Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul meneliti kerelevanan puisi esei yang baru-baru ini mendapat kredit tinggi buat penciptanya, sasterawan Indonesia Denny JA, dan justifikasi masyarakat sastera untuk mengubah paradigmanya.

Denny JA bukan produk tulen lingkungan sastera yang tipikal. Maka, penolakan terhadap gagasan puisi esei, meskipun beralaskan hujah tentang bentuk dan genre, sebenarnya satu manifestasi mentaliti sastera ortodoks.

Pertikaian tentang puisi esei bukan isu baru. Sejak awal kemunculannya, genre ini dipandang serong oleh kelompok sastera konservatif di Indonesia dan juga di Malaysia. Kritikan mereka hampir seragam: puisi harus kekal puisi, esei harus kekal esei.

Denny JA

Apabila kedua-dua genre ini dikacukkan, kata para pengkritik: yang lahir ialah “karya separuh masak”. Tidak cukup puitis untuk disebut puisi, tidak cukup akademik untuk diangkat sebagai esei. Namun begitu, di sebalik hujah-hujah substantif itu, sebenarnya terselit penolakan keras yang lebih peribadi. Kecemburuan sosial terhadap susuk Denny JA yang dianggap sebagai “figura asing” dalam dunia sastera.

Tantangan terhadap puisi esei bukan sekadar soal bentuk karya. Tentangan ini juga berkait dengan latar dan status pengasasnya, iaitu Denny JA. Bagi kelompok konservatif, sasterawan asli ialah mereka yang muncul dan berkembang sepenuhnya dalam acuan sastera yang menepati definisi mereka. Bermula dari satu akar sepunya, diabsahkan oleh pengkritik dalam lingkaran yang sama, kemudian dirai menerusi festival-festival sastera anjuran sesama mereka.

Denny JA datang di luar daripada domain ini. Beliau dikenali sebagai pemikir awam, aktivis wacana, tokoh komunikasi, dan kritikus politik. Denny JA bukan produk tulen lingkungan sastera yang tipikal. Maka, penolakan terhadap gagasan puisi esei, meskipun beralaskan hujah tentang bentuk dan genre, sebenarnya satu manifestasi mentaliti sastera ortodoks. Ya, kecenderungan menolak sebarang inovasi dan pembaharuan yang menggugat status quo.

Hujah penentangan ini sering bersandar pada dua perkara: estetika dan makna. Kononnya puisi mesti indah; mesej harus tersirat. Inovasi, bagi mereka, hanya sah jika berlaku dalam bentuk yang telah diterima oleh sejarah persuratan konvensional. Puisi esei dianggap menyalahi tradisi ini. Mengapa? Kerana karangannya memetik data serta menyebut angka dan fakta. Mereka turut menuduh Denny JA menggunakan kekayaan materi untuk membeli sokongan terhadap gagasan puisi esei. Padahal, kekuatan wang hanya sarana untuk tumbuh; tidak mampu menggantikan benih asal sastera sejati.

Di Indonesia, pencalonan Denny JA bagi anugerah antarabangsa, Anugerah Sastera BRICS, pada awalnya cuba ditentang. Sekali lagi, golongan ortodoks mahu kenampakan adil dengan mempersoalkan legitimasi proses dan representasi. Hakikat sebenarnya, ego personal mereka masih terlalu keras untuk menerima merit Denny JA. Mereka bukan mahu mempertahankan mutu persuratan. Akan tetapi, hanya ingin kekal sebagai kuasa monopoli dalam memberi definisi: apa itu sastera, dan siapa layak digelar sasterawan. Ini satu pertentangan paradigma yang jelas.

Mujurlah Anugerah Sastera BRICS beroperasi di luar ekosistem sastera nasional dan Nusantara yang agak sempit lagi tertutup. Pengiktirafan BRICS ini bertaraf dunia, yang merobohkan sempadan bahasa, budaya dan geopolitik. Panel BRICS menilai sastera bukan hanya sebagai penulisan estetik, tetapi jauh lebih penting, sebagai cerita kemanusiaan yang berupaya menjadi kuasa lunak (soft power) bagi merangkaikan hubungan diplomasi.

Dalam kemelut dunia multipolar, apabila negara-negara Selatan cuba menuntut ruang naratifnya sendiri, sastera dinilai atas keupayaannya berbicara merentas sempadan, mempengaruhi wacana, dan memberi kesan sosial. Di sinilah puisi esei menemukan tempatnya. Puisi esei bukan sahaja berjaya meluaskan ranah sastera, bahkan mengangkat martabat puisi sebagai senjata advokasi dan diplomasi serantau.

Kemenangan Denny JA di pentas BRICS harus dibaca sebagai isyarat zaman. Bahawa sastera yang lebih fungsional (baca: menggabungkan emosi, fakta, cerita, dan idealisme) semakin diiktiraf. Dunia pembacaan sastera hari ini telah mula berubah secara signfikan. Laporan UNESCO menunjukkan kadar bacaan format panjang (long-form reading) kian merosot, sedangkan karya naratif-esei dan bukan fiksyen kreatif terus meningkat.

Dalam platform digital, karya yang menghubungkan emosi dengan konteks sosial mencatatkan kadar produktiviti yang lebih tinggi. Hal ini bukan statistik untuk meminggirkan nilai estetik, tetapi untuk menegaskan realiti terkini ragam pembacaan sastera di seluruh dunia. Tentang kepentingan elemen-elemen nilai tambah dalam pengisian karya-karya kreatif.

Di Malaysia, perbahasan ini seharusnya dibaca dengan cermin yang sama. Kita sering mengeluh sastera tidak relevan, pembaca mengecil dan dana terbatas. Namun begitu, apabila muncul pendekatan yang cuba menghubungkan sastera dengan dasar, advokasi dan diplomasi, kita kurang meraikannya semata-mata kerana mahu kekalkan status quo. Agar kelompok kayangan terus selesa dengan kepompong sastera elitis mereka.

Sastera hidup ialah sastera dinamik yang sentiasa merentas: ya, merentas disiplin, genre, khalayak, dan zaman. Puisi esei, meskipun dengan segala kekurangannya, paling tidak telah membuka ruang percambahan inovatif ini. Puisi bentuk ini mendorong sastera menghadamkan data dan fakta, tanpa perlu kehilangan rasa. Puisi jenis ini menuntut sastera untuk empati, tetapi mesti berdasarkan bukti angka. Ya, mencari titik pertemuan antara keindahan spiritual dengan kebenaran empirikal. Puisi esei tidak memaksa semua orang menyukainya. Hanya memohon haknya untuk wujud.

Matlamat teragung sastera ialah membebaskan manusia daripada penjara pemikiran jumud. Apakah makna mempertahankan kemerdekaan ekspresi kata-kata, tetapi menolak kebebasan bentuk genre? Kita terlalu menyanjung tradisi, tetapi terlupa bahawa tradisi itu juga, dahulunya, bermula sebagai satu inovasi baharu. Mereka mengidam legasi, tetapi enggan memberi ruang kepada warisan baharu yang sedang terbentuk. Sastera bukan sebuah muzium artifak sejarah; ia satu ekologi habitat hidup. Ekosistem yang sihat harus bersedia menerima spesies baharu, dari semasa ke semasa.

Kemenangan Denny JA dalam Anugerah Sastera BRICS pertama tidak perlu dijadikan mahkamah untuk menghukum “siapa yang paling sastera”. Jadikan hal itu sebagai titik kesedaran bersama bahawa sastera tidak hanya perlukan estetika dan makna. Sastera juga mesti mendukung fungsi dalam sektor sosioekonomi dan sosiopolitik sebenar. Ya, perlu menjadi alat diplomasi antarabangsa dan advokasi nilai sejagat. Sastera juga mesti cukup kuat untuk berdiri sebagai bahasa empati yang berupaya mempengaruhi dasar, naratif dan persepsi global.

Jika sastera mahu kekal relevan dalam nuansa dunia moden (yang dipenuhi oleh krisis, polarisasi dan perebutan naratif), sastera mesti berani memikul peranan baharu ini. Sastera progresif bukan ancaman pada nilai-nilai konvensional, tetapi satu peluang terbaik untuk menjadikan persuratan kreatif lebih relevan.

_________________________

Ramzah Dambul (Profesor Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017). 

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi