Diterbitkan pada 13 April 2026, 09:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah meneliti impak kemajuan kecerdasan buatan dalam penulisan sastera, khususnya terhadap penulis pemula.

Menulis bukan sekadar kerja akademik, tetapi juga bentuk kejujuran intelektual terhadap apa-apa yang ingin disampaikan.

Menjadi penulis pemula dalam dunia yang sedang dibanjiri oleh kecerdasan buatan (AI) bukanlah perjalanan yang mudah. Namun begitu, apabila saya menoleh ke belakang, perjalanan kepengarangan saya sebenarnya bermula jauh sebelum teknologi itu menjadi wacana besar dalam dunia penulisan. Sewaktu melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia di antara tahun 2010 hingga 2013, saya mula menulis dengan kesungguhan yang mungkin kelihatan sedikit naif. Ketika itu, saya menghantar rencana yang panjangnya boleh memenuhi dua halaman kertas A4 dengan jarak baris tunggal ke akhbar arus perdana. Barangkali editor yang menerima tulisan tersebut tertanya-tanya, siapakah gerangan anak muda yang berani mengirim makalah sepanjang itu? Namun entah kerana belas ihsan atau kerana melihat sekelumit potensi, tulisan itu akhirnya disiarkan juga, walaupun setelah dipendekkan menjadi sekadar satu kolum kecil yang memanjang ke bawah. Bagi saya, ruang kecil itu sudah cukup besar maknanya. Siaran itu ibarat percikan pertama yang menyemarakkan api kecil dalam diri. Benarlah kata orang, perjalanan yang jauh sentiasa bermula dengan satu langkah yang sederhana.

Tulisan awal saya ketika itu tidaklah bersifat sastera. Tulisan itu lebih cenderung pada fakta, angka dan data. Gaya bahasanya lurus tanpa banyak lapisan makna kerana latar belakang saya bukanlah daripada disiplin kesusasteraan. Kepakaran saya sebenarnya dalam pendidikan matematik, iaitu dunia yang dipenuhi oleh simbol, nombor dan formula. Namun anehnya, di sebalik kecenderungan kepada angka, saya juga mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap bahasa dan penulisan. Keadaan itu sering membuatkan saya tersenyum sendiri. Seolah-olah saya berdiri antara dua dunia yang berbeza, iaitu satu dunia angka yang tepat dan satu lagi dunia kata yang berlapis makna. Dalam metodologi penyelidikan, perbezaan ini sering diterjemahkan sebagai pertembungan antara pendekatan kuantitatif dengan kualitatif. Penyelidikan kuantitatif menuntut angka, pengukuran dan analisis statistik, manakala penyelidikan kualitatif membuka ruang kepada naratif, pengalaman dan tafsiran makna. Sebahagian besar penyelidikan saya berada dalam ranah kuantitatif sehingga saya sering diminta mengendalikan kursus metodologi kuantitatif kepada mahasiswa. Namun jauh di sudut hati, saya selalu merasakan bahawa bahasa dan cerita juga mempunyai ruangnya yang tersendiri dalam diri saya.

Maka saya terus menulis tanpa terlalu membezakan wadahnya. Buku ilmiah, artikel jurnal berindeks, makalah prosiding, bab dalam buku, travelog, rencana akhbar, dan rencana popular, semuanya saya cuba terokai. Bagi saya, menulis bukan sekadar kerja akademik, tetapi juga bentuk kejujuran intelektual terhadap apa-apa yang ingin disampaikan. Mungkin kerana kesungguhan itulah, saya berpeluang menerima pengiktirafan seperti Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi serta Tokoh Penerbitan (Sains Sosial) 2025 oleh Universiti Teknologi Malaysia. Namun, jauh di sudut hati, penghargaan yang paling bermakna tetaplah terhadap kesempatan untuk terus menulis.

Beberapa tahun kebelakangan ini, minat saya mula condong kepada dunia sastera, khususnya cerpen. Saya membaca satu demi satu karya, malah sanggup menelusuri kedai buku yang menjual majalah lama semata-mata untuk mencari keluaran lama Dewan Sastera. Ada sesuatu pada ritma bahasa dan keindahan naratif dalam cerpen yang membuatkan saya terpikat. Menariknya, kecenderungan ini muncul hampir serentak dengan kemunculan pesat teknologi kecerdasan buatan. Namun penting untuk saya tegaskan bahawa perjalanan kepengarangan saya tidak bermula bersama-sama AI. Saya sudah menulis secara serius sejak tahun 2010, pada waktu internet masih belum sarat dengan pelbagai alat bantuan penulisan. Oleh sebab itu, polemik yang timbul mengenai penggunaan AI dalam penulisan tidak pernah saya lihat secara hitam putih.

Sebahagian pemerhati melihat AI sebagai alat yang mampu mempercepatkan proses kreatif. Laporan dan tulisan tersebut menunjukkan bahawa teknologi ini boleh membantu penulis mengatasi kebuntuan idea, memperbaiki struktur ayat dan mempercepat proses penyuntingan (1). Dalam konteks tertentu, AI berfungsi sebagai pembantu intelektual yang memudahkan kerja kreatif (misalnya 2, 3).

Namun begitu, pandangan tersebut tidak datang tanpa keraguan. Banyak pihak mengingatkan bahawa karya yang dihasilkan mesin tetap berbeza daripada karya manusia. Mesin bekerja melalui data dan corak bahasa yang dipelajari daripada himpunan teks yang besar, tetapi mesin tidak memiliki pengalaman hidup, pancaindera atau emosi. Oleh itu, hasilnya sering dianggap sebagai mekanikal dan tidak mempunyai “roh” yang lazimnya lahir daripada pengalaman manusia (4, 5). Pandangan ini turut dikongsi oleh ramai tokoh sastera yang menegaskan bahawa nilai sebuah karya bukan sekadar terletak pada susunan kata, tetapi pada pengalaman manusia yang membentuknya. Misalnya, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari dalam (6), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam (7), malah turut ditekankan oleh Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2024, Puan Hafizah Iszahanid dalam (8). Tanpa pengalaman, penderitaan, kegembiraan, atau konflik batin yang dialami oleh manusia, karya sastera kehilangan dimensi kemanusiaannya. Dalam kerangka ini, AI dilihat lebih sesuai berperanan sebagai alat bantu berbanding pengganti kepada kreativiti manusia (9). Sebahagian penulis pula melihat teknologi ini dengan perspektif yang lebih optimistik. Mereka menganggap AI sebagai alat pemerkasa yang boleh memperluas kemampuan penulis, ibarat mantel yang memberikan kekuatan tambahan kepada seorang wira (10). Namun walaupun teknologi itu boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti, arah dan makna karya tetap perlu dipandu oleh manusia. Perdebatan ini juga membawa kepada persoalan etika (11). Kemunculan AI menimbulkan kebimbangan bahawa masyarakat mungkin mula meragui keaslian karya, terutamanya apabila karya tersebut dihasilkan oleh penulis muda. Dalam keadaan sedemikian, integriti dan kejujuran intelektual menjadi semakin penting. Penulis bukan sahaja perlu menghasilkan karya yang baik, tetapi juga perlu mempertahankan ketulenan suara mereka sendiri.

Akhirnya, perbincangan tentang AI dalam sastera sebenarnya bukan sekadar perdebatan tentang teknologi. Wacana AI dalam penulisan ialah perbincangan tentang makna kreativiti manusia itu sendiri. Teknologi mungkin mampu mempercepatkan proses menulis, tetapi teknologi tidak dapat menggantikan pengalaman hidup yang membentuk sebuah cerita. Sastera pada akhirnya tetap kembali kepada manusia, iaitu kepada kenangan, emosi, nilai budaya, dan perjalanan hidup yang tidak dapat ditiru oleh mesin. AI boleh membantu membuka pintu idea, tetapi manusialah yang harus melangkah masuk dan menghidupkan ruang itu dengan jiwa dan pengalaman.

_________________________

Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.

Kredit Foto: Avel Chuklanov/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi