Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putraery Ussin memberikan pandangan tegas tentang kredibiliti para penulis mendepani kecurigaan pembaca dalam era kepintaran buatan.

Di manakah kedudukan kejujuran dalam berkarya, jika setiap mata yang membaca sibuk mencari jejak-jejak algoritma?

Desas-desus di Facebook Dewan Sastera pada 22 Mei 2026 yang menyampaikan berita tentang ada ura-ura pemenang Hadiah Cerpen Komanwel 2026 dijana oleh Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan mendapat pelbagai reaksi oleh penulis dan peminat sastera. Polemik ini menjadi panas kerana agak sukar dalam menentukan kesahihan juga kebenarannya. Beberapa orang penulis prolifik seperti Saat Omar, MK Riza dan lain-lain juga menyatakan kebimbangan mereka melalui media sosial Facebook masing-masing. Dunia kreatif hari ini sedang berdepan dengan satu garis pemisah yang kejam.

Kita tidak lagi membahagikan sejarah sastera melalui zaman romantisisme, pascamodenisme atau realisme magis. Sebaliknya, sejarah kini terbelah dua antara Zaman Sebelum AI dengan Zaman Selepas AI. Dalam keghairahan dunia merayakan kepintaran buatan, sebuah tragedi senyap sedang berlaku di bilik-bilik kerja para penulis. Bagi komuniti kreatif dan bukan kreatif, AI bukan lagi sekadar alat bantu, tetapi telah bertukar menjadi duri dalam daging. Impaknya sangat menggusarkan seperti petikan oleh Saat Omar:

Mulai sekarang semua yang ditulis, pembaca akan suspiciously predict itu guna AI. Lebih parah dan amat malang sekali, jika seorang penulis yang prolifik dan tulisannya bagus. Lagi menyedihkan bagi yang menulis tanpa pengaruh AI. Perlukah untuk defend semua penulisan bukan AI?

Paranoid global ini telah melahirkan suatu ketidakadilan baharu. Sebuah penulisan yang indah dan kemas yang dihasilkan dengan penuh ketelitian, kini dipandang dengan kening berkerut dan jelingan curiga. Maka, kita telah sampai pada satu fasa pelik, menjadi seorang penulis yang hebat dan produktif merupakan satu “kesalahan” yang mengundang syak wasangka. Di manakah kedudukan kejujuran dalam berkarya, jika setiap mata yang membaca sibuk mencari jejak-jejak algoritma?

Di sebalik mendung isu ini, ada segelintir kelompok yang barangkali boleh menarik nafas lega. Barangkali bernasib baik bagi penulis yang sempat menerbitkan buku sebelum ledakan AI. Mereka ini bertuah kerana memegang pasport zaman silam; karya mereka diiktiraf sebagai tulisan yang genuine atau asli. Naskhah yang ditulis jujur, lahir murni daripada rahim rasa ingin tahu, kenaifan dan kebebalan manusiawi (curiosity, naivety and stupidity) yang tidak mungkin dimiliki oleh kod komputer. Persoalannya, adakah kita akan membiarkan masa hadapan sastera pasca-AI ini terus dihantui oleh ketakutan dan audit forensik digital? Atau sudah tiba masanya, kita menilai semula apa sebenarnya yang memandirikan sesebuah tulisan manusia?

Meneliti kenyataan bahawa AI yang menjadi duri dalam daging, kita sebenarnya sedang membicarakan sebuah subversif nilai yang sangat tragis dalam ekosistem sastera. Sepanjang sejarah peradaban kreativiti, kebolehan menulis menjadi prolifik jika seseorang itu mampu menghasilkan karya yang banyak, konsisten dan bermutu tinggi dalam waktu yang singkat. Malah, kebolehan ini sentiasa diangkat sebagai penanda aras kegeniusan.

Kita mengenang nama besar seperti Sasterawan Negara (SN) Anwar Ridhwan atau SN Arena Wati (sekadar menyebut beberapa nama) atas ketekunan dan kesuburan fikiran mereka. Namun begitu, dalam semesta pasca-AI, kelebihan ini telah diterbalikkan menjadi sebuah liabiliti. Inilah paradoks yang menghukum seseorang penulis berbakat. Apabila algoritma mampu menjana ribuan patah perkataan yang tersusun puitis dalam beberapa detik waktu. Kecekapan manusia tidak lagi diraikan sebagai bakat, sebaliknya dicurigai sebagai manipulasi digital. Penulis yang menulis dengan “terlalu bagus” kini terperangkap dalam sangkar paranoid pembaca. Setiap metafora yang segar, setiap kejutan plot yang kemas, tidak lagi dinilai melalui lensa apresiasi estetik, melainkan melalui lensa kecurigaan (suspicious prediction).

Selain itu, kita juga sedang menyaksikan sebuah anjakan sosiologi pembacaan yang parah, iaitu daripada apresiasi (menghayati teks) kepada forensik (menyiasat teks). Kesan psikologinya kepada penulis yang menulis secara organik, iaitu tanpa setitik pun pengaruh AI adalah sangat melelahkan. Mengapa seorang pencipta yang memerah keringat emosi dan air mata di meja tulis perlu memikul beban pembuktian (burden of proof)? Mengapa perlu ada satu fasa defensif untuk memurnikan sebuah teks yang sememangnya lahir daripada rahim kreativiti manusia? Hukuman kolektif ini bukan sahaja menghina proses kreatif, malah membunuh ghairah penulis untuk menjadi prolifik. Jika menulis dengan terlalu baik bermakna anda akan dituduh menipu, maka masa hadapan sastera kita mungkin akan diisi oleh penulis yang sengaja menyembunyikan kebolehan mereka demi sekeping cap pengesahan tulen.

Mesej paling radikal dalam wacana pasca-AI ini sebenarnya terletak pada kerinduan kita terhadap sifat genuine (tulen/asli/sejati) yang lahir daripada tiga elemen rasa ingin tahu, kenaifan dan kebebalan manusiawi (curiosity, naivety, and stupidity). Di sinilah letaknya garis pemisah ontologi (kewujudan) yang paling mutlak antara teks ciptaan manusia era silam dengan teks janaan kecerdasan buatan.

AI secara reka bentuknya ialah sebuah sistem yang dibina atas dasar optimum dan sempurna. AI tidak tahu cara untuk menjadi naif dan seharusnya terlalu pintar untuk menjadi bebal. Sastera yang agung sering kali tidak lahir daripada kebijaksanaan yang tersusun rapi, melainkan daripada keterhadapan manusia mendepani kekacauan emosi mereka sendiri. Penulis menulis kerana mereka keliru, marah, patah hati atau teraba-raba mencari makna dalam kegelapan. Watak-watak dalam novel agung bernafas kerana mereka membuat keputusan yang bodoh dan tidak logik, persis sifat penciptanya (penulis atau manusia). Kebebalan yang jujur inilah yang gagal ditiru oleh algoritma. AI tidak mampu mengalami existential dread atau rasa sangsi terhadap kewujudan Tuhan. AI hanya meramal kebarangkalian perkataan seterusnya, berdasarkan data sedia ada.

AI menghasilkan teks melalui kepatuhan pada corak (pattern recognition), manakala sastera manusia (genuine) tulen lahir daripada pelanggaran corak (pattern disruption) yang dicetuskan oleh kecacatan emosi manusia itu sendiri. Oleh itu, apabila pembaca pasca-AI mula mencurigai semua teks baharu, mereka sebenarnya sedang mengalami kelesuan estetik (aesthetic fatigue). Mereka merindui kecacatan yang jujur dalam penulisan.

Penulis yang sempat menerbitkan karya sebelum era ini dianggap sebagai bernasib baik hanya kerana teks mereka terselamat daripada radar prejudis ini. Karya mereka diiktiraf sebagai dokumen kemanusiaan yang murni. Bagi penulis hari ini, cabaran terbesar sastera bukan lagi tentang cara untuk menulis dengan gaya bahasa yang paling indah, tetapi cara untuk mengekalkan kerapuhan (vulnerability) dan kenaifan manusiawi itu di atas kertas, iaitu tanpa kelihatan seperti draf yang telah disunting bersandarkan formula robotik.

Jika khalayak pembaca memilih untuk menjadi Polis AI yang lebih gemar menyiasat teks berbanding menghayatinya, maka kerugian itu bukan milik penulis, tetapi milik sebuah tamadun pembacaan yang telah muflis jiwanya.

Persoalan yang timbul daripada paranoid ini amat kritikal (crucial). Perlukah kita membela dan mempertahankan semua penulisan yang bukan AI? Jawapannya harus diberikan dengan satu ketegasan yang mutlak, iaitu tidak sama sekali! Penulis tidak perlu, malah tidak boleh merendahkan martabat kepengarangan mereka dengan menyerah kepada desakan apologetik ini. Apabila seorang penulis mula sibuk melampirkan bukti draf tulisan tangan, rakaman skrin proses kreatif atau dokumen forensik semata-mata untuk membuktikan kemanusiaan mereka kepada khalayak yang skeptikal, mereka sebenarnya sedang mengesahkan sebuah rejim ketakutan. Mereka secara sukarela meletakkan kedaulatan intelek manusia di bawah telapak kaki sebuah algoritma. Pendirian yang perlu diambil oleh para penulis hari ini bukan sikap defensif yang lemah, melainkan sebuah penentangan estetik yang radikal. Penulis harus berhenti meminta maaf atas kebaikan atau keprolifikan karya mereka.

Seharusnya, biarkan algoritma mengejar kesempurnaan mekanikal tetapi penulis harus terus mendiami ruang-ruang yang tidak akan dapat dimasuki oleh AI, iaitu wilayah rasa yang rencam, pengalaman hidup yang berparut dan konteks sosiobudaya yang bernyawa. Tindakan defensif hanya akan memerangkap penulis dalam permainan takrifan yang ditentukan oleh syarikat gergasi teknologi.

Jika khalayak pembaca memilih untuk menjadi Polis AI yang lebih gemar menyiasat teks berbanding menghayatinya, maka kerugian itu bukan milik penulis, tetapi milik sebuah tamadun pembacaan yang telah muflis jiwanya. Tugas penulis adalah untuk menulis dengan jujur, seberani dan sebebal yang mungkin, memanfaatkan sisa naif (naivety) yang ada. Biarkan karya itu mempertahankan dirinya sendiri melalui denyut nadi emosi yang mustahil dipunyai oleh mesin. Di hadapan naskhah yang berjiwa, segala perisian pengesan AI akan menjadi tidak relevan kerana pada akhirnya, pembaca yang membaca dengan hati bukan dengan aplikasi pengesan kod akan sentiasa mengenali bau keringat manusia pada setiap helai halaman.

Oleh itu, apabila kita meratapi kehilangan nilai kenaifan dan kebebalan (naivety and stupidity) dalam penulisan pasca-AI, kita perlu berani mengajukan satu soalan konfrontasi dalam teater paranoid ini. Siapakah yang sebenarnya naif dan bodoh? Adakah penulis yang menulis dengan jujur atau khalayak yang menyiasat teks dengan ketakutan? Di sinilah letaknya ironi terbesar. Sifat bodoh dan naif yang dahulunya menjadi sumber kejujuran sastera kini telah berpindah milik. Barangkali, anda sebagai pembaca masih cuba menyiasat, adakah penulisan ini juga janaan AI?

Sehubungan itu, pembahagian zaman antara sebelum AI dengan selepas AI tidak seharusnya menjadi sebuah medan perang yang mematikan watak pengarang, tetapi bangkit menjadi sebuah fasa evolusi yang mendewasakan. Hubungan antara penulis dengan kecerdasan buatan tidak perlu berakhir sebagai sebuah tragedi campur-tolak (zero-sum game). Situasi menang-menang yang sebenar tercapai apabila kita menetapkan sempadan fungsi yang jelas. AI diletakkan sebagai batu pengasah mekanikal, manakala manusia kekal sebagai pemilik mutlak mata pisau estetikanya.

Pendek kata, penulis memerlukan AI bukan untuk meminjam jiwanya, tetapi untuk membebaskan diri daripada beban teknikal yang rencam, seperti rujukan silang data, penyuntingan tatabahasa atau percambahan idea (brainstorming) asas. Sebaliknya, AI amat memerlukan tulisan organik manusia untuk terus hidup tanpa kebebalan yang jujur, kerapuhan emosi dan kejutan kreativiti yang lahir daripada rahim pengalaman manusia. Algoritma hanya akan berputar dalam lingkaran data yang mati dan klise. Sastera pasca-AI yang berjaya ialah sastera yang menggunakan kepantasan mesin untuk memotong kompromi teknikal demi memberikan ruang yang lebih kepada penulis mendalami wilayah rasa yang paling dalam. Paranoid harus dihentikan. Titik! Keaslian tidak perlu dibela dengan topologi, tetapi dibuktikan melalui keupayaan teks itu sendiri untuk menggetarkan jiwa pembaca, iaitu sesuatu yang tidak mempunyai kod binari.

_________________________

Putraery Ussin atau Dr. Husairi Hussin merupakan pensyarah kesusasteraan di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia. Beliau berkarya dalam pelbagai genre penulisan termasuk novel, cerpen dan buku kanak-kanak. Novel remaja terbaharu beliau, Kerana 10 Sen dan buku kanak-kanak Tetamu Rimba boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kredit Foto: Microsoft Copilot/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi