Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Produktiviti sastera bukan sekadar bergantung pada ilham semata-mata, sebaliknya merupakan hasil daripada pengurusan masa yang sistematik dan keteguhan mental yang tinggi.
Demikian inti pati pembentangan “Cerpen: Tiga Jam Memadatkan Kehidupan” oleh Mohd Fudzail Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Fudzail dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Cerpen yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, kelmarin.
Menurut beliau, kunci utama produktivitinya adalah dengan melalui disiplin tiga jam menulis sehari, sebuah amalan yang diterapkan sejak bermastautin di New Zealand.
”Tiga jam ialah lambang disiplin. Masa yang perlu dipertahankan walaupun kehidupan menuntut banyak perkara lain,” ujar beliau.
Beliau berpandangan bahawa golongan profesional dan usahawan masih berupaya menghasilkan cerpen yang berkualiti meskipun berdepan jadual kerja yang padat.
“Saya seorang profesional dan juga seorang usahawan yang menjalankan bisnes di Dubai. Saya menjalankan macam-macam bisnes.
“Saya sentiasa sibuk. Tapi, menulis tetap menulis,” katanya.
Dalam pembentangannya, beliau turut berkongsi tip menulis cerpen dalam tempoh tiga jam.
“Menulis terus, membaca semula, membetulkan dan menamatkan. Itu stail saya.”
Keberkesanan kaedah tersebut terbukti apabila cerpen-cerpen beliau berjaya memenangi beberapa anugerah seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan Anugerah Buku Negara.