Diterbitkan pada 12 Jun 2026, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan Azura Halid. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 06/2026. Cari dan telaah buku pilihannya serta selami pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Setiap minggu saya memperuntukkan masa untuk membaca, terutamanya buku. Sejujurnya, tidaklah setiap hari saya membaca buku, tetapi saya membaca bahan bacaan lain seperti karya-karya eceran hampir setiap hari seperti cerpen dan rencana. Buku yang sedang saya baca sekarang berjudul Jurang Kasih karya Salmiah Kasmuni. Salmiah Kasmuni bermula lewat usia dalam dunia penulisan kreatif, namun tidak lewat terhadap penciptaan karyanya yang memberikan keterujaan kepada pembaca yang mencari genre period dalam penceritaan sesebuah novel. Jurang Kasih berlatarkan tahun 1975 di kampung Benut, Johor. Novel ini telah memenangi Anugerah Sastera Johor ke-14 bagi Novel Dewasa Terbaik. Saya mula jatuh hati dengan karya Salmiah Kasmuni semenjak membaca novel beliau, Cinta Bangsawan yang telah memenangi Sayembara Novel Sejarah 2021. Novel sejarah ini membantu menambah pengetahuan saya tentang salasilah keturunan Kesultanan Melayu Johor, bukan kerana saya anak jati Johor tetapi lebih daripada itu, saya meminati kisah-kisah sejarah.

Buku yang digemari sepanjang hayat | Tiga buku yang menjadi igauan saya sepanjang masa ialah Saga karya Abdul Talib Mohd. Hassan, Di Benua Buta karya Mana Sikana dan Pei Pan karya Ramlee Awang Murshid. Novel Saga merupakan Johan Sayembara Novel GAPENA 1976 dan saya membacanya buat kali pertama ketika usia saya 16 tahun. Rentetan daripada Saga itu, muncul Saga 2 dan Saga 3. Namun novel Saga yang asal sehingga kini kekal menjadi kegemaran saya.

Manakala buku Di Benua Buta pula merupakan himpunan anekdot yang saya kelek setiap kali saya bermusafir. Buku ini memberi hiburan yang bukan sedikit kerana lelucon dan pemikiran Mana Sikana sangat menjentik hati. Buku yang tidak menjemukan. Buku ini juga menyimpan kenangan terindah antara saya dengan Pak Mana sekitar tahun 2006 apabila beliau hadir bertemu saya untuk meminta saya mengusahakan manuskrip tersebut sehingga terbit. Saya kira itulah buku anekdot pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ketika itulah bermulanya perkenalan kami antara penulis dengan editor, dan pada saat itulah saya mula meminati anekdot. Malah, anekdot Mana Sikana sangat tinggi nilai falsafahnya.

Manakala novel Pei Pan pula novel bertemakan pengkhianatan yang diadun dengan ilmu undang-undang dan jenayah politik. Tidak hairanlah Pei Pan diangkat sebagai pemenang Hadiah Sako 2022.

Penulis kegemaran sepanjang zaman | Penulis kegemaran saya ialah Ramlee Awang Murshid. Saya menyimpan kesemua novel beliau semenjak saya membaca novel pertama beliau, iaitu Igauan Maut. Kesemua novelnya saya akan beli, baca dan simpan. Bukanlah saya ini pentaasub Ramlee Awang Murshid, tetapi saya kagum dengan aliran plot dalam setiap novelnya yang mampu menyerlahkan unsur saspens dan seram serta fakta yang dipercayai dan bersumber. Kebanyakan novelnya sangat dramatik dan sesuai diadaptasi sebagai filem. Tidak ramai penulis di Malaysia berwibawa untuk menulis kisah thriller atau ngeri, jenayah kontemporari dan ngeri psikologi.

Ramlee Awang Murshid juga kerap menggunakan dialek dan entri Sabah yang saya anggap sebagai ilmu baharu dalam perkembangan penulisan saya. Sungguhpun novel beliau dianggap sebagai novel popular, namun kandungannya sarat dengan nilai moral, fakta undang-undang, ilmu mistik Alam Melayu, pendekatan dakwah yang halus, kisah epik yang magis, dan penggunaan bahasa yang indah dan tidak rancu.

Ramlee Awang Murshid bijak mencipta ruang untuk menulis kesinambungan novelnya sehingga beliau mampu mengikat pembaca dengan sequence novel-novelnya seperti siri Laksamana Sunan dan Tombiruo. Saya juga sedang cuba “meniru” kaedah tersebut dalam penghasilan karya kreatif saya.

Genre penulisan yang seronok dibaca | Walaupun saya suka menulis cerpen, namun saya cenderung membaca novel. Saya mudah tertarik dengan novel sejarah dan novel ngeri. Kedua-duanya memberikan kepuasan membaca yang maksimum, apatah lagi jika sudah terbiasa dengan gaya bahasa seseorang penulis atau novelis tersebut.

Ketika usia saya 10 tahun saya dilantik sebagai Ketua Pustakawan sekolah. Setiap kali hari gaji pula, emak akan membawa saya ke kedai buku untuk saya pilih buku kegemaran saya. Maka, kehidupan zaman kanak-kanak saya menyebabkan saya bergelumang dengan banyak buku kanak-kanak, terutamanya siri penyiasatan kanak-kanak Enid Blyton, Nancy Drew dan Hardy Boys. Buku-buku yang diterbitkan secara bersiri ini membuatkan saya ghairah untuk memiliki dan membaca siri-sirinya secara berterusan. Apabila meningkat remaja, saya tertarik dengan novel-novel Sidney Sheldon. Sheldon cenderung menulis novel ngeri dan beliau terkenal dengan kejutan plot yang sangat tegang. Antara karyanya yang berbekas di hati saya termasuklah The Doomsday Conspiracy, A Stranger in the Mirror dan Nothing Lasts Forever.

Karya Ramlee Awang Murshid sedikit sebanyak menyerupai novel Sidney Sheldon. Namun begitu, saya juga gemar membaca artikel separa ilmiah sebagai galakan kepada diri sendiri kerana saya merupakan kolumnis untuk portal Astro Awani. Maklumat terkini tentang isu semasa terutamanya isu bahasa dan polemik sastera kebangsaan perlu saya tekuni untuk membantu penulisan artikel saya.

Buku yang selalu diulang baca | Saya mempunyai koleksi buku bertemakan Hang Tuah pelbagai versi. Inilah kelompok buku yang kerap saya ulang baca: Hang Tuah versi Abu Zar, Hang Tuah Wira Bangsa, Hang Tuah: Catatan Okinawa, Hikayat Hang Tuah, dan Hikayat Hang Tuah: Manuskrip Terawal Tahun 1758. Kesemuanya memberikan inspirasi yang kuat tentang adiwira Melayu.

Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Satu-satunya buku yang mendorong saya untuk menjadi penulis ialah buku Buat Duit dengan Menulis. Buku tersebut telah dihadiahi sendiri oleh pengarangnya kepada saya, iaitu Jeniri Amir ketika saya mengundang beliau ke bengkel penulisan anjuran DBP Wilayah Selatan sekitar tahun 2010. Buku tersebut sangat memotivasikan saya sehingga saya mampu menjadikan bidang penulisan sebagai pendapatan pasif, terutamanya dalam penulisan skrip drama televisyen, radio dan pentas.

Buku bukan fiksyen yang disukai | Dua buku bukan fiksyen yang menjadi kegemaran saya ialah A Doctor in the House karya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan buku Penetapan Agenda dan Pembingkaian Berita oleh Chamil Wariya. Dua tokoh ini bukan sahaja berpandangan jauh dalam kerjaya masing-masing, tetapi lebih daripada itu, mereka berjaya menyuntik pemikiran saya untuk menulis sebaik mereka, walaupun tidak sehebat mereka. Dr. Mahathir telah membongkar keseluruhan hidupnya, susah senang keluarganya dan turun naik kerjaya politiknya yang berdepan dengan kawan dan lawan serta kebijaksanaan beliau mengatasi cabaran politik di dalam dan luar negara. Buku yang penuh dengan emosi dan sangat mengundang sebak! Datuk Chamil Wariya pula tokoh kewartawanan yang sangat disegani. Saya melihat beliau menulis secara jujur dan berani akan hal-hal yang berkaitan dengan integriti nasional. Penulisannya sangat menginspirasikan sehingga ada kalanya saya terikut-ikut dengan gaya penulisan beliau, walaupun saya tidak seberani dan sehebat beliau.

Rak buku atau pustaka? | Mungkin ramai yang tidak percaya bahawa saya tidak mempunyai satu pun rak buku di rumah, apatah lagi sebuah pustaka yang menempatkan segudang buku. Ya, itulah hakikatnya, hakikat hidup seorang penulis dan editor. Buku-buku saya kesemuanya saya susun dengan kemas di lantai rumah, di atas meja dan di tepi tangga. Kenapa begitu? Kerana bagi saya, buku yang terperap di rak buku ialah buku yang duduk diam sehingga tuannya mati. Buku yang tidak berada di rak buku pula akan sentiasa dipandang, dirujuk dan dibaca oleh pemiliknya.

Beli buku tulisan sendiri | Semestinya hal tersebut menjadi sebahagian daripada kehendak diri sendiri. Saya sangat suka menghadiahkan buku tulisan sendiri kepada kerabat dan sahabat terdekat, terutamanya pada hari-hari tertentu seperti hari jadi, Hari Wanita Sedunia, serta Hari Buku dan Hak Cipta. Pernah suatu ketika menjelang hari raya, saya menghadiahkan buku kanak-kanak hasil karya sendiri kepada anak-anak saudara sebagai pengganti duit raya. Dan, mereka lebih teruja menerima buku cerita berbanding duit raya.

Buku yang teringin dibaca | Saya mudah terpengaruh dengan kehebatan buku yang memenangi anugerah sama ada pada peringkat negeri, nasional atau antarabangsa. Novel The Old Man and the Sea karya Ernest Hemingway pernah menjadi bahan kuliah Shahnon Ahmad semasa beliau menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Saya bukan pelajar beliau namun saya sengaja menyelinap masuk ke kuliah Shahnon Ahmad semata-mata kerana mengagumi Sasterawan Negara tersebut. Buku ini memenangi Hadiah Pulitzer (Fiksyen) pada tahun 1953 dan Anugerah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1954. Saya cuba membacanya ketika menjadi siswa di USM, namun terhenti pada bab pertama (bab pertama pun tidak habis sebenarnya!) disebabkan sasteranya terlalu tinggi bagi saya. Sehingga kini, saya masih menyimpan impian untuk membacanya.

Sebahagian daripada koleksi buku saya yang berada di meja pejabat.

Suasana ideal untuk membaca | Bagi seorang kaki buku, saya memilih hari minggu atau hari tidak bekerja untuk membaca buku (sehingga tamat) tanpa gangguan. Saya tidak membaca buku sambil membuat kerja-kerja lain seperti menulis atau memasak bagi memberi fokus dan penghayatan terhadap pembacaan. Ada masanya saya membaca di sudut tangga rumah untuk pembacaan yang ringkas. Sofa dan tilam yang empuk pula bukan tempat pembacaan yang saya gemari kerana saya bimbang dicemari oleh mimpi ngeri pada siang hari. Sebaliknya, saya memilih kerusi jati yang keras kerjung untuk berlama-lama menghabiskan pembacaan, agar saya kekal dan tekal membaca buku dan bukan buku yang membaca saya.

_________________________

Kenali Azura Halid dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 06/2026.

Kredit Foto: Yatt Hasan dan Azura Halid
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi