Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – “Gunakan ChatGPT sebagai pembantu, bukan pengganti (penulis) sepenuhnya kerana kualitinya sukar ditentukan. Hal ini penting kerana suara pengarang ialah kunci pada puisinya sendiri,” ujar Sdr. A. Muziru Idham pada Sesi IV Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 petang semalam.
A. Muziru turut memberikan peringatan bahawa puisi hendaklah dihasilkan dengan kesedaran untuk memilih kata-kata terbaik.
Beliau merupakan seorang daripada panel pembentang dalam perbincangan tema “Masa Depan Puisi Kebangsaan: Antara Falsafah, Seni dan Misi Nasional” yang menyentuh era kemunculan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam perpuisian.
“Dalam era terkini, dari awal lagi, anak muda sudah bertemu dengan bahan teknologi maklumat seperti ChatGPT.
“Pada umumnya, hal ini tiada masalah kerana ini tanda kemajuan,” ujar beliau yang memetik sebahagian kata T. Alias Taib bahawa sajak terhasil, antaranya, kerana “pertengkaran kata-kata”.
Walau bagaimanapun, tambah A. Muziru, masalah timbul apabila anak muda menggunakan wahana canggih tersebut untuk menghasilkan puisi-puisi.
Baginya, puisi yang yang dicipta dengan ChatGPT bukan karya tulen berjiwa murni kemanusiaan.
Puisi yang dicipta oleh ChatGPT tidak melalui proses pemilihan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik, yang memang sentiasa dikaitkan dengan penghasilan puisi.
“Akibat buruk ChatGPT ialah penulis tidak lagi ‘bertengkar dengan kata-kata’ sebagaimana sewajarnya.
“Perkara ini mesti dicegah. Jika tidak, hanya akan muncul puisi yang ‘kering’, walaupun bahasanya indah,” tegas beliau.
Perkembangan dunia dan persekitaran banyak mempengaruhi jiwa manusia. Dalam hubungan ini, katanya, penyair “sunyi” dengan cara hidup era ChatGPT sekarang.
“Saya fikir, program dan kursus yang berkaitan (penulisan puisi) perlu turun ke jalanan melihat sendiri manusia dan alam.
“Selain itu, masukkan puisi sebagai sebahagian daripada latar filem dan animasi, pengarang mapan perlu menggerakkan kumpulan bacaan penulis muda, serta rancakkan diskusi sastera dan kemanusiaan di ruang awam,” ujar beliau.
HPN ke-23 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2025 di Hotel Villea Morib, menyaksikan penggabungan bersejarah antara HPN dengan Hari Puisi Kebangsaan buat pertama kalinya sejak resolusi dimuktamadkan pada HPN ke-21 di Pontian, Johor pada tahun 2021.
Penganjuran kali ini bertemakan “Manusiawi dalam Puisi”, dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).