Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Cerpen tidak pernah terpisah daripada konsep ruang, malah berkembang sebagai bentuk kesusasteraan moden yang sentiasa “bermain” dengan keterhadan dan kemungkinan makna dalam ruang penulisan.
Pandangan itu ditegaskan oleh penulis cerpen, Azrin Fauzi melalui pembentangannya, “Cerpen dan Estetika Ruang ‘Tidak Siap’ dalam Kesusasteraan Moden” dalam Kolokium Cerpen anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pagi semalam.
Menurut Azrin, peralihan daripada kesusasteraan lisan kepada kesusasteraan bertulis mengubah cara manusia mengalami cerita, daripada pengalaman auditori (pendengaran) kepada pengalaman visual.
Dalam proses ini, ruang bukan sahaja wujud sebagai latar fizikal, tetapi turut terbina melalui imaginasi pembaca menerusi teks bertulis.
Beliau menjelaskan bahawa dalam kesusasteraan lisan, ruang bersifat abstrak dan bergantung pada intonasi pencerita, manakala dalam kesusasteraan bertulis, ruang menjadi lebih nyata melalui tipografi, susunan perenggan, tanda baca, dan ruang putih yang memberikan “nafas” kepada teks.
Katanya, dalam konteks cerpen Melayu moden, beliau mengaitkannya dengan perkembangan awal sebagai “sastera persuratkhabaran” yang dihuraikan oleh Hashim Awang, apabila cerpen berkembang dalam ruang terhad akhbar dan majalah sejak awal abad ke-20.
Kekangan jumlah perkataan ini membentuk struktur cerpen yang padat dan berekonomi, sekali gus menjadikan keterhadan sebagai strategi estetik.
“Keterhadan itu menjadikan cerpen bukan sekadar naratif, tetapi juga sejenis ‘seni bina visual’ yang mengatur pengalaman pembaca melalui ruang kosong dan padatan teks.
“Kesedaran ini diperkukuh melalui pengaruh karya dunia seperti The Metamorphosis oleh Franz Kafka, The Library of Babel oleh Jorge Luis Borges dan Casa Tomada oleh Julio Cortázar.
“Dalam The Metamorphosis, ruang bilik menjadi simbol keterasingan watak Gregor Samsa apabila identiti dirinya berubah, menjadikan ruang tersebut ‘tidak siap’ kerana gagal menampung makna baharu buat penghuninya.
“Sementara itu, The Library of Babel membayangkan ruang tanpa sempadan melalui struktur heksagon yang tidak berpenghujung, menjadikan ruang sebagai sistem makna yang mustahil diselesaikan,” katanya.
Azrin berkata, bagi Casa Tomada, ruang rumah yang “diambil alih” secara berperingkat menggambarkan kehilangan akses dan ingatan, menjadikan ruang wujud, tetapi tidak lagi dapat dihuni sepenuhnya.
Justeru, ketiga-tiga karya ini memperlihatkan konsep “ruang yang tidak siap”, sama ada melalui kekurangan, keterlebihan atau kehilangan.
Dalam perkembangan kontemporari, beliau turut merujuk cereka mikro seperti karya “Idea for a Short Documentary Film” yang memadatkan ruang naratif kepada satu ayat, sekali gus memperluas makna melalui kekosongan dan ketidakselesaian.
Azrin menegaskan, dalam cerpen moden, ruang semakin berlapis, terpecah dan tidak stabil, selari dengan pengalaman dunia masa kini. Ruang tidak lagi statik, sebaliknya sentiasa “disiapkan” oleh pembaca melalui imaginasi dan interpretasi.