Diterbitkan pada 11 Februari 2026, 07:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tuaran – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Sabah dan Sarawak), YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan, kecerdasan buatan (AI) mampu mempermudah proses kreatif dan sentuhan kemanusiaan dalam penulisan puisi esei, tetapi daya kreatif manusia tetap tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh mesin dalam sinergi teknologi dengan sastera.

Beliau menyatakan pandangan itu dalam ucapan rasminya sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Festival Puisi Esei ASEAN ke-5 2026 yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran pada 7 Februari 2026.

Kata beliau lagi, teknologi AI ialah alat, bukannya pengganti pada pemikiran kritis dan jiwa seorang penulis.

“Oleh itu, saya menasihatkan generasi muda supaya bijak menggunakan AI untuk mencari inspirasi atau menyusun data, namun identiti serta emosi dalam berkarya mestilah datang daripada hati nurani penulis sendiri,” jelas beliau.

Festival Puisi Esei ASEAN tahun ini dihadiri seramai 400 orang, termasuklah mahasiswa, penulis, budayawan, dan ahli akademik.

Festival ini menemukan tiga buah negara rantau ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan dengan itu, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sebagai penganjur utama komited menganjurkan Festival Puisi Esei pada setiap tahun dengan kerjasama rakan sinergi, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Kerajaan Negeri Sabah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), IPG Kampus Kent Tuaran, dan Komunitas Puisi Esei ASEAN.

Kredit Foto: Syahrizan Kasim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi