katanya.

Tambahnya, penulisan cerpen memerlukan kemahiran mengawal ritma cerita serta membina “pentas” yang mampu menarik perhatian pembaca sejak awal.

Jadi, sebelum pembaca mengikuti turun naik cerita, mereka mestilah tertarik dengan permulaannya.

Nadia berkata, watak memainkan peranan utama dalam menghidupkan cerita kerana menjadi penghubung antara dunia penulis dengan imaginasi pembaca.

Beliau turut mengumpamakan penulis sebagai “panglima perang” yang merancang strategi penceritaan, sama ada secara tertib mahupun melalui kejutan plot.

Mengulas penghasilan cerpen “Puaka Pak Jaha”, beliau berkata idea itu tercetus daripada pemerhatian terhadap cerita masyarakat yang kemudiannya diolah menjadi naratif fiksyen.

Katanya, penglipur lara moden perlu bijak mengecilkan ruang cerita agar lebih fokus, namun masih memberikan kesan emosi yang mendalam kepada pembaca.

“Dalam dunia yang begitu besar, kita berasa kerdil, tetapi dalam dunia yang kecil, pembaca megah bersama-sama pemain,” katanya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi